KUALA LUMPUR – Kepulangan semula ke litar Perancis bagi perlumbaan 12 Hours of Paul Ricard pada hujung minggu ini (5-7 Jun) membawa emosi yang bercampur-baur buat Viper Niza Racing Team. Pasukan ini menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan mereka yang kini terikat di tempat pertama dalam pungutan mata keseluruhan Michelin 24H European Series (Kelas GT3-AM).
Pasukan dari Malaysia itu kini berkongsi kedudukan mata yang sama dengan Hofor Racing dan HAAS RT dengan meraih 56 mata selepas dua pusingan kejohanan. Situasi ini meletakkan mereka dalam posisi terbaik untuk memberi impak besar dalam kejuaraan keseluruhan. Viper Niza Racing akan bersandarkan kepada faktor konsistensi mereka untuk membawa pulang mata berharga ketika beraksi di litar Perancis sepanjang 5.842km itu.
Litar Paul Ricard memberikan cabaran yang hebat namun membuahkan hasil yang berbaloi buat Viper Niza Racing pada tahun 2025. Tahun lalu, pasukan ini mengalami tamparan awal selepas casis jentera Mercedes-AMG GT3 EVO mereka mengalami kerosakan teruk semasa sesi kelayakan. Bagaimanapun, di sebalik segala rintangan, mereka bangkit dengan cara yang paling tidak disangka-sangka apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 keseluruhan dan menduduki tempat ke-3 dalam Kelas GT3-AM dengan memandu jentera yang disewa. Pencapaian luar biasa itu turut membolehkan pasukan meraih anugerah Spirit of the Race bagi acara berkenaan kerana mempamerkan komitmen jitu dan keazaman tinggi untuk bukan sahaja meneruskan perlumbaan, malah akhirnya berjaya menaiki podium.
“Perlumbaan tahun lalu di Paul Ricard merupakan peringatan tegas tentang betapa sukarnya meramal perlumbaan ketahanan (endurance), selain menjadi faktor motivasi yang besar dan kuat untuk pasukan pada hujung minggu ini. Selepas dua perlumbaan setakat tahun ini, kami kini berada dalam persaingan merebut kedudukan teratas bagi Kelas GT3-AM. Oleh itu, penekanan utama di Paul Ricard adalah untuk mengukuhkan kedudukan ini. Masih banyak yang perlu dilakukan, dan bagi mencapai misi ini, fokus kami adalah pada satu perlumbaan ke satu perlumbaan. Walau bagaimanapun, matlamat keseluruhan adalah untuk menamatkan setiap satu daripada tiga baki perlumbaan di kedudukan mata yang tinggi,” kata Prinsipal Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo.
“Tahun lepas, kami terlepas peluang berada dalam kelompok tiga terbaik selepas menamatkan kejuaraan di tempat ke-4 keseluruhan. Tahun ini, matlamat kami sekali lagi adalah untuk menamatkan saingan dalam kalangan tiga pasukan terbaik dan setakat ini, permulaan kempen kami adalah jauh lebih menggalakkan. Untuk memenangi Kelas GT3-AM keseluruhan semestinya akan menjadi bonus yang amat besar dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memanfaatkan sepenuhnya kedudukan kami hari ini.”
Douglas Khoo akan digandangkan bersama rakan pemandu lamanya, Dominic Ang dan Melvin Moh, untuk bersaing dengan 14 pasukan lain dalam Kelas GT3, daripada keseluruhan 31 buah jentera yang akan memulakan perlumbaan di petak grid.
Hari Pertama (Sabtu) bakal menyaksikan para pemandu menempuh perlumbaan selama enam jam pertama sebelum kesemua jentera memasuki kawasan parc ferme, manakala baki enam jam lagi akan dipertandingkan pada hari Ahad. Ini merupakan kunjungan ketiga pasukan tersebut ke Paul Ricard, di mana Khoo pernah menamatkan saingan di tempat ke-13 daripada 27 buah jentera dalam perlumbaan 4-hour V de V Endurance Series pada tahun 2018 dengan memandu jentera Ligier JSP3 dalam Kelas LMP3.
Viper Niza Racing mendapat sokongan padu daripada Motul, IWC sebagai Jenama Jam Tangan Rasmi, Momentum Autoparts, dan SPARCO Italy.
