(SUKAN) Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO® 2018 – Memupuk kegemilangan melalui nilai-nilai murni sukan

Spread the love

Putrajaya, 11 April 2019: Murid, guru dan jurulatih yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) sepanjang tahun lalu telah diraikan pada acara tahunan Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan (KPM)-MSSM-MILO® edisi 2018 yang berlangsung hari ini. Majlis telah dirasmikan oleh Datuk Dr. Amin bin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Anugerah yang mengiktiraf kecemerlangan dalam 14 kategori, termasuk Anugerah Emas dan Anugerah Guru Berjasa, merupakan penghargaan atas sumbangan dan pencapaian atlet-atlet muda serta individu yang bertanggungjawab melatih mereka. Di samping itu, pengaruh nilai-nilai murni sukan dalam memacu prestasi tinggi turut ditekankan.

Pada majlis tersebut, Amin menegaskan kepentingan menerapkan pembelajaran berasaskan nilai-nilai murni dalam pendidikan sukan. “Penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan sukan adalah selari dengan Falsasah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sukan dapat memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang positif seperti semangat berpasukan, hormat-menghormati, ikhtiar, cita-cita dan merendah diri. Justeru kami mengangkatnya sebagai tema penganugerahan tahun ini,” kata beliau.

MSSM mencungkil bakat lebih 10,000 atlet murid dalam 24 acara sukan yang dipertandingkan setiap tahun di mana ramai antara mereka berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada sukan serantau dan antarabangsa. Malahan, MSSM merupakan titik tolak permulaan kerjaya sebilangan besar atlet kebangsaan yang ternama, termasuk Datuk Nicol David (skuasy), Welson Sim (renang), Farah Ann (gimnastik artistik) dan Pandalela Rinong (terjun) yang juga merupakan atlet wanita Malaysia pertama yang merangkul pingat di Sukan Olimpik. Atlet-atlet bertaraf dunia ini masing-masing penerima Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO® pada tahun-tahun yang terdahulu.

Selama lebih 40 tahun, MILO® telah memainkan peranan penting sebagai rakan kerjasama KPM dan MSSM dalam menjayakan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO®. Amin menambah bahawa program-program seumpama ini termasuk usaha MILO® menerajui pembangunan sukan di peringkat akar umbi, adalah penting untuk melestarikan agenda sukan negara serta meningkatkan tahap pendidikan dan pencapaian sukan tanah air.

Sementara itu, Kumaran Nowuram, Pengarah Eksekutif, Unit Perniagaan MILO®  dan Susu, Nestlé Products Sdn. Bhd. berkata, “Kami komited dalam memenuhi matlamat kami untuk memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk maju bersama sukan. Sehubungan itu, kami telah menyatukan semua program sukan kami, termasuklah kerjasama dengan KPM menerusi MSSM dan inisiatif 1Murid 1Sukan di bawah platform MILO® Aktif Negaraku sebagai satu seruan kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan kehidupan yang aktif dan sihat.”

Ulas beliau lagi, “Penerima-penerima anugerah tahun ini bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan pada tahap tertinggi malahan penghayatan semangat seorang juara yang sebenar. Kami merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka dan berharap semoga kejayaan ini akan terus membakar semangat dan kecekalan dalam diri mereka, serta mendorong rakan-rakan mereka dan masyarakat umum untuk sama-sama mencapai kejayaan di samping kekal aktif dengan sukan.”

Antara penerima anugerah yang mendapat perhatian ramai pada majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO® tahun ini ialah Aifa binti Azman, atlet skuasy remaja negara yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas. Dengan menjuarai tiga gelaran Kejohanan Skuasy Muda Terbuka Britain serta tiga lagi gelaran Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada usia muda 16 tahun pada tahun lepas, beliau menjadi pemenang profesional termuda di Malaysia serta pemegang tiga gelaran yang terpantas dalam siri pertandingan jelajah tersebut. Anugerah Emas merupakan anugerah tertinggi dalam Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO®, yang dikhaskan hanya untuk mereka yang mencapai prestasi cemerlang dalam kedua-dua bidang sukan dan akademik, dan bukannya anugerah yang disampaikan setiap tahun.

“Saya sungguh tidak menyangka akan memenangi Anugerah ini dan berasa amat bersyukur. Anugerah ini amat bermakna buat diri saya kerana saya kini berjaya mengikut jejak langkah idola saya, Datuk Nicol David yang juga penerima Anugerah ini pada ketika dahulu. Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa, guru-guru serta jurulatih saya atas sokongan dan bimbingan yang diberikan supaya melangkaui batas keupayaan diri dalam  merealisasikan impian saya. Bergiat aktif dalam sukan bukan sahaja memberi saya kepuasan selepas setiap pertandingan, malahan membantu saya menumpukan fokus terhadap pelajaran serta meningkatkan keyakinan diri,” kata beliau.

Senarai penuh Pemenang Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO® 2018 adalah seperti berikut:

Anugerah Tunas Harapan Puteri Tan Rouxin (Renang)
Anugerah Tunas Harapan Putera Harith Danial bin Jefri (Skuasy)
Anugerah Pendidikan Khas Puteri Lalitta A/P Bong (Olahraga)
Anugerah Pendidikan Khas Putera Eddy Bernard (Olahraga)
Anugerah Khas Puteri Lee Hui Xian (Wushu)
Anugerah Khas Putera Fariz Haikal bin Mohd Kadir (Lumba basikal)
Anugerah Puteri Izzah binti Amzan

(Gimnastik Berirama)

Anugerah Putera Muhammad Fauzi bin Kaman Shah (Sailing)
Anugerah Emas Aifa binti Azman (Skuasy)
Anugerah Guru Berjasa Wanita Keoh Lay Khuan (Gimnastik Berirama)
Anugerah Guru Berjasa Lelaki Ganesh A/L Raza (Olahraga)
Anugerah Jurulatih Cemerlang Mohd Saizul Hafifi bin Md Noor (Ragbi)
Anugerah Tokoh Sukan (Kepimpinan) Hj. Nik Ahmad bin Hj. Yaakub (Bola Sepak)
Anugerah Inspirasi Sukan

(Hoki 5 Sebelah)

·         Muhammad Hamiz bin Mohd Ahir

·         Muhammad Amirul Hamizan bin Azahar

·         Muhammad Arif Syafie bin Ishak

·         Mohamad Akhimullah bin Anuar Esook

·         Syarman bin Mat Tee

·         Muhammad Noor Firdaus bin Rosdi

·         Muhammad Muhibuddin bin Moharam

·         Che Shahrul Azmi Che Saupi

·         Mohammad Kamarulzaman bin Kamaruddin

Untuk maklumat lanjut tentang Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO®, layari https://www.milo.com.my/get-active/mssm-milo.

###

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *