Sempena bulan kesedaran barah payudara Oktober ini, Astro Bella (Saluran 133) dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) akan bergabung tenaga untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia berkenaan kanser payudara. Astro Bella, sebagai sebuah saluran yang khusus memenuhi citarasa penonton wanita, akan melancarkan kempen Riben Pink di Bella sepanjang bulan Oktober sehingga ke hari larian MAKNA Founder’s Night Run (MFNR) yang akan diadakan pada 1 November 2014 di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya.
Bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara Astro dan MAKNA, larian untuk kategori Terbuka Wanita 15KM dan Terbuka Wanita 10KM akan dinamakan Astro Bella Runs with MAKNA. Selebriti Astro bersama artis komedi Super Lawak FC akan juga hadir pada hari tersebut untuk menjayakan acara larian bersama bekas pesakit kanser dan anggota masyarakat yang mengambil bahagian. Objektif larian ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran kanser di samping melibatkan masyarakat Malaysia dalam aktiviti sukan dengan tujuan pengumpulan dana.
Menurut Pengurus Saluran Astro Bella, Cik Natasha Hashim, “Saya mewakili pihak Astro Bella amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pihak MAKNA untuk menjayakan larian MAKNA Founder’s Night Run pada 1 November nanti. Kami berharap agar ramai rakyat Malaysia akan hadir pada hari tersebut untuk memberi sokongan yang besar kepada perjuangan mereka.”
Sepanjang kempen Riben Pink di Bella, para pelanggan Astro Bella dapat mengetahui lebih lanjut mengenai barah payudara dengan menekan butang merah di alat kawalan jauh Astro. Ini adalah antara inisiatif Astro Bella untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kanser payudara yang merupakan kanser yang paling banyak menyerang wanita di Malaysia.
Selain itu, Astro Bella akan turut menyiarkan klip-klip temu bual bersama rakyat Malaysia yang terdiri daripada para doktor, penghidap kanser, bekas pesakit kanser dan juga artis-artis tempatan sepanjang bulan ini. Pengacara radio ERA fm Dina Nadzir dan Ira Mohd Amin adalah antara selebriti yang pernah kehilangan orang tersayang akibat kanser payudara dan mereka berdua akan berkongsi pendapat dan perasaan di sebalik pengalaman masing-masing.
Selain itu, sebahagian daripada saluran Melayu Astro seperti Astro Ria, Astro Prima, Astro Citra dan Astro Mustika HD akan menayangkan 12 rancangan tempatan dan antarabangsa sempena bulan kesedaran barah payudara ini. Rancangan-rancangan ini akan ditayangkan pada hari Jumaat, 31 Oktober 2014. Antara program khas sempena bulan kesedaran barah payudara adalah ‘Menuju Taubatan Nasuha’ (Astro Ria, Saluran 104), Nur Iman (Astro Prima, Saluran 105), Habibie & Ainun (Astro Citra, Saluran 131) dan What Women Keep in Silence (Astro Mustika HD, Saluran 134).
“Kempen ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran dan juga menghapuskan stigma terhadap kanser payudara melalui pendidikan simtom dan rawatan. Kami berharap peningkatan pengetahuan akan membawa kepada pengesanan awal kanser payudara, yang akhirnya mungkin dapat memanjangkan jangka hayat dan kualiti hidup penghidap kanser di samping menambah keupayaan untuk menghasilkan penawar yang diharapkan melalui dana-dana yang dikumpul,” tambah Cik Natasha lagi.
Teruskan sokongan anda kepada Astro Bella dan MAKNA, terutamanya kempen Riben Pink di Bella sepanjang bulan Oktober sehingga ke hari larian MFNR sambil menikmati rancangan-rancangan khas yang telah disediakan .
Astro Ria (Saluran 104)
Menuju Taubatan Nasuha
Jumaat, 31 Oktober, 10 pagi
Pengarah: Michael Ang
Barisan pelakon: Normah Damanhuri, Ryzal Jaafar, Puteri Balqis, Redza Rosli & Lia Natalia
Husni risau akan keadaan anaknya, Anum yang tidak dapat menerima kenyataan pemergian nenek kesayangannya lalu mengambil keputusan untuk mengupah seorang pelacur yang mirip seperti arwah untuk menyamar sebagai nenek Anum.
Dalam Hati Ada Taman
Jumaat, 31 Oktober, 3 petang
Pengarah: Michael Ang
Barisan pelakon: Elfira Loy, Randy Pangalila dan lain-lain
Sebuah drama yang mengisahkan tentang Bella, yang berpakat dengan Randi untuk memalsukan pertunangan mereka demi menolak pernikahannya dengan Daniel.
Untuk Terakhir Kali
Jumaat, 31 Oktober, 4.30 petang
Pengarah: Michael Ang
Barisan pelakon: Elfira Loy, Baim Wong dan lain-lain
Sebuah kisah cinta tragis yang mengisahkan tentang Aisyah dan Haris yang meniti saat-saat akhir percintaan pada ulangtahun perkahwinan pertama mereka akibat penyakit kanser Aisyah yang semakin memudaratkan.
Astro Prima (Saluran 105)
Hati Seorang Wanita
Jumaat, 31 Oktober, 12 petang
Barisan pelakon: Noorkhiriah, Lisdawati, Zamarul Hisham & Azhan Rani
Kisah lara dua orang wanita yang bergelar ibu. Su memiliki seorang anak yang sedang menderitai barah hati manakala Julia pula seorang janda yang baru kehilangan suami dan anak tunggal mereka dalam suatu kemalangan jalan raya.
Nur Iman
Jumaat, 31 Oktober, 2 petang
Pengarah: Fairuz Loy
Barisan pelakon: Azhan Rani, Dian P. Ramlee dan lain-lain
Kisah Nur Iman seorang ibu tunggal yang disahkan menghidap barah hati namun dengan bantuan Doktor Ridzuan, Nur Iman meredah segala halangan dan cabaran untuk terus hidup menyanggah maut demi satu-satunya anak yang dikasihinya.
Primadona – Keluarga Allahyarham Azean Irdawaty
Jumaat, 31 Oktober, 4 petang
Pengarah: Astro Productions
Pengacara: Raja Azura, Rozita Che Wan & Erra Fazira
Rancangan bual bicara istimewa dari wanita kepada wanita ini mengenengahkan pelbagai isu semasa dan terkini tentang wanita, keluarga dan masyarakat. Salah satu daripada segmen episod ini menjemput ahli keluarga Azean Irdawaty yang melalui pelbagai cabaran emosi apabila seniwati tersebut melawankanser.
Penawar
Jumaat, 31 Oktober, 4.30 petang
Pengarah: Astro Productions
Sebuah dokumentari yang memberi infomasi tentang Syifa, satu perubatan kaedah Islam yang memberi masyarakat pilihan selain perubatan konvensional untuk merawat pelbagai penyakit.
Astro Citra (Saluran 131)
Masih Adakah Cinta Kita
Jumaat, 31 Oktober, 10 pagi
Pengarah: Emil G. Hampp
Barisan pelakon: Nadia Vega, Frans Nickolas, Baby Margaretha, Teddy Yudhistira & Bunga Elisabeth
Kisah rumahtangga Gilang sang playboy yang berubah apabila isterinya Bunga disahkan menghidap barah payudara.
Love, Nora
Jumaat, 31 Oktober, 12 petang
Siaran serentak: Saluran Mustika HD (134)
Pengarah: Wong Ming Jin
Barisan pelakon: Yasmin Hani, Will Quah, Yana Shamsuddin dan lain-lain
Raoul yang kematian isteri, sering mendapat emel dari isterinya untuk terus tabah meneruskan hidup dan membina hidup baru.
Habibie & Ainun
Jumaat, 31 Oktober, 5 petang
Siaran serentak: Saluran Mustika HD (134)
Pengarah: Faozan Rizal
Barisan pelakon: Reza Rahadian, Bunga Citra Lestari dan lain-lain
Sebuah filem biografi tentang kisah cinta bekas Presiden Indonesia, B.J. Habibie dan mendiang isteri beliau, Ainun.
50/50
Jumaat, 31 Oktober, 7.15 malam
Pengarah: Jonathan Levine
Barisan pelakon: Joseph Gordon-Levitt, Seth Rogen dan lain-lain
Diinspirasikan dari kisah benar mengenai seorang lelaki berusia 27 tahun yang disahkan menghidap penyakit barah dan bagaimana beliau berusaha untuk melawan penyakitnya itu.
Astro Mustika HD (Saluran 134)
What Women Keep in Silence
Jumaat, 31 Oktober, 8 malam
Pengarah: Alberto Cervantes
Barisan pelakon: Gabriela de la Garza, Augusto Di Paolo & Mishelle Garfias
What Women Keep In Silence adalah antologi bersiri berkisar tentang masalah sosial feminisme di Mexico dan bagaimana isu-isu yang berlainan itu diatasi akhirnya.