(SUKAN) Kehadiran 8 Pemain Import dan Dua Pasukan Baru Semarakkan NSL 2023

Spread the love

Kuala Lumpur, 2 Oktober 2023 – Peminat bola jaring negara pasti sudah tidak sabar untuk menyaksikan aksi terunggul dan keanggunan pemain-pemain Netball Super League (NSL 2023) yang akan membuka tirainya di Stadium Juara, Kuala Lumpur bermula 13 Oktober hingga 5 November nanti.

Saingan selama empat minggu nanti menyaksikan lapan pasukan iaitu; Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips serta dua pasukan baru Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites yang akan turun memburu mahkota kejuaraan bagi edisi ketiga kali ini. Sementara dua pasukan yang telah tersingkir pada musim lalu iaitu, Melaka Mystic dan Kedah Sunshine.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) , Tan Sri Dato‘ Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria melihat inisiatif Astro dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) menganjurkan NSL adalah selaras dengan usaha kerajaan dan kementerian untuk melestarikan pembangunan sukan untuk kaum hawa ini.

“MOM melihat inisiatif Astro dan PBJM menganjurkan NSL sejajar cita-cita keluarga sukan negara untuk menjalin kerjasama erat dengan organisasi media serta stesen penyiar sebagai satu usaha mengkomersialkan sesuatu sukan.

“Menerusi NSL 2023 ini juga, Astro membantu keluarga sukan tempatan mempromosi Nilai-Nilai murni dalam Pergerakan Olimpik yang memperjuangkan hak sama rata atlet tanpa mengira jantina

“Usahasama di antara PBJM dan Astro wajar diberi pujian bukan sahaja dalam memacu penglibatan wanita dalam sukan prestasi tinggi tetapi juga memastikan kesaksamaan gender diperkasakan dalam memartabatkan bola jaring sebagai sukan berprofil tinggi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Alwiyah Talib pula melahirkan rasa teruja dimana persaingan akan bertambah dramatik dan rancak dengan kehadiran 11 pemain import dari tujuh negara iaitu Uganda, Afrika Selatan, Singapura, United Kindom, Thailand dan Brunei, Sri Lanka pada musim ini.

“Musim lalu menyaksikan hanya 2 orang pemain import dari pasukan Johor Jewels dan kini kelibat pemain import dari pasukan-pasukan lain seperti KL Wildcats, Putrajaya Dynamites, Perak Phoenix dan Negeri Sembilan Venom sebagai ‘penambah rencah’ NSL musim ini.

“Selain itu, rombakan besar-besaran pemain-pemain dari setiap pasukan terutama dari KL Wilcats serta kehadiran dua pasukan baru Terengganu Marvels dan Putrajaya Dynamite tidak boleh dipandang sebelah mata memandangkan mereka memiliki ramai pemain-pemain bintang yang pasti memberikan tentangan sengit,” katanya.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata,  Astro sentiasa komited dalam membantu meningkatkan lagi  mutu sukan negara dan melalui NSL, penambahbaikan sentiasa akan dilakukan setiap musim bagi menaikkan nilai komersial dan jenama NSL hingga ke persada sukan serantau dan antarabangsa.

“NSL menerima sambutan hangat peminat apabila telah mencatat peningkatan hampir 35% berbanding musim lalu dimana 3.5 juta tontonan berjaya dicatat di Astro Arena. Ini juga terbukti di platform digital,  Astro GO dengan mencatat 1.7 juta tontonan menyaksikan peningkatan sebanyak 45% berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, Interaksi dan peningkatan penggunaan di media sosial pula meningkat sehingga 1 juta kadar penglibatan di Instagram, Twitter, Facebook & Tiktok.

“Dengan kehadiran pemain import bukan hanya memberi impak positif terhadap mutu permainan malah akan menarik lebih ramai peminat baru dan penonton untuk menyaksikan aksi-aksi terbaik di NSL. Buat julung kalinya, NSL akan menembusi pasaran global apabila perlawanan-perlawanan terpilih ini nanti akan disiarkan di W- Sports (saluran 815) dalam ulasan bahasa Inggeris.

“Saluran ini memfokuskan pada kandungan sukan wanita dan disiarkan di 30 negara. Biarpun perjalanan NSL  baru dan masih panjang , namun saya yakin liga berprestij ini mampu menjadi fenomena yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat tempatan dan antarabangsa,”katanya.

Beliau juga turut mengharapkan lebih ramai badan-badan korporat, konglomerat tempatan dan antarabangsa tampil membantu memperkasakan lagi legasi sukan wanita paling popular di Malaysia ini. Pada tahun ini menyaksikan jenama pakaian tempatan, Elite menjadi Penaja Pakaian Rasmi NSL, Tudung Rasmi iaitu dariTudong DNA dan jenama sukan tempatan, Figos tampil sebagai penaja bola rasmi. Sementara itu,  buat pertama kali, Sinar Harian menjadi Rakan Media Rasmi dan Era kekal sebagai Radio Rasmi NSL 2022.

Astro juga turut mengambil inisiatif untuk mengadakan Klinik NSL yang akan di kendalikan oleh pemain-pemain NSL yang juga pemain kebangsaan di sekolah-sekolah terpilih bagi memberi peluang dan pengalaman berharga buat pelajar-pelajar ini mempelajari asas-asas sukan bola jaring dari peringkat akar umbi. Selain itu, Astro Rewards – program kesetiaan pelanggan Astro pula menawarkan lebih dari 900 tiket percuma sepanjang NSL berlangsung.  Tawaran ini boleh didapati dengan menyertai peraduan di aplikasi My Astro.

Peminat boleh mula membeli tiket di www.tickethotline.com.my pada 9 Oktober nanti untuk menyaksikan NSL 2023 di Stadium Juara setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 13 Oktober – 5 November 2023 atau semua pelangan Astro boleh menonton di Astro Arena (Saluran 801). Sila layari https://www.astro.com.my/ untuk keterangan lanjut

Ikuti NSL di Astro Arena :Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | Website


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *