SEPANG, 18 Jun 2026 – Penantian selama dua bulan akhirnya berakhir buat pelumba muda, Ethen Low, yang bakal membuat penampilan sulung dalam Pusingan 2 Toyota GAZOO Racing Vios Challenge hujung minggu ini, 20 hingga 21 Jun, di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, selepas genap berusia 16 tahun awal bulan ini.
Low akan menyertai empat lagi pelumba tempatan di bawah Program Pembangunan Pemandu Muda UMW Toyota Motor dan GAZOO Racing Malaysia, sekali gus menjadi pelumba termuda di petak perlumbaan bagi kategori Rookie. Selain kategori Rookie, perlumbaan hujung minggu ini turut mempertandingkan tiga kategori lain iaitu Super Sporting (pelumba profesional dan elit), Sporting (pelumba amatur dan gentleman racer) serta Classic Challenge yang menampilkan jentera Vios Challenge generasi terdahulu.
“Saya sangat bersyukur kerana akhirnya dapat berlumba hujung minggu ini. Sudah tentu saya berasa sedikit gementar, tetapi pada masa sama yakin mampu memberikan prestasi terbaik dalam Pusingan 2,” kata Low.
Beliau hanya layak memperoleh lesen perlumbaan kebangsaan daripada Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-16 pada 3 Jun lalu.
Bagaimanapun, Low memulakan kempen dengan sedikit kekurangan apabila terlepas dua perlumbaan pada Pusingan 1 yang berlangsung pada April, sekali gus gagal mengutip sebarang mata.
“Sepanjang dua bulan lalu, saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan kawalan jentera dan mengumpul lebih banyak pengalaman memandu menerusi sesi latihan persendirian di litar. Saya juga membuat persediaan mental supaya benar-benar bersedia untuk bersaing.
“Saya menjangkakan persaingan sengit bersama empat lagi pelumba rookie. Mereka telah menunjukkan prestasi yang cukup kompetitif pada Pusingan 1 dan saya tidak sabar untuk menyertai saingan itu. Walaupun hanya berbaki tiga pusingan, saya masih percaya mampu memberi cabaran dalam perebutan kejuaraan. Terlepas satu pusingan hanya membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengejar kedudukan terbaik,” katanya lagi.
Kini memasuki tahun keenam penganjurannya secara berturut-turut, Program Pembangunan Bakat Muda GAZOO Racing Malaysia diwujudkan bagi memberi laluan kepada bakat baharu daripada perlumbaan simulator dan karting untuk beralih ke perlumbaan kereta salun. Program ini telah melahirkan beberapa pelumba yang bukan sahaja berjaya di peringkat kebangsaan, malah turut mencipta nama di pentas antarabangsa.
Barisan pelumba program musim ini terdiri daripada Ervin Lim, 18, yang kini mendahului carta keseluruhan selepas mencatat satu kemenangan dan satu tempat ketiga; Ngo Yong Jian, 20, yang menghuni tangga kedua keseluruhan dengan rekod satu kemenangan dan satu tempat ketiga; Imran Iskandar, 17, yang meraih dua penamat di tempat kedua pada Pusingan 1; serta Megat Damian, 21, yang juga berasal daripada dunia perlumbaan simulator.
Memasuki musim kesembilan sejak diperkenalkan pada 2017, Vios Challenge terus menampilkan aksi perlumbaan sengit menggunakan jentera Toyota Vios Challenge generasi keempat yang disediakan dengan spesifikasi sama rata. Kesemua pelumba akan merebut hadiah keseluruhan bernilai RM876,000 sepanjang empat pusingan musim ini, sekali gus menjadikan siri ini sebagai perlumbaan kereta salun berasaskan model pengeluaran paling lama dianjurkan oleh sebuah pengeluar automotif.
Seramai 37 pelumba akan bersaing dalam kategori Super Sporting, Sporting dan Rookie bagi Pusingan 2, manakala kategori Classic Challenge bakal menampilkan 12 penyertaan membabitkan 20 pelumba.
Antara tumpuan ialah gandingan dua pelumba wanita Nurul Auni dan Nurul Husna Nasharuddin mewakili Rock Racing, pasangan adik-beradik Brendan Paul dan Bradley Benedict Anthony, serta gandingan bapa dan anak Shanmuganathan Arumugan dan Ashen Shanmuganathan yang akan memandu jentera masing-masing. Menariknya, Shanmuganathan dan Ashen turut akan bersaing sesama sendiri dalam kategori Sporting.
Kategori Sporting turut menyaksikan persaingan empat bekas pelumba Rookie iaitu Ian James (Wheelcorp), Adam Mikhail (G-Mart Best Autosport), Ariff Azmi (KMS 333 Motorsports) dan Nabil Azlan (Laser Motor Racing).
Dalam kategori Super Sporting, Freddie Ang dari Telagamas Toyota kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 37 mata hasil satu kemenangan dan satu penamat kedua pada Pusingan 1. Namun beliau dijangka menerima tentangan hebat daripada Ady Rahimy (Laser Motor Racing) yang hanya ketinggalan empat mata dengan 33 mata, manakala rakan sepasukannya, Nabil Azlan, menghuni tangga ketiga dengan 27 mata.
Bagi kategori Sporting, Justin Toh dari BAE Racing by ES Yang mengetuai carta keseluruhan dengan 31 mata selepas meraih dua penamat di tempat kedua. Beliau diekori Teo Hong Zhou (Awesome Racing Team) dengan 25 mata, manakala Choo Yong Choon (Heiwa Racing Team) berada di tangga ketiga dengan 24 mata hasil satu kemenangan perlumbaan.
Dalam kategori Classic Challenge, perhatian sekali lagi tertumpu kepada pasangan dari Thailand, Surasak Dakeng dan Varunchit Wattanathanakun, yang menguasai Pusingan 1 dengan dua kemenangan berturut-turut. Mereka bagaimanapun dijangka menerima cabaran sengit daripada gandingan Kegani Racing Academy, Kenny Lee dan Loke Yin Yi, yang menamatkan kedua-dua perlumbaan terdahulu di tempat kedua.
Ikuti perkembangan terkini Toyota GAZOO Racing Malaysia menerusi:
- Facebook: facebook.com/tgrmy
- Instagram: instagram.com/tgrmalaysia
- YouTube: youtube.com/@tgrmalaysia
Maklumat lanjut boleh didapati di www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia.
