SEPANG, 22 Jun 2026 – Saingan Toyota GAZOO Racing (TGR) Vios Challenge Musim Ke-9 Pusingan Kedua yang berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hujung minggu lalu menyajikan aksi perlumbaan penuh dramatik apabila persaingan kejuaraan kini memasuki pertengahan musim.
Berlangsung dalam keadaan cuaca panas terik di Litar Selatan Sepang, seramai 37 pelumba bersaing dalam tiga kategori utama iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie, manakala 14 buah jentera melibatkan 25 pemandu turut memeriahkan kategori Classic Challenge. Perlumbaan ini turut mendapat sambutan luar biasa apabila disaksikan kira-kira 618,000 penonton menerusi siaran langsung.
Dalam kategori Super Sporting, bekas juara musim 2024, Mitchell Cheah, mencipta kebangkitan mengagumkan apabila memenangi Perlumbaan 1 selepas memulakan saingan di petak ketujuh. Beliau berjaya memintas pendahulu, Nabil Azlan, pada penghujung perlumbaan 30 minit sebelum menamatkan perlumbaan di hadapan pelumba Laser Motor Racing itu. Tempat ketiga menjadi milik Bradley Benedict Anthony.
Bagaimanapun, senario berubah sepenuhnya dalam Perlumbaan 2 apabila William Ho dari Toyotsu Racing muncul juara selepas memanfaatkan kesilapan lawan untuk mendahului perlumbaan. Nabil Azlan sekali lagi menaiki podium di tempat kedua, manakala rakan sepasukannya Ady Rahimy melengkapkan kedudukan tiga terbaik. Juara bertahan Freddie Ang pula melalui hujung minggu yang mengecewakan apabila dikenakan penalti 30 saat dalam Perlumbaan 1 sebelum sekadar menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan keenam.
Kategori Sporting pula menyaksikan penguasaan pelumba antarabangsa pada Perlumbaan 1 apabila pelumba Thailand, Varunchit Wattanathanakun dari RUK Team PMC 52 mempamerkan aksi cemerlang untuk meraih kemenangan selepas mendahului perlumbaan hampir dari awal hingga ke garisan penamat. Elson Lew menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala pelumba India Aditya Patnaik berada di kedudukan ketiga.
Perlumbaan 2 menyaksikan kebangkitan Adam Mikail dari G-Mart Best Autosport yang berjaya muncul juara selepas memintas beberapa pencabar utama. Justin Toh dari BAE Racing by ES Yang dan Taj Aiman dari Saksama Motorsports masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
Dalam kategori Rookie, bakat muda terus mencuri perhatian. Imran Iskandar berjaya meraih kemenangan sulungnya dalam Perlumbaan 1 selepas dua kali muncul naib juara pada pusingan pembukaan. Pelumba berusia 17 tahun itu menguasai perlumbaan dari petak pertama, manakala Ethen Low, yang baru memperoleh lesen perlumbaan kebangsaan, mencipta penampilan sulung cemerlang dengan menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Ngo Yong Jian melengkapkan kedudukan podium.
Perlumbaan kedua pula menjadi milik Ethen Low yang mencatat kemenangan sulung sekali gus melengkapkan hujung minggu yang cukup cemerlang dalam penampilan pertamanya di TGR Vios Challenge. Ervin Lim menamatkan perlumbaan di tempat kedua, sementara Imran Iskandar menambah satu lagi podium dengan menduduki tempat ketiga.
Kategori Classic Challenge sekali lagi menjadi tumpuan apabila beberapa insiden dramatik memaksa kereta keselamatan (Safety Car) dikeluarkan sebanyak dua kali sepanjang Perlumbaan 1. Insiden paling mencemaskan berlaku apabila jentera dipandu Harkiesh Geeva terbalik selepas dilanggar dari belakang ketika memasuki selekoh pertama. Walaupun beliau tidak mengalami kecederaan, kerosakan teruk pada jentera menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan saingan pada Perlumbaan 2.
Kemenangan Perlumbaan 1 menjadi milik gandingan Loke Yin Yi dan Kenny Lee dari Kegani Racing Academy, diikuti pasangan adik-beradik Brendan Paul dan Bradley Benedict Anthony di tempat kedua, manakala pasangan Thailand Mekkaradkeeta Kalantananda dan Varunchit Wattanathanakun menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Dalam Perlumbaan 2, pasangan adik-beradik Bradley Benedict Anthony dan Brendan Paul Anthony berjaya menebus kekecewaan dengan muncul juara selepas mengharungi pertarungan sengit pada pusingan terakhir. Loke Yin Yi/Kenny Lee menamatkan perlumbaan sebagai naib juara, sementara pasangan Thailand sekali lagi mengekalkan konsistensi dengan menduduki tempat ketiga.
Memasuki pertengahan musim, persaingan kejuaraan TGR Vios Challenge Musim Ke-9 kini semakin terbuka apabila beberapa pelumba berjaya mengutip mata penting yang mampu mengubah kedudukan keseluruhan. Dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM876,000, siri perlumbaan ini terus mengukuhkan reputasinya sebagai kejohanan perlumbaan kereta salun berasaskan model produksi paling lama dianjurkan oleh pengeluar automotif di Malaysia.
Pusingan ketiga dijadual berlangsung pada 25 hingga 26 Julai 2026 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, kali ini menggunakan keseluruhan konfigurasi litar sepanjang 5.543 kilometer, sekali gus dijangka menyajikan persaingan yang lebih mencabar dan sengit dalam perebutan kejuaraan musim ini.
