(HIBURAN) Adele nyanyi lagu tema filem James Bond

Spread the love

LONDON – Penyanyi bersuara lunak, Adele Laurie Blue Adkins atau lebih dikenali sebagai Adele mengesahkan dia telah bekerjasama dalam menulis dan merakam lagu tema untuk filem terbaharu James Bond, Skyfall.

Menurut laman web rasmi James Bond kelmarin, pelantun suara lagu popular Set Fire To The Rain itu pada asalnya kurang yakin dengan projek kerjasama berkenaan.

“Apabila seseorang penyanyi dipilih untuk menyanyikan lagu tema filem James Bond, terlalu banyak perhatian serta tekanan yang bakal dia hadapi. Namun, saya jatuh cinta dengan skrip filem ini.

“Saya juga seronok menulis lagu tema filem ini. Ia satu pengalaman baharu buat saya,” katanya.

Lagu tersebut ditulis oleh Adele bersama seorang komposer Britain, Paul Hepworth. Hepworth sebelum ini mencipta lagu Rolling In The Deep untuk album keduanya, 21.

Lagu tema filem Skyfall itu telah dirakam di Studio Abbey Road di sini.

Spekulasi berhubung pemenang anugerah Grammy itu merakam lagu tema tersebut bertiup kencang sejak beberapa bulan lalu. Namun, pengumuman rasmi mengenainya hanya dibuat oleh penerbit filem tersebut kelmarin.

Lagu itu bakal dilancarkan Jumaat ini serentak dengan ulang tahun ke-50 filem pertama Bond, Dr. No manakala versi penuhnya boleh didengar di laman web rasmi Adele.

Tempahan awal bagi lagu tema itu bermula sejak Isnin lalu di kedai muzik atas talian iTunes.

Skyfall yang merupakan filem Bond ketiga lakonan Daniel Craig, bakal ditayangkan di Britain pada 26 Oktober ini sebelum menemui peminat di Amerika Syarikat pada 9 November depan.

Antara barisan pelakon filem ejen perisik Britain itu termasuk Javier Bardem, Albert Finney, Ralph Fiennes dan Naomie Harris. – Agensi

kredit artikel dan gambar : Kosmo


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *