(HIBURAN) ASTRO ORIGINALS PERSEMBAHKAN DRAMA PREMIUM DIINSPIRASIKAN DARIPADA PERISTIWA YANG BERLAKU DI MALAYSIA, ‘ONE CENT THIEF’

Spread the love

Kuala Lumpur, 4 Oktober 2022 – Astro Originals mempersembahkan sebuah drama premium terbaru, ‘One Cent Thief’ yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang pernah menggemparkan Malaysia dan masih diperkatakan sehingga kini, dan kemudian diolah menghasilkan sebuah jalan cerita baru dengan diselitkan nilai komersial untuk tontonan.  One Cent Thief mengisahkan tentang Iman Shah seorang pekerja bank yang terdesak untuk membiayai kos rawatan serta melangsaikan hutang abahnya kepada ceti haram. Dengan menggunakan kepintarannya, dia telah  menggodam sistem Bintang Bank untuk mencuri satu sen dari setiap akaun pelanggan bank dan berjaya mendapatkan jumlah wang yang besar.

One Cent Thief membawakan subjek ‘heist’ dan kelainan berbanding naskhah lain adalah ia pertama kali dalam Malaysia mahupun karya luar negara yang membawakan kisah rompakan bernilai 1 sen berbanding kisah yang menumpukan rompakan berlian, jongkong emas, mahupun jutaan wang tunai.

One Cent Thief mempunyai 8 episod, bakal temui penonton bermula 8 Oktober, setiap hari Sabtu, jam 9 malam. Menariknya buat julung kali drama premium di bawah jenama Astro Originals akan ditayangkan serentak di empat saluran berbeza bahasa seperti Astro Ria HD saluran 104, Astro Vinmeen HD saluran 202, Astro Shuang Xing HD saluran 307 (episod 1 tayangan serentak 8 Oktober, 9.00 malam, manakala episod berikutnya setiap Sabtu, jam 11 malam), dan PRIMEtime saluran 704. Penonton juga berpeluang menonton setiap episod baru seminggu lebih awal daripada tayangannya di saluran linear setiap Sabtu jam 12.00 tengah malam menerusi strim di platform Astro GO atau On Demand.

Meskipun subjek utama adalah ‘heist’, namun One Cent Thief membawakan mesej-mesej positif serta memaparkan cabaran kehidupan setiap lapisan masyarakat yang amat dekat dengan penonton seperti kehidupan golongan atasan dengan kemewahannya, golongan medium yang bersungguh-sungguh mencari rezeki dan mencapai cita-cita, serta golongan yang terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja sehingga ada yang terpaksa berdepan dengan pinjaman haram dan kongsi gelap.

Sementara itu, dari sudut produksi pula ia menonjolkan babak menggodam yang diinspirasikan daripada cara sebenar yang dipraktikkan oleh jenayah siber geng Carbanak yang jarang ditampilkan dalam karya tempatan.

Selain itu penonton turut dihidangkan dengan babak-babak aksi yang mendebarkan hasil lakonan hebat para pelakon terkemuka tanah air dari pelbagai latar seperti Syafiq Kyle, Faizal Hussein, Azira Shafinaz, Sofia Jane, Amerul Affendi, Fabian Loo, Aghonderan Sahadevan, Carmen Soo, Sathisvaran Magesvaaran, Rubi Rubini, Amir Nafis, Fadhli Masoot, Zain Hamid, Aleza Shadan, Syed Irfan dan Airiezara Jasmin. Selain itu, turut menampilkan kemunculan istimewa oleh nama besar dan cukup berpengaruh dalam industri pembankan peringkat nasional dan global,  Tan Sri Nazir Razak.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan, “Menerusi Astro Originals, kami terus komited mempersembahkan karya-karya berkualiti yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada penonton dan sekali gus mengangkat drama tempatan setanding dengan naskhah antarabangsa. Kali ini penerbit Astro menampilkan sebuah drama premium yang diinspirasikan daripada peristiwa yang pernah berlaku di Malaysia dan lebih menarik ia adalah naskhah pertama negara yang membawakan jalan cerita tentang penggodam siber yang mencuri hanya wang berjumlah 1 sen daripada setiap penyimpan bank. Kami percaya jalan cerita segar yang dipersembahkan melalui One Cent Thief mampu diterima oleh penonton daripada pelbagai latar dan naskhah ini akan ditayangkan di saluran Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina. Kami harap One Cent Thief dapat dilihat sebagai sebuah karya berkelas internasional dan menjadi satu naskhah seni kebanggaan negara; bukan sahaja itu malah mampu menarik penonton dari  negara luar seterusnya mengalihkan pandangan dunia kepada hasil karya-karya terbaik Malaysia.”

Drama premium mengetengahkan genre jenayah thriller merupakan idea asal oleh showrunner (pencipta) Alfie Palermo dan beliau turut terlibat sebagai ketua pasukan penulis Astro Shaw (writers’ room) bersama penulis lain, Natasha Azlan, Ashraf Modee Zain, Zaim Zakki. Alfie Palermo terdahulu tampil dengan idea asalnya menerusi drama premium Dukun Diva, di samping pernah memenangi anugerah Skrip Terbaik di Anugerah Internasional Motivational Film Festival Bridge of Arts (IMFF), Rusia pada tahun 2016 dan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2015. Manakala karya ini mendapat sentuhan oleh pengarah muda yang semakin meningkat naik dalam kalangan penonton sejak mengarahkan telemovie seperti Cerai, Rompak Raya, dan drama premium Dukun Diva, iaitu Ariff Zulkarnain.

Menurut Showrunner, Pencipta & Penulis One Cent Thief,  Alfie Palermo berkata, “Idea menghasilkan drama premium in tercetus ekoran selepas membaca kes ‘pencuri satu sen’ dan ia memberi inspirasi untuk menggarap sebuah karya dengan jalan cerita baru dan segar. Menerusi One Cent Thief, saya cuba ketengahkan isu keselamatan data serta sistem perbankan, di mana betapa mudahnya digodam oleh penjenayah; di samping mengetengahkan isu konflik yang amat dekat dengan masyarakat iaitu ‘wang’ – adakah wang mampu menyelesaikan masalah dan menjanjikan kebahagiaan. Harapan saya agar siri ini sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat pada isu-isu keselamatan data yang semakin meruncing kebelakangan ini. Pada masa sama, saya berharap penonton akan terhibur dan moga membawa manfaat untuk semua.

Manakala Pengarah One Cent Thief, Ariff Zulkarnain berkata, “Sebagai pengarah saya cuba memberi sentuhan berbeza pada setiap karya yang dihasilkan. One Cent Thief bukan hanya menonjolkan isu teknologi dunia siber, malah saya cuba kupas kehidupan masyarakat yang berbeza kelas terutamanya masyarakat marhaen yang hidup dalam kesempitan sehingga sanggup melakukan jenayah. Cabaran utama menghasilkan karya ini adalah untuk menvisualkan jalan cerita ke skrin, misalnya babak yang melibatkan teknologi siber perlu di buat berhati-hati agar dapat memberi kefahaman kepada penonton. Malah, kami juga mendapatkan khidmat penasihat sekuriti siber dari pakar yang bertauliah sepanjang penggambaran. Cabaran lain adalah mendapatkan hasil terbaik meskipun berdepan dengan limitasi sepanjang penggambaran yang diadakan dalam tempoh pandemik. Saya mengharapkan One Cent Thief dapat diterima oleh penonton Malaysia dan penonton dapat menilai cerita ini dari sudut positif. Secara peribadi, saya juga mengharapkan lebih ramai lagi pembikin filem di Malaysia berpeluang untuk bereksperimen dengan konten-konten segar yang membawa isu yang dekat dengan masyarakat seperti yang dipaparkan dalam naskhah-naskhah di bawah jenama Astro Originals, demi pembaharuan konten kreatif tempatan.”

Menerusi One Cent Thief, turut menerima kerjasama bersama air minuman Gong Cha. Penonton boleh menikmati minuman dari Gong Cha dengan harga promosi 1 sen bermula 7 Oktober sehingga 21 Oktober 2022.

Terdahulu Astro Originals telah menampilkan deretan drama siri premium daripada pelbagai genre, nilai hiburan berbeza serta olahan jalan cerita segar seperti diinspirasikan dari pendedahan isu-isu yang sememangnya berlaku dalam kalangan penonton seperti ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ (francais filem komedi nombor 1 negara), ‘Projek: Anchor SPM’ (memperkenalkan genre coming of age), ‘I-Tanggang’ (mengetengahkan isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy), ‘Dukun Diva’ (angkat kisah female con artist dan anti-heroes), ‘Kuasa’ (kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan), ‘Histeria The Series’ (kesinambungan filem box office 2008, Histeria), Murder By Moon Light (ketengahkan genre Witty Murder Mystery “Whodunnit”).

Saksikan drama siri premium, One Cent Thief  yang akan ditayangkan serentak di saluran Astro Ria HD, Astro Vinmeen HD, Astro Shuang Xing HD (episod 1 tayangan serentak 8 Oktober, 9.00 malam, manakala episod berikutnya setiap Sabtu, jam 11 malam), dan PRIMEtime pada jam 9.00 malam, setiap hari Sabtu, bermula 8 Oktober ini atau strim di Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun TikTok, Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *