Selepas hampir 3 bulan berentap di pentas Bintang Mencari Bintang (BMB), akhirnya hanya tinggal Bocik & Bowl (Afdlin Shauki), Achey (Harun Salim Bachik), Tapaw (Faizal Ismail) dan Titan (Sabri Yunus) untuk merebut tiket ke Konsert Akhir BMB yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 23 Jun 2013. Konsert separuh akhir ke-3 BMB menyaksikan Bocik, Achey, Tapaw dan Titan melangkah ke peringkat akhir sekaligus berentap untuk merangkul gelaran juara BMB dan hadiah wang tunai sebanyak RM 200,000.
Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00 – 10.30 malam, BMB semakin hangat diperkatakan dan diuar-uarkan mempunyai barisan anak didik yang terbaik dan paling berbakat. Membariskan 6 sifu yang bukan calang-calang orangnya seperti Raja Azura, Sabri Yunus, Afdlin Shauki, Senario, Faizal Ismail dan Harun Salim Bachik, BMB mengetengahkan bakat-bakat baru dalam bidang sketsa komedi dan nyanyian.
Pada minggu lepas, keputusan markah konsert separuh akhir ke-2 tidak diumumkan selepas rundingan bersama antara pihak produksi dan barisan juri tetap. Keputusan penuh hanya diumumkan selepas persembahan konsert separuh akhir ke-3 pada malam Ahad yang lalu (16 Jun) bagi menentukan siapakah pasangan sifu dan anak didik yang betul-betul layak ke konsert akhir BMB berdasarkan konsistensi mereka pada kedua-dua pusingan separuh akhir itu (jumlah markah sebanyak 200). Buat pertama kalinya, Tapaw telah menjuarai konsert mingguan dengan jumlah markah 135.3, diikuti dengan Achey (133.7), Titan (126.4) dan Bocik (125.9). Bowl yang hanya berjaya meraih 107.7 markah terpaksa akur dengan keputusan tersebut dan menamatkan perjuangan mereka di gelanggang BMB.
Tirai persembahan konsert separuh akhir ke-3 dimulakan dengan Tapaw, anak didik kepada Faizal Ismail dengan sketsa komedi dan dilengkapi dengan lagu Poco Poco, Thrift Shop (Macklemore) dan Ala La La Latok Jangan Saman (Poe). Seterusnya, anak didik Sabri Yunus, Titan mengambil alih pentas BMB dengan sketsa komedi dan disusuli dengan persembahan nyanyian Perhaps, Perhaps, Perhaps versi Coke dan Raikan Cinta nyanyian asal Datuk M. Nasir.
Pentas BMB dihangatkan lagi dengan persembahan sketsa komedi oleh Bowl, anak didik Afdlin Shauki. Mereka turut menyampaikan sebuah rangkaian lagu iaitu Hai Nasi Goreng…Hai Bubur Kacang versi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, An Evening In Paris dan juga lagu Faizal Tahir yang bertajuk Gemuruh.
Peserta solo yang masih bertahan dalam gelanggang BMB, Achey, anak didik kepada Harun Salim Bachik sering memukau panel juri dan para penonton dengan persembahan yang selamba pula mengakhiri sketsa beliau dengan lagu Kungfu Master lirik Indonesia yang dirujuk daripada Youtube. Tidak ketinggalan juga, anak didik Afdlin Shauki, Bocik yang menyusuli dengan persembahan sketsa dan nyanyian lagu Aku Bukan Superman (Lucky) dan Cerita Kedai Kopi (Malik & Salam Music).
Sebelum menutup tirai dan mengumumkan keputusan siapakah finalis yang melangkah ke konsert akhir BMB, saksikan persembahan istimewa daripada juri jemputan pada minggu ini, Jaclyn Victor dengan lagu Ikut Rentakku.
Setiap Sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. Anak didik akan bersaing selama 4 minggu dalam pusingan pertama mengikut kumpulan masing-masing. 3 anak didik yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan. 6 anak didik yang berjaya ke pusingan seterusnya kemudian akan berentap di pusingan kedua iaitu separuh akhir sebelum mara ke konsert akhir untuk merangkul gelaran juara serta membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.
Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa, “Segala teka-teki sudah terjawab sejurus pengumuman keputusan penuh pusingan separuh akhir ke-2 dan ke-3. Bagi pihak TV3 dan sidang produksi BMB, kami ucapkan syabas kepada kelima-lima peserta BMB yang telah memberi komitmen yang tinggi dan bertungkus-lumus mempersembahkan yang terbaik di pusingan separuh akhir ini. Selepas ini, cabaran lebih besar menunggu pasangan sifu dan anak didik yang bakal bertanding di peringkat akhir. Justeru, kami berharap agar mereka tidak mensia-siakan masa seminggu ini dan sentiasa berkarya secara kreatif untuk mewarnai persembahan mereka.”
“Selain itu, bagi penonton TV3 yang ingin hadir ke Stadium Malawati, Shah Alam pada 23 Jun 2013 untuk sama-sama merasai kemeriahan suasana konsert akhir BMB, anda boleh dapatkan pas percuma di balai pengawal Sri Pentas, Bandar Utama mulai 17 Jun 2013 dari jam 11.00pagi hingga 4.00petang.” Tambah Sufian.
Sepanjang 15 episod, BMB menampilkan Adibah Noor sebagai pengacara program. Selain itu, BMB turut menampilkan nama besar di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang hiburan iaitu Fauziah Ahmad Daud dan A.R. Badul sebagai juri tetap untuk program ini. Setiap minggu, BMB menampilkan seorang juri jemputan untuk menilai aspek nyanyian para anak didik.
Untuk musim pertama ini, format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Buat penonton dan peminat setia Bintang Mencari Bintang bolehlah menghantar undian SMS dengan menaip BMB <JARAK> Nama Kumpulan dan hantar ke 33399 atau undian secara pukal, BMB5 <JARAK> Nama Kumpulan dan hantar ke 33399. Undian SMS akan bermula jam 5.00 petang setiap hari Ahad dan akan ditutup selepas tamat persembahan konsert. Di samping itu, penonton turut boleh menilai persembahan anak didik BMB semasa persembahan konsert berlangsung menerusi ‘Skala Bintang’ yang boleh didapati di www.tv3.com.my/bintang. Kemudian gerakkan skala bintang untuk mengundi persembahan anak didik. Keputusan penilaian ‘Skala Bintang’ akan muncul di kaca televisyen semasa konsert BMB bersiaran secara langsung.
Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB menerusi KOMIK BMB yang disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.00 petang. Program yang dihoskan oleh pelakon Taiyuddin Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Tai ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB. Selain itu, penonton juga boleh mengikuti perkembangan para anak didik BMB menerusi program 2 minit, BLOG BMB setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 10.00 pagi dan 1.30 pagi bermula 1 April 2013.
Ikuti program BMB yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang BMB, penonton boleh melayari laman sesawang rasmi BMB di www.tv3.com.my/bintang serta laman sosial Facebook & Twitter TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#bintangTV3) untuk menghangatkan lagi bahang BMB!