(HIBURAN) Chow Kit Dicalonkan Untuk Asia Image Apollo Awards

Chow Kit Film Postercropsmall
Chow Kit, filem terbitan Grand Brilliance yang dipersembahkan oleh Primeworks Studios, telah menerima tiga pencalonan untuk Asia Image Apollo Awards, termasuk Arahan Terbaik (Format Panjang), Sinematografi Terbaik dan Arahan Seni Terbaik. Malam Anugerah Apollo ini akan diadakan di Marina Bay Sands, Singapura pada 18 Jun 2013. Dianjurkan oleh Contineo Media, Anugerah Apollo mengiktiraf industri-industri produksi dan pasca-produksi terbaik di rantau Asia Pasifik.

Chow Kit Film Still 1

Mencari lebih daripada jalan cerita dan kejayaan komersil, Asia Image Apollo Awards memberi penghormatan kepada kecemerlangan kreatif dan teknikal sesebuah produksi. Panel-panel hakim bagi majlis anugerah ini terdiri daripada pakar-pakar industri terkemuka termasuk Tim Yip, pemenang Anugerah Oscar dan pengarah seni filem-filem seperti Crouching Tiger Hidden Dragon dan Red Cliff. Dayne Cowan, penyelia kesan visual bagi filem-filem ternama seperti Harry Potter and the Deathly Hallows dan juga Batman Begins turut menyertai panel penghakiman tersebut. Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Grand Brilliance, berkata, “Terdapat begitu banyak aspek kreatif dan teknikal yang diperlukan untuk menjayakan sesebuah filem dan kami amat mengagumi pihak Asia Image Apollo Awards kerana memberi pengiktirafan atas kerja keras yang dilakukan oleh penggiat-penggiat bidang produksi dan pasca-produksi. Kami di Grand Brilliance sentiasa berusaha untuk memperbaiki aspek teknikal filem-filem kami untuk memastikan hasil produksi yang berkualiti tinggi, dan penyertaan filem Chow Kit dalam Anugerah Apollo ini menyemarakkan lagi semangat kami untuk terus meningkatkan  prestasi filem-filem kami.”Pencalonan Chow Kit bertambah lebih bermakna kepada para pengarah filem tersebut, Rosihan Zain dan Brando Lee, atas kerjasama pertama mereka dalam pengarahan filem. Filem ini menggunakan teknik penceritaan yang unik, di mana jalan cerita filem itu dibahagikan kepada dua bahagian untuk memberi penonton-penonton gambaran holistik tentang kancah kehidupan penghuni-penghuni lorong Chow Kit. Bahagian pertama diarahkan oleh Rosihan dan menyingkap kisah hidup sekumpulan kanak-kanak jalanan, manakala bahagian kedua, arahan Lee, menceritakan tentang kehidupan seorang ahli gengster yang telah insaf dan cuba untuk melarikan diri dari masa silamnya yang perit. “Kami berasa amat teruja untuk bertanding bersama produksi-produksi ternama seperti dokumentari 3D dari Australia, Storm Surfers 3D dan filem terkenal dari negara India, Jalpari: The Desert Mermaid yang telah memenangi beberapa anugerah sebelum ini. Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berjaya kepada semua yang tercalon, dan kami kini menunggu pengumuman Anugerah Apollo ini dengan penuh debaran,” ujar Tengku Iesta lagi. 

Chow Kit Film Still 2

Chow Kit menceritakan tentang sekumpulan kanak-kanak terabai di Chow Kit yang terpaksa menjalani kehidupan yang penuh dugaan. Apabila salah seorang daripada mereka dirogol, kumpulan kanak-kanak itu bersatu untuk mencari keadilan bagi pihak kawan baik mereka itu. Pada masa yang sama, seorang ahli gengster yang baru dibebaskan daripada penjara berazam untuk memulakan hidup baru. Walau bagaimanapun, dia terperangkap oleh kegiatan masa lalunya dan terpaksa mengambil satu tugasan akhir. Apabila tugasannya itu akhirnya membawa padah, dia mesti memilih jalan yang benar agar tidak kembali meringkuk di dalam penjara.

Chow Kit Film Still 3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *