(SEMASA) ENJOY JAKARTA satu destinasi pelancongan ….

Spread the love

IMG_3825

‘Enjoy Jakarta’  merupakan satu program pelancongan yang digerakan oleh agensi-agensi dari negara Indonesia untuk memacu perkembangan ibu negara Indonesia iaitu Jakarta sebagai pusat pemerintahan, perindustrian, pelancongan dan kebudayaan yang tersohor di mata dunia.  Antara aktiviti menarik ‘Enjoy Jakarta’ di Kuala Lumpur termasuk pementasan konsert yang menampilkan artis-artis terkenal Indonesia termasuk Rossa, Band Ungu, Denny Malik Dancer, Hedi Yunus and Sarah Sechan. Legenda rock Malaysia, Amy Search juga turut diundang untuk memeriahkan konsert berjudul ‘Enjoy Jakarta 2013 Anniversary-Lake Garden Kuala Lumpur’. Konsert tersebut yang bermula jam 8.30 malam itu turut sama menyajikan pelbagai acara menarik termasuk persembahan tradisi dan budaya Indonesia. 

IMG_3833

PADAT dan sibuk, bandar metropolis Jakarta tidak perlu diperkenalkan sebagai bandar yang sememangnya mempunyai daya pesona luar biasa kerana kedudukannya sebagai ibu kota negara Indonesia. Memacu perkembangan sebagai pusat pemerintahan, perindustrian dan kebudayaan, bandar raya ini sememangnya sudah tersohor di mata dunia.

Berunsurkan seni budaya beraneka warna, menjadikan kota Jakarta semakin memukau ibarat pintu gerbang megah menusuk ke kalbu jutaan pengunjung dari luar negara ke sana.

Bagi mereka yang gemar melancong, bandaraya ini adalah antara kota yang wajib dilawati kerana ia menawarkan pelbagai destinasi percutian menarik apatah lagi bagi mereka pertama kali menjejakkan kaki ke negara Gajah Mada yang berusia lebih 486 tahun itu.

Pelancongan adalah antara aspek penting dalam menjana ekonomi negara tersebut. Tidak memeranjatkan negara itu sudah maju berkembang sebagai destinasi pelancongan tersohor di kalangan masyarakat asing. Bilangan pelancong meningkat terutamanya dari Malaysia – negara yang mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi melawat Jakarta.

Peningkatan ini sejajar dengan dengan konsep bandar raya tersebut yang tidak pernah lelah menarik perhatian pelancong.

“Pelancongan adalah aspek utama perkembangan Jakarta. Bandar raya Jakarta sememangnya menarik perhatian ramai pegunjung dengan pelbagai tarikan yang tersedia di bandar  raya ini,” menurut ketua Agensi Pelancongan dan Budaya Jakarta Arie Budiman.

Apabila menyentuh mengenai destinasi percutian idaman di Jakarta pastinya pelancong mempunyai pilihan unik dan menarik sebagai destinasi utama. Pelancong pasti gemar memilih Muzium Fatahillah, dulu dikenali sebagai Muzium Batavia menempatkan Muzium Sejarah Jakarta. Bangunan lama tinggalan Belanda yang terletak di pekan lama, Kota Tua.

Bagi mereka suka berhibur, Jakarta tidak mengecewakan. Pelbagai tempat menarik menjanjikan kenikmatan termasuk ‘Fantasy World’ dan ‘Sea World’ – sesuai untuk hiburan seisi keluarga.

IMG_3864

Tarikan Kota Tua (Jakarta) dan Ancol Taman Impian memang tidak dapat disangkal lagi. Berdiri megah sebagai destinasi yang cukup meriah untuk menarik pelancong ke kota raya yang sinonim sebagai destinasi membeli-belah. Siapa sering ke Jakarta pasti akan pulang dengan memori manis apatah apabila berkesempatan untuk berhibur di kota ini.

Bandar ini dipenuhi dengan pelbagai gedung hiburan untuk memenuhi setiap cita rasa muda mudi bagi suka untuk bersuka ria. Ya, bandar raya Jakarta sememangnya tidak pernah tidur atau sunyi.

“Pelbagai jenis fasiliti terutamanya rangkaian hotel, kelab malam, pusat kesihatan spa dan banyak lagi tarikan yang tersedia di bandar raya ini,” Arie berkata.

Buat masa ini, Jakarta mempunyai lebih 1,257 pusat hiburan dan hampir kesemuanya menjanjikan lebih 19 jenis hiburan untuk memenuhi cita rasa dan pengalaman menarik buat pelancong. Antara menarik termasuk kota miniature Taman Mini Indonesia Indah (TMII) dan institut budaya, Taman Ismail Marzuki.

Pelancong juga turut menikmati tarikan di Zoo Ragunan, yang mempunyai magnitud seluas 140-hektar bagi menempatkan lebih 270 jenis haiwan dan 170 jenis bunga. Zoo ini terletak di kawasan Pasar Minggu, Jakarta Selatan.

Jakarta turut dikenali sebagai pusat beli-belah menarik dan menjanjikan kepelbagaian, nilai dan kemudahan. Pusat beli-belah memenuhi setiap cita rasa dan bajet untuk semua golongan tua dan muda, peminat fesyen, sukan, dekorasi dan termasuk juga penggemar permainan. Semua orang pasti akan dapat menemui benda yang mereka inginkan dan mungkin juga benda tidak terjangka.

Hari ini, Jakarta mempunyai sejumlah 86 pusat beli-belah –dapat memenuhi keperluan pelbagai minat dan gaya, tapi juga turut menawarkan pengalaman beli-belah yang pelbagai kepada pengunjung. Daripada pusat beli-belah berhawa dingin moden dan gedung serba-serbi, membeli-belah di Jakarta memeberikan pengalaman menyeronokkan. Antara yang  terkenal termasuk Plaza Indonesia, Grand Indonesia, Senayan City, Plaza Senayan, Mal Kelapa Gading, Mal Pondok Indah, Mal Taman Anggrek dan Central Park.

Peruncit yang terdiri daripada jenama haute couture, pereka fesyen tempatan yang terkenal dan barangan prêt-a-porter yang mampu milik, dapat ditemui di pelbagai tempat di Jakarta.

Pelancong juga pasti akan tertarik dengan harga durian runtuh yang ditawarkan terutamanya ketika Mega Jualan Jakarta pada pertengahan Julai.

“Jakarta bukan sahaja dikenali sebagai kota keriangan namun ia juga telah meraih reputasi sebagai destinasi membeli-belah yang tersohor kerana mampu menampilkan fesyen terkini,” tambah Arie.

Pelancong juga dapat menikmati diskaun lebih menarik sewaktu perayaan Ulang tahun Jakarta di mana pusat beli-belah memberikan diskaun contohnya pada musim perayaan rakyat termasuk Pekan Raya Jakarta, JFest, Fest Kota Tua, Fest Jalan Jaksa dan Festival Kemang.

eNjoY konsertsmall

Kunjungan untuk membeli-belah di Jakarta tentunya tidak lengkap tanpa menyaksikan pementasan konsert menampilkan nama besar artis tempatan dan antarabangsa. Penganjuran konsert di bandar ini menawarkan nilai hiburan yang tinggi dan ciri unik menggunakan karisma dan tarikan artis yang sering ditampilkan. Antara artis yang pernah gah membuat persembahan di sana termasuk Stevie Wonder, Chaka Khan dan Craig David.

Ledakan sektor pelancongan di kota raya Jakarta turut mengundang pelbagai rangkaian hotel terkenal termasuk Grand Hyatt, Ritz Carlton, Kempinski, Pullman, Intercontinental dan Aston International.

“Penginapan juga turut memainkan peranan penting bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan yang positif. Dan Jakarta menawarkan pelbagai hotel-hotel terkemuka bagi memenuhi cita rasa pengunjung,” kata Arie.

Pertumbuhan konsisten dalam bentuk kemudahan yang bersifat dinamik adalah satu faktor utama untuk menarik pengunjung ke Jakarta. Pada 2012, angka pengunjung domestik telah menjangkau kepada 28.88 juta orang manakala 2.123 juta pula terdiri daripada pelancong antarabangsa.

“Dari angka ini, jumlah pelancong Malaysia tetap unggul di tangga teratas,” katanya.

Untuk menampung permintaan, pihak kerajaan juga akan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk pengunjung ke kota Jakarta. Program inisiatif tersebut  bakal diadakan di beberapa buah bandar termasuk di Kuala Lumpur mulai 13-15 Jun, 2013.

Festival tiga hari anjuran bersama Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Jakarta turut bertujuan menarik peluang-peluang pelancongan dan budaya di antara Jakarta dan Malaysia.

Ia turut membabitkan 25 agensi pelancong dari Jakarta yang masing-masing menawarkan pakej-pakej percutian di Indonesia yang menarik kepada 150 buah agensi dari Malaysia.

“Acara ini diadakan pada pertengahan Jun kerana dekat dengan musim percutian di Malaysia dan kami benar-benar berharap dengan penganjuran festival ini dapat menarik minat pelancong untuk bercuti di Jakarta. Ada banyak pakej pelancongan menarik yang disediakan untuk rakan perniagaan kami di Malaysia,” kata Arie.

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *