(HIBURAN) HyppTV menambah lagi keseronokan buat pelanggannya dengan himpunan program, aktiviti dan tontonan percuma HyppTV Aneka Pack untuk semua ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri!

Perkhidmatan IPTV Telekom Malaysia Berhad (TM), HyppTV hari ini mengumumkan himpunan program dan aktiviti menariknya sempena bulan Ramadan dan Hari Raya yang bakal menjelang. Penonton akan disajikan dengan pelbagai pilihan di mana HyppTV membawakan kandungan tempatan yang terbaik termasuk program-program terbitannya serta telemovie dan filem-filem blockbuster dalam tempoh tayangan percuma bermula 17 Jun sehingga 2 Julai 2017.

Tahun ini, HyppTV memperkenalkan kempen Ramadan-Rayanya bertemakan #tambahlagi yang membawa maksud ‘menambah lagi’, di mana HyppTV mengharapkan untuk #tambahlagi keseronokan melalui pelbagai kandungan yang lebih menarik serta aktiviti-aktiviti terbaik, selari dengan penawaran konvergens UniFi yang menawarkan pelbagai pilihan hiburan untuk para pelanggan. Kempen ini akan diterajui oleh lima (5) selebriti HyppTV; Sarah Hildebrand, dari HyppTV Studio; Putra Amaris dan Mona Allen dari drama bersiri Mr Stalker, Saya Cintakan Awaklah! di HyppSensasi HD; Leanna Dapur Dara di HyppInspirasi HD; dan Saharul Ridzwan dari drama bersiri Setia Menunggumu di Salam HD.

Pelanggan HyppTV akan dapat menonton himpunan kandungan hiburan yang menarik daripada drama bersiri terbitan HyppTV, telemovie dan filem-filem blockbuster di HyppSensasi HD, HyppInspirasi HD dan Salam HD. Selain kandungan tempatan, pelanggan HyppTV turut akan disajikan dengan pelbagai hiburan dari saluran Asia bertaraf antarabangsa di HyppTV seperti tvN Movies HD, Sony Max, Pesona HD dan banyak lagi.

Bercakap pada sidang akhbar yang diadakan bagi mengumumkan himpunan kandungan tersebut, Emily Wee, Naib Presiden, Operasi Perniagaan dan Media, New Media, TM berkata, “Bulan Ramadan merupakan bulan bagi refleksi diri dan diikuti dengan sambutan Hari Raya, kami amat berbesar hati untuk menawarkan program-program yang relevan dan sememangnya menarik untuk dinikmati oleh para pelanggan kami. Seperti mana ramai di antara kita yang mengambil kesempatan di bulan ini untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, kami akan memastikan hanya himpunan kandungan terbaik ditawarkan untuk bulan Ramadan dan Raya untuk anda nikmati ketika berada di rumah malah di mana-mana sahaja dengan aplikasi HyppTV Everywhere.”

“HyppTV telah memilih tema #tambahlagi untuk menggalakkan para penonton untuk melakukan lebih banyak kebaikan dalam bulan perayaan ini. Sambil kami terus #tambahlagi nilai, hiburan dan interaksi bersama-sama para pelanggan pada bulan ini, kami turut menggalakkan para penonton untuk #tambahlagi kebaikan di bulan yang mulia ini dengan bersama-sama menyertai kerja-kerja amal bersama kami,” tambah beliau.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di Menara Kuala Lumpur itu adalah barisan selebriti tempatan, yang akan ditampilkan dalam program-program Ramadan-Raya HyppTV ini iaitu Putra Amaris, Mona Allen, Shah Jaszle, Nadia Brian, Janna Nick, Ellie Suriaty, Faizal Hussein, Aisya Husna, Leanna Dapur Dara, Natasya Mahyan, Niena Baharun, Wanna Ali, Mona Allen, Man Raja Lawak, Yuna Rahim dan ramai lagi. Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan dari Sabhi Saddi, yang menyanyikan lagu sound track dari drama bersiri Setia Menunggumu di Salam HD.

Antara program-program menarik di saluran-saluran HyppTV adalah seperti berikut:

HyppSensasi HD (Saluran 116), akan menayangkan drama bersiri terbaharu sempena bulan Ramadan iaitu, Mr Stalker Saya Cintakan Awaklah! yang bersiaran setiap hari jam 6.00 petang, bermula 27 Mei 2017. HyppSensasi turut membariskan telemovie Ramadan yang akan bersiaran pada hari Sabtu 8.30 malam bermula 27 Mei 2017, dan juga untuk hari Raya di bawah kelompok 7 Malam Sensasi Raya, yang akan ditayangkan pada 9.00 malam setiap hari bermula 25 Jun 2017. Kemuncak bagi program-program ini adalah showcase ‘Sensasi Bersama Judika’ pada jam 6.00 petang pada 26 Jun 2017, persembahan Judika yang dibawakan secara eksklusif ke Malaysia oleh HyppTV pada bulan Mac tahun ini di IOI City Mall, Putrajaya.

HyppInspirasi HD (Saluran 111) turut #tambahlagi dengan siri istimewa Dapur Dara Ramadan yang akan disiarkan pada hari Isnin sehingga Jumaat pada jam 7.00 petang bermula 29 Mei 2017. Setiap episod menampilkan 3 resipi yang boleh disediakan dengan bajet serendah RM10 – cara terbaik untuk menjimatkan wang dan tidak membazir pada bulan Ramadan ini. Selain daripada program masakan, HyppInspirasi HD akan menayangkan telemovie ‘Kasut’ sebuah telemovie istimewa Inspirasi Syawal pada jam 8.00 malam dan KLTV Raya pada jam 10.00 malam, 25 Jun 2017.

Untuk meningkatkan refleksi diri pada bulan mulia ini, sebuah drama bersiri terbaharu terbitan HyppTV, Setia Menunggumu, yang dibintangi oleh Saharul Ridzwan akan menemui penonton pada jam 6.00 petang setiap hari Jumaat bermula 16 Jun 2017 di saluran Salam HD (saluran 113). Barisan filem-filem blockbuster Islamik seperti ‘Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2’ dan Dalam Mihrab Cinta’ akan turut menemui penonton saluran ini pada bulan Ramadan. Program-program lain yang wajib ditonton adalah dokumentari dan rencana istimewa sempena Ramadan, program-program muzikal Islamik dan bual bicara untuk tontonan seisi keluarga.

HyppTV turut menawarkan kandungan-kandungan terbaik dari saluran Asianya seperti Pesona HD (Saluran 115), Sony Max (Saluran 308) dan tvN Movies HD (Saluran 222). Kesemua kandungan menarik ini merupakan kandungan yang terdapat di dalam HyppTV Aneka Pack dan boleh ditonton secara PERCUMA oleh semua pelanggan termasuklah mereka yang menikmati saluran ini menerusi aplikasi HyppTV Everywhere dari 17 Jun sehingga 2 Julai 2017.

Untuk mengukuhkan lagi konsep #tambahlagi dan selari dengan inspirasi perayaan korporat TM ‘Bukalah Pintu Hati’, HyppTV akan mengadakan pelbagai aktiviti sempena bulan mulia ini dalam usaha untuk memberi kembali kepada komuniti. Untuk menzahirkan komitmennya dalam membangunkan industri hiburan tanah air, HyppTV berkolaborasi bersama Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) untuk meraikan dan menghargai artis-artis veteran kita dengan memberikan sumbangan duit raya serta pakej raya HyppTV. Selain itu, HyppTV turut mengadakan kutipan derma bagi baju-baju Raya dan duit raya untuk anak-anak yatim yang akan diadakan di Lobi Menara TM bermula 29 Mei sehingga 7 Jun 2017. Hasil sumbangan itu seterusnya akan disalurkan kepada dua (2) buah rumah anak-anak yatim dan institusi tahfiz di Shah Alam yang akan turut diraikan dalam satu majlis buka puasa yang akan diadakan di Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13 Shah Alam pada 10 Jun 2017. Khas untuk komuniti di Shah Alam, pemberian makanan #tambahlagi HyppTV  akan diadakan di Bazar Ramadan Stadium Melawati pada 10 dan 11 Jun dan akan disertai oleh selebriti-selebriti HyppTV seperti Fendi Dapur Bujang dan Leanna Dapur Dara.

Selain itu, tahun ini, HyppTV turut bekerjasama dengan Yayasan Bantuan Makanan Malaysia yang akan melancarkan mesej komuniti sebagai sebahagian daripada kesedaran #tambahlagi untuk mengurangkan pembaziran makanan yang akan disiarkan dari 26 Mei sehingga 2 Julai di HyppTV.

HyppTV kini menawarkan kepada para pelanggannya sebanyak 109 saluran dengan 54 saluran dalam Definisi Tinggi (HD) – terdiri daripada 53 saluran premium, 26 saluran percuma, 2 saluran Radio, 7 saluran Video-On-Demand dan 22 saluran interaktif dalam pelbagai pakej nilai dan pilihan secara ala-carte.

Pelanggan HyppTV boleh menikmati program-program kegemaran mereka dengan selesa ketika berada di rumah menerusi skrin besar, tanpa mengira cuaca dan di mana-mana jua dengan aplikasi HyppTV Everywhere. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Android Play Store atau Apple App Store untuk anda nikmati pada telefon pintar, tablet atau PC dan ketika berada di luar rumah. Saluran seperti HyppSensasi HD, HyppInspirasi HD dan Salam HD kini boleh didapati dengan langganan HyppTV Aneka Pack pada harga RM30 sebulan tanpa bayaran tambahan untuk HD, beserta ciri-ciri seperti catch-up dan time-shift. HyppTV Aneka Pack turut menawarkan saluran-saluran Asia antarabangasa seperti Pesona HD, Sony Max, tvN Movies dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai penawaran HyppTV layari www.tm.com.my/hypptv atau lawati laman media sosial kami di www.facebook.com/hyppworld (Facebook), www.twitter.com/hypptv (Twitter), www.instagram.com/hyppworld (Instagram) dan www.youtube.com/tmyoutube  (Youtube).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *