Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan sebuah filem cinta terbaharu berjudul Kata Hati, sebuah karya yang menggabungkan elemen percintaan, humor dan realiti kehidupan moden dalam satu naskhah yang segar.
Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd. itu adalah sebuah karya santai dan menghiburkan, namun berkembang menjadi sebuah cerita yang lebih mendalam tentang kehidupan dan pilihan hati.
Penerbitnya, Muhammad Bahir berkata, filem berkenaan bukan sebuah kisah cinta semata-mata, tetapi memaparkan realiti yang berlaku dalam dunia sebenar kehidupan seorang selebriti popular.
“Idea menghasilkan Kata Hati muncul apabila sepanjang bekerja dalam industri ini, kami berpeluang bertemu ramai selebriti dan tertarik melihat perbezaan antara persona yang mereka tunjuk di depan kamera dengan kehidupan sebenar di sebalik lensa.
“Jadi kami mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah kisah di sebalik dunia glamor seorang selebriti itu dan disulami dengan sebuah jalan cerita yang mampu menghiburkan penonton,” ujarnya.
Diarahkan oleh Nadiah Hamzah, filem Kata Hati yang bergenre romantik komedi itu mengangkat kisah tentang percintaan yang terjalin antara seorang pelakon wanita popular dengan pemandu e-hailing.
Menariknya, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon sedang meningkat naik sebagai teraju utama iaitu Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris, bergandingan dengan nama-nama yang cukup popular seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.
Apa yang lebih menarik lagi, Kata Hati turut diserikan lagi dengan penampilan ‘cameo’ beberapa pelakon popular tanah air seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.
Sementara itu, Juliana Foo selaku penerbit eksekutif pula menyatakan filem tersebut sesuai untuk dihasilkan buat masa ini memandangkan penonton sudah terlalu banyak dihiburkan dengan naskhah yang bercorak aksi dan seram.
Jelasnya, genre sedemikian juga sudah lama tidak diketengahkan, sedangkan masih ada ramai dalam kalangan penonton yang merindui cerita cinta yang ringan dan menghiburkan.
“Ternyata Kata Hati hadir sebagai sebuah filem ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ serta memberikan momen yang indah dan tersendiri buat mereka yang menontonnya nanti di pawagam,” jelasnya.
Nadiah Hamzah selaku pengarah menjelaskan antara tarikan pada naskhah terbaharu itu adalah ia menjanjikan pelbagai rencah dan rasa, lalu disatukan dalam sebuah penceritaan yang cukup menarik dan unik.
Ujarnya, setelah menghasilkan filem yang agak berat iaitu Motif sebelum ini, dia memang berniat untuk mengarahkan sebuah filem cinta ringan yang boleh membuatkan penonton bergelak ketawa sambal menangis di pawagam.
“Berkenaan dengan pemilihan pelakon pula – Nia, Yusof dan Fazziq dipilih menerusi sesi casting dan tidak dinafikan mereka antara pendatang baharu dalam dunia layar lebar.
“Namun begitu, apa yang paling mengejutkan buat saya adalah kesungguhan mereka untuk memberikan sebuah lakonan yang mantap dan komitmen ketigatiganya memang wajar dipuji,” jelasnya.
Sebagai pengarah, Nadiah berharap penonton dapat merasai sendiri keindahan dan kejujuran dalam kisah cinta yang dipaparkan dalam filem ini.
“Sudah tentu saya mahu penonton datang beramai-ramai untuk meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang bukan biasa-biasa.
“Apa yang boleh saya katakan, ia bakal menyentuh emosi melalui tangisan dan gelak ketawa dan mengingatkan kita semua tentang kemanisan bercinta,” ujarnya.
Penggambaran dijalankan pada awal bulan Ogos 2025 di sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan.
Filem Kata Hati akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 JUN 2026.
Untuk informasi lanjut, boleh layari filemkatahati.my
SINOPIS
Kata Hati mengisahkan Ayra Natasha (Nia Atasha), seorang pelakon wanita yang sedang meningkat naik dan menjadi perhatian ramai, apatah lagi dengan kemunculan sulungnya dalam sebuah filem aksi berskala besar bersama teman lelaki yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail (Fazziq Muqris). Namun, dalam satu insiden memalukan yang tular dan disaksikan seluruh negara pada malam pencalonan sebuah anugerah berprestij, kehidupan Ayra yang sebelum ini tampak sempurna mula retak.
Pada masa yang sama, di tengah kekecohan malam tersebut, dia bertemu Imran Firdaus (Yusof Hashim) seorang pemandu e-hailing yang langsung tidak terkesan dengan kegilaan dunia selebriti. Bagaimanapun, keadaan berubah apabila Imran terpaksa bersetuju dengan rancangan Maya (Scha Alyahya) kakak yang juga merangkap pengurus Ayra untuk menjadi pemandu peribadi Ayra.
| BARISAN PELAKON
NIA ATASHA – Ayra Natasha YUSOF HASHIM – Imran Firdaus FAZZIQ MUQRIS – Zayn Mikhail SCHA ALYAHYA – Maya TAQIM ZAKI – Khalil NORREEN IMAN – Kak Long RAZIB SALIMIN – Dato’ Mike NINA KHO – Linda NAYLAA JULIANNE – Alana NU’MAN SALLEH – Ahmad PENAMPILAN ISTIMEWA |
|
| BETO KUSYAIRY
NABILA HUDA LIYANA JASMAY AZIZ M. OSMAN ADRIANA ADNAN BELLA RAHIM CEDDY ANG SHWETA SEKHON PRODUKSI |
|
| Terbitan | – WAYANGWORKS & FILMSCAPE |
| Pengarah | – NADIAH HAMZAH |
| Penerbit | – MUHAMMAD BAHIR |
| Penerbit Eksekutif | – JULIANA FOO |
| – NADIAH HAMZAH | |
| Pengarah Fotografi | – ERIC YEONG |
| Pengarah Seni | – MALIQ HUSSEIN |
| Lakon Layar | – NADIAH HAMZAH |
| Penyunting | – AIMAN AZFAR |

