Sekitar awal bulan April 2026, Samsung telah melancarkan siri Galaxy A terbaharu, iaitu Galaxy A57 5G dan Galaxy A37 5G. Model utama dalam siri ini, iaitu Samsung Galaxy A57 5G, merupakan pengganti atau kesinambungan kepada model Galaxy A56 yang dilancarkan sekitar Mac 2025.
REKA BENTUK ATAU REKAAN LUARAN
Samsung Galaxy A57 5G tampil dengan perubahan reka bentuk yang sangat signifikan. Ia merupakan model siri Galaxy A yang paling nipis pernah dihasilkan dengan ketebalan hanya 6.9 mm dan beratnya sekitar 179 gram, menjadikannya jauh lebih ringan dan selesa untuk pegangan sebelah tangan. Peranti ini diperkuatkan dengan bingkai logam premium dan dilengkapkan dengan ciri perlindungan rintangan air dan debu dengan pensijilan IP68. Ini bermakna peranti ini mampu bertahan di dalam air sehingga kedalaman 1.5 meter selama tempoh 30 minit.
PAPARAN PERANTI
Samsung Galaxy A57 5G didatangkan dengan panel skrin Super AMOLED Plus bersaiz 6.7 inci HD Penuh (Full HD+) dengan rekaan bezel yang lebih nipis. Ia menyokong kadar penyegaran (refresh rate) sehingga 120Hz serta dilengkapi teknologi Vision Booster untuk kekal jelas di bawah cahaya matahari. Kaca hadapan pula dilindungi oleh lapisan Gorilla Glass Victus+ untuk ketahanan daripada calar dan impak.
CHIPSET DAN PRESTASI
Samsung Galaxy A57 5G dikuasakan oleh chipset Exynos 1680 (5nm) dengan gabungan lapan teras (Octa-Core). Ia didatangkan dengan kapasiti RAM sehingga 12GB serta storan dalaman sehingga 512GB. Peranti ini dijalankan dengan sistem pengoperasian Android 16 bersama One UI 8.5 yang lebih pintar. Samsung menjanjikan sokongan jangka panjang iaitu enam tahun kemas kini OS dan enam tahun kemas kini keselamatan, memastikan peranti ini kekal relevan dan selamat untuk tempoh yang lama.
KAMERA DAN LENSA
Samsung Galaxy A57 5G memberikan tumpuan utama kepada keupayaan Nightography. Ia didatangkan dengan sistem tiga kamera di bahagian belakang iaitu kamera utama 50 MP F/1.8 (WIDE) dengan sistem OIS (Optical Image Stabilization), 12 MP (ULTRAWIDE) serta 5 MP (MACRO). Peningkatan pada ISP (Image Signal Processor) membolehkan gambar malam dirakam dengan lebih cerah dan kurang hingar (noise). Untuk kamera hadapan, ia dilengkapi lensa 12 MP dengan sokongan Super HDR untuk hasil swafoto yang lebih bertenaga. Peranti ini juga menyokong rakaman video sehingga 4K dengan kestabilan imej yang lebih baik.
AUDIO
Samsung Galaxy A57 5G didatangkan dengan persediaan pembesar suara stereo (stereo speakers) yang memberikan kualiti bunyi yang baik, namun seperti model sebelumnya, ia tidak lagi menyertakan port 3.5 mm Audio Jack.
BATERI DAN PENGECASAN
Meskipun mempunyai profil yang sangat nipis, Samsung Galaxy A57 5G tetap memuatkan bateri berkapasiti 5,000 mAh yang menjanjikan ketahanan sehingga 2 hari penggunaan. Ia menyokong pengecasan pantas 45 Watt (Super Fast Charging 2.0). Dengan sokongan ini, pengguna boleh mengecas peranti sehingga 60% dalam masa kira-kira 30 minit sahaja dengan menggunakan pengecas penyesuai plag (adapter charger) 45W yang dijual berasingan.
LAIN-LAIN
Peranti ini menyokong sambungan internet 5G, Wi-Fi 6, NFC, dan Bluetooth 6.0. Ciri keselamatan tambahan diperkukuhkan lagi dengan Samsung Knox Vault. Terdapat pilihan tiga warna menarik iaitu Awesome Navy, Awesome Gray, dan Awesome Icyblue. Seperti biasa, peranti ini menggunakan port sambungan USB Type-C dan dilengkapi sistem pengimbas cap jari di bawah skrin.
RUMUSAN
Kesimpulannya, Samsung Galaxy A57 5G merupakan telefon pintar kelas pertengahan terbaik yang pernah dihasilkan oleh Samsung, terutama bagi mereka yang mementingkan rekaan nipis dan keupayaan kamera malam. Walaupun harganya bermula sekitar RM2,249.00 (tanpa adapter charger), kualiti binaan premium, prestasi yang lancar serta jaminan kemas kini perisian selama 6 tahun menjadikannya satu pelaburan yang sangat berbaloi.







