SEPERTI yang sudah diuar-uarkan pada sidang media pertama Wings yang dilaksanakan pada 21 Februari yang lalu, sidang media kali ini diadakan bertujuan memperkenalkan dua figura yang bakal berkolaborasi dengan Wings dalam konsert Wings Rockestra kelak. Dua nama yang bukan calang-calang dalam industri muzik ini dijemput khas oleh Wings bagi menjadikan konsert kelak sebagai sebuah sejarah yang punya momen tersendiri. Dua nama yang cukup kental dengan portfolio dan perjalanan muzik mereka sebagai gitaris terkenal yang cukup profesional.
Ian Antono, pemain gitar daripada tanah seberang, Indonesia yang merupakan gitaris grup God Bless diterbangkan khas buat sebuah kolaborasi yang cukup unik dan mengesankan. Bukan hanya Ian, pergabungan kental ini dipadukan lagi dengan jemputan khas Wings membawakan gitaris Malaysia terkenal, Hillary Ang untuk sebuah paduan rock yang cukup harmoni.
Mungkin khalayak yang terbiasa menonton konsert G3 yang membariskan Joe Satriani, Steve Vai, dan Eric Johnson bakal tersenyum pula melihat gabungan ‘G3 Malaysia-Indonesia’. Tiga gitaris bertukar rasa, riff dan solo apabila Ian Antono, Hillarry Ang dan Joe Wings bakal bersatu dalam satu segmen khas yang bakal diadakan dalam Konsert Wing Rockestra. Segmen tiga gitaris hebat ini akan berpadu secara harmoni dalam segmen yang berjalan selama 20 minit.
Bukan itu sahaja, Ian Antono turut akan memainkan beberapa buah lagu Wings dan berkolaborasi bersama Joe, Awie, Eddie dan Black bagi memeriahkan suasana Istana Budaya, sebuah pentas berprestij yang telah melakarkan sejarah Wings dan telah mengiktiraf grup tersebut sebagai persembahan artis solo atau berkumpulan yang mendapat kutipan tertinggi di pentas tersebut.
Grup rock pertama yang masuk ke dalam Panggung Sari, Istana Budaya ini sekali lagi akan memalu gendang irama rock selama 4 hari iaitu pada tanggal 26, 27, 28 dan 30 April kelak. Bermula pukul 8.45 malam, Panggung Sari juga turut dipadukan dengan persembahan 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangssan.
Membentuk kembali sebuah atmosfera rockestra, Wings sekali lagi bergandingan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer, dipadukan lagi dengan Pengarah Muzik (Musical Director) galasan Joe Wings dan penggubah muzik orkestra (orchestra music arranger) Miss Lee Tse Wan. Hillary Ang juga menjawat tanggungjawab sebagai penyusun muzik pertama dan dibantu Rozario sebagai penyusun muzik untuk grup.
Saksikan gabungan yang bukan calang-calang dan akan membentuk atmosfera rock yang tersendiri malah boleh dijadikan sebagai sebuah tanda aras dalam sejarah persembahan sebuah grup rock tempatan.
Tiket Konsert Wings Rockestra boleh dibeli http://www.ticket2u.biz pada harga:
RM499 (Golden Seat) , RM399 (Front Stall), RM299 (Middle Stall), RM249 (Grand Circle Centre), RM199 (Grand Centre L&R), RM149 (Grand To End), RM99 (Upper Circle/Center), RM69 (Upper Cirlce)
PROFIL WINGS
Wings merupakan salah satu grup rock paling lama bertahan sejak ditubuhkan pada tahun 1986 Tersenarai diskografi yang cukup unggul, hingga kini Wings mempunyai 17 buah album studio, 10 buah album kompilasi dan 4 buah album rakaman live.
Album pertama Wings diterbitkan pada tahun 1987 dengan tajuk Belenggu Irama yang terangkum lagu-lagu seperti Intanku Kesepian, Peronda Jaket Biru, Biarkan Berlalu dan Inspirasi Taming Sari. Ini diikuti dengan album Hukum Karma yang memberikan lagu-lagu hits seperti Misteri Mimpi Syakila, Hukum Karma, Taman Rashidah Utama dan Orang Kita.
Dalam histori perjalanan Wings, album studio Wings dengan tajuk Bazooka Penaka pernah menerima pencalonan paling banyak dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 93. Album ini memenangi anugerah Rakaman Album Terbaik pada tahun tersebut. Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut ialah Di Ambang Wati, Bernafas Dalam Lumpur dan Suara Kita.
Album Naga Kramat diterbitkan pada tahun 2002 dan buah tangan akhir tersebut telah membuahkan kerinduan buat para peminat Wings. Kumpulan ini dengan secara rasminya telah menjadi artis naungan KRU Music Group pada tahun lalu dan akan keluar dengan sebuah album studio baru yang diberi judul Menakluk Kosmos.
PROFIL IAN ANTONO
Pria kelahiran kota Malang. 29 Oktober 1950 ini menjadi legenda dan idola bagi para pemuzik muda lantaran eksistensi dan konsistennya memilih hidup dalam rimba-raya muzik rock. Sepanjang kariernya, Ian Antono telah banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan muzik di tanah airnya, Indonesia.
Sejarah muzik Ian bermula sejak kecil iaitu sejak Sekolah Dasar kelas lima. Waktu itu Ian sudah bermain band keluarga memegang alat musik ketipung. Kemudian Ian memilih bermain drum dan secara diam-diam menekuni instrumen gitar hingga menjadi gitaris terkenal.
Menjalani dunia remaja dengan imej rambut yang dibiarkan panjang sepinggang, dandanannya ala underground, Ian bergabung dengan grup band seperti Corona ,Zodiac dan beberapa nama lain dan setiap malam minggu tidak pernah terkecuali untuk bermain di acara –acara majlis perkahwinan,ulang tahun dan perpisahan sekolah .
Ian Antono memang lahir dari keluarga seniman muzik. Abangnnya dikenali sebagai pemain muzik pada tahun 60-an, bahkan ayahnya yang bertugas sebagai guru juga dikenali sebagai pemain biola pada zamannya. Untuk mengembangkan kariernya, pada tahun 1969, Ian hijrah ke Jakarta bersama Abadi Soesman Band . Bermulah perjuangannya dalam mencari keberuntungan di kota metropolitan yang terkenal sangat kompetitif. Bergabung dalam Abadi Soesman Band, Ian bermain dari kelab malam ke kelab malam serta di hotel-hotel seperti Marcopolo dan Harrison.
Merasa tidak puas sebagai band pengiring, maka pada tahun 1971 Ian bergabung dengan kelompok muzik asal kota kelahirannya, Malang, Band Bentoel, yang memainkan jenis muzik rock. Berkat bakat dan kecerdasannya memainkan instrumen gitar, maka pada masa itu, ramai pemuzik yang melirik potensi Ian Antono sebagai gitaris rock. Pada tahun 1974 ia direkrut oleh Ahmad Albar, untuk mengisi formasi sebagai gitaris di kelompok muzik God Bless, yang pada zamannya, grup muzik rock ini namanya cukup besar dan elit.
Menguasai panggung pertunjukan muzik rock di seluruh Indonesia, kelompok muzik rock ini ikut mengukuhkan nama Ian Antono sebagai gitaris rock terbaik di negaranya. Hingga kini Ian terlibat dalam banyak kerja-kerja kreatif God Bless antaranya dalam pembikinan album Huma Di Atas Bukit (1976), Cermin (1982), Semut Hitam (1987) dan Kembali (1998).
Ian tidak hanya dikenali sebagai gitaris rock yang hebat, namun tercatat pula sebagai penyusun, pencipta lagu, penggubah, pencari bakat yang handal. Secara perlahan-lahan, Ian menyisipkan sentuhan rock dalam sejumlah album penyanyi pop seperti Grace Simmon, Hetty Koes Endang, Sylvia Saartje, Titiek Hamzah, Berlian Hutahuruk, Deddy Stanzah, Farid Hardja, Freddy Tamaela, Happy Pretty, Anggun C Sasmi dan beberapa penyanyi lain.
Bahkan Ian sempat pula diberi kepercayaan untuk membuat album dangdut Zakia (1979) dengan sentuhan muzik rock dan album tersebut sempat meraih sukses di Malaysia. Daripada tangannya juga lahir banyak penyanyi rock dan sejumlah hits yang sangat monumental, seperti Syair Kehidupan (1980) dan Panggung Sandiwara (1978) Dari tangannya pula lahir nama Ikang Fawzy, dan kemudian kerjasamanya dengan sejumlah penyanyi seperti Iwan Fals, Franky Sahilatua, Leo Krist dan Doel Sumbang.
PROFIL HILLARY ANG
Gitaris dengan nama Hillary Ang ini cukup dikenali sebagai salah seorang pemain gitar yang cukup profesional dan bersih permainannya. Anak kelahiran Melaka dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor ini memulakan kerjaya sebagai pemain gitar grup Search pada tahun 80-an yang muncul dengan album Langit dan Bumi (1986). Hillary turut terlibat dengan pembikinan album Search seperti Mentari Merah Di Ufuk Timur (1987), Di Pintu Sepi (1988), Berpaling (1988), Fenomena (1989) dan Gothik Malam Edan (2006).
Selain menganggotai grup Search, Hillary juga merupakan ahli grup Cromok. Kombinasi ini keluar dengan album Mean, Meaner, Meanest (1997), Image of Purity (remastered) (200), Whats Left (200), Defeaning Silence (2002) dan Untitled (2004).
Gitaris ini juga terlibat dengan pembikinan album artis terkenal di Malaysia seperti Hattan, Ella, Awie dan Slam. Hillary pernah membuat dua buah album solo pada tahun 1990 dan tahun 1994. Mengikut jalur perjalanan Hillary sebagai pemuzik undangan, beliau merupakan Pengarah Muzik bagi banyak konsert termasuk Ella dan Datuk Aznil Haji Nawawi. Beliau juga merupakan gitaris bagi konsert Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Jepun dan Indonesia. Juga mengikuti Festival Muzik Asia di Jepun dan Jogjakarta.
Bukan itu sahaja, kehebatan Hillary membuatkan beliau diundang menjadi pemuzik bagi persembahan artis tempatan dan Taiwan yang berlangsung di Taiwan dan China. Mengutip pengalaman hidup sebagai anak seni dan gitaris, Hillary turut terlibat dengan Smoke On The Water 40th Anniversary Concert yang berlangsung di Fort Canning Park, Singapura. Konsert tersebut membariskan ramai pemuzik terkenal seperti Ian Antono daripada Indonesia serta Wally Gonzalez dan Ruejenson Alfonso daripada Filipina. Kini Hillary merupakan salah seorang pemuzik yang diyakini dan sering mendapat undangan untuk bertindak sebagai gitaris atau pengarah muzik bagi sesebuah konsert, persembahan mahu pun pembikinan album.