(HIBURAN) OH MY ENGLISH! MEMPERSEMBAHKAN TELEFILEM KHAS, ‘OH MY GANU!’

Spread the love

OME.0011

Berikutan kejayaan siri televisyen Oh My English! yang menjadi perbualan ramai, kini rancangan ini maju selangkah lagi apabila tampil dengan telefilem khas berjudul Oh My Ganu! yang akan disiarkan pada 27 November 2013, jam 9 malam di Astro TVIQ (Saluran 610) dan siaran serentak berdefinisi tinggi di Astro Maya HD (Saluran 135).

OMG 1small

Para peminat siri ini pastinya tidak sabar menunggu kelainan di dalam telefilem Oh My Ganu! yang merupakan kesinambungan daripada episod kemuncak Oh My English! musim kedua. Sempena cuti sekolah, telefilem bercorak komedi pendidikan ini akan turut menampilkan Zizan Raja Lawak dan Izzue Islam dalam watak baru.

Telefilem Oh My Ganu menyambung kisah episod kemuncak iaitu episod 20 Oh My English musim kedua, yang berakhir dengan babak tergantung yang mana Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) harus memilih sama ada berjumpa Sara Jane (Gabriella Robinson) yang akan berangkat ke United Kingdom, ataupun Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) yang mengambil keputusan untuk pulang ke Terengganu. Pada hujung rancangan, penonton diberi peluang untuk membantu Mr. Middleton memilih antara Sara Jane di UK atau Cikgu Ayu di Terengganu melalui undian dalam talian atau menerusi media sosial. Sebanyak 50,000 undian penonton telah diterima dan hasilnya 89% daripada undian menyebelahi Cikgu Ayu. Keputusan inilah yang telah membentuk jalan cerita telefilem ‘Oh My Ganu’.

Encik Mohd. Salleh (Harun Salim Bachik) dan para pelajar kelas 3 Merah seperti See Yew Soon (Roax Tan), Jibam (Akhmal Nazri), Azlin (Izara Aishah), Hani (Iezahdiyana), Mazlee (Zhafir Muzani), Azlan (Syafie Naswip), Shafiq (Addy Ashraf), Anusha (Kaameshaa) dan Farouk (Amer Shariff) akan turut tampil dalam telefilem Oh My Ganu untuk memberikan kepuasan hiburan berganda kepada para penonton.

OMG 2small

Selain barisan pelakon asal, Oh My Ganu! beberapa pelakon hebat turut membuat penampilan untuk pertama kalinya dalam Oh My English. Mereka ialah Zizan Razak dan juga Izzue Islam. Kedua-dua pelakon tersebut terpilih untuk ‘Oh My Ganu’ atas permintaan peminat menerusi Facebook dan Twitter, kebolehan masing-masing menjayakan watak komedi, dan juga kerana kedua-duanya berasal daripada Pantai Timur. Mereka akan menggunakan loghat pantai timur dalam telefilem ‘Oh My Ganu’. Pesona Izzue dan keletah Zizan tentunya akan membuatkan para penonton tidak kering gusi apabila menonton ragam mereka nanti.

Melalui telefilem ‘Oh My Ganu’ yang berlatar-belakangkan sebuah kampung di pantai timur, penonton juga dapat menyaksikan adegan mencuit hati apabila pelajar 3 Merah dan guru kesayangan mereka Mr. Middleton pergi mencari Cikgu Ayu di kampung halaman beliau. Namun begitu, dalam gelagat lucu pastinya terselit drama dan cabaran apabila Mr. Middleton terpaksa berhadapan dengan Zizang (Zizan Razak), seorang jutawan di kampung tersebut yang turut menaruh hati terhadap Cikgu Ayu, dan juga Aiman (Izzue Islam) yang sangat rapat dengan Cikgu Ayu. Siapakah yang akan berjaya memenangi hati Cikgu Ayu dan apakah kesudahan buat para pelajar kelas 3 Merah? Semuanya akan terjawab di dalam telefilem Oh My Ganu! nanti.

Menurut Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, “Oh My English! komedi pendidikan bersiri musim kedua ini berjaya menarik perhatian seramai 5.2 juta penonton TV, 11.6 juta tontonan di Youtube, 525,000 peminat di Facebook serta menguasai di tangga teratas Twitter. Oleh itu, kini kami tampilkan pula telefilem khas sempena cuti sekolah berjudul ‘Oh My Ganu!’ yang merupakan kesinambungan daripada episod kemuncak Oh My

English! musim kedua. Telefilem bercorak komedi ini merupakan suatu tanda penghargaan daripada kami khas buat para peminat setia Oh My English! yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada program ini.

‘Oh My Ganu’ menjanjikan kelainan dengan kehadiran watak baru yang dihidupkan oleh Izzue Islam dan Zizan Raja Lawak.  Sepanjang penggambaran, para kru dan pelakon tak kering gusi dan ini dapat disaksikan dalam adegan yang melucukan dan di luar jangkaan di hujung telefilem ini nanti. Di samping itu, telefilem ‘Oh My Ganu’ dihasilkan dengan kualiti penggambaran yang tinggi bagaikan penerbitan filem, dengan kerjasama Red Communications yang mengenengahkan pengarah fotografi yang pernah memenangi anugerah, Haris Hue Abdullah dan penata muzik Mohsin bin Othman, serta pengarah, Umi Salwana Omar. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Vitagen, selaku penaja utama telefilem ‘Oh My Ganu’.

Semoga telefilem ‘Oh My Ganu!’, yang menggabungkan komedi dan kandungan ilmiah, serta diterbitkan dengan kualiti produksi setaraf dengan filem pawagam, akan mendapat sambutan positif penonton daripada semua peringkat usia,” tambah beliau lagi.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton telefilem khas kesinambungan daripada siri Oh My English! yang berjudul Oh My Ganu! yang akan disiarkan pada 27 November 2013, jam 9 malam secara eksklusif di Astro TVIQ (Saluran 610) dan siaran serentak di Astro Maya HD (Saluran 135). Telefilem ini juga boleh ditonton oleh pelanggan NJOI, menerusi Astro Prima (Saluran 105) pada jam 9.30 malam pada hari yang sama.

Layari laman rasmi Oh My English! di www.ohmyenglish.com.my untuk maklumat lanjut atau mempelajari Bahasa Inggeris menerusi permainan-permainan interaktif dan kandungan-kandungan lain.

Untuk melanggan Astro, hubungi kami di talian 1300 82 3838 atau layari www.astro.com.my


Spread the love

2 comments on “(HIBURAN) OH MY ENGLISH! MEMPERSEMBAHKAN TELEFILEM KHAS, ‘OH MY GANU!’

  1. faiztipo says:

    I love oh my ganu! !!!!

  2. faiztipo says:

    I love it

Leave a Reply to faiztipo Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *