(HIBURAN) Pelancaran Filem ‘ABANG LONG FADIL 2’

IMG20151113211526cropfinal

KUALA LUMPUR, 13 NOVEMBER 2015 – Skop Productions Sdn Bhd dengan usahasama Astro Shaw Sdn Bhd hari ini melancarkan ABANG LONG FADIL 2, karya asal, skrip dan arahan pengarah muda berbakat besar, Syafiq Yusof.

Menurut Pengarah Urusan Skop Productions, Yang Berbahagia Datuk Yusof Haslam berkata ABANG LONG FADIL 2 dihasilkan berdasarkan daripada kejayaan Abang Long Fadil yang berjaya mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM5 Juta pada tahun 2014.

Seperti filem sebelum ini, ABANG LONG FADIL 2 masih menampilkan Zizan Razak sebagai teraju utama filem ini atas kejayaannya menghidupkan watak samseng di dalam filem terdahulu.

Di samping Zizan Razak, beberapa pelakon terkenal seperti Datuk AC Mizal,  Acey  (Bocey),  Shuib  (Sepahtu),  Syamsul  Yusof,  Wak  Doyok, A. Galak, Tania Hudson dan Mas Khan, juga turut membintangi dan  menyerikan lagi filem genre aksi komedi ini.

Diberitakan juga bahawa pengarah filem ini, Syafiq Yusof, bakal menggunakan 30 peratus Kesan Khas Visual untuk mendapatkan kualiti yang terbaik dan memberi impak kepada para penonton.

Filem terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw ini bakal menelan belanja RM3.2 juta untuk kos pembikinan, promosi dan teknik Kesan Khas Visual (CGI).

Penggambaran filem ke-35 terbitan Skop Productions ini dijangka bermula pada 15 November 2015 ini dan beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang, Putrajaya dan sekitar Lembah Kelang telah dipilih untuk dijadikan latar filem ini.

Sinopsis

Abang Long Fadil 2 mengisahkan tentang perjalanan hidup Fadil, yang terjerumus ke dalam dunia mafia, didalangi oleh Taji Samprit dan anaknya Wak Doyok. Berlaku satu insiden yang menyebabkan Fadil disalah anggap oleh Insp. Wahab dan Insp. Shuib sebagai pembunuh upahan yang dikenali sebagai Tiger.

Dalam pada masa yang sama, Yana, seorang wartawan TVKL yang sering membuat liputan kes-kes pembunuhan yang dilakukan Tiger juga terjebak dalam kekalutan masalah yang dialami Fadil. Fadil terpaksa menjalani hidup sebagai seorang pembunuh upahan walaupun dia bukanlah seorang pembunuh. Sasaran pertama Fadil ialah King Kong, seorang yang gila kuasa dan musuh kepada Taji Samprit.

Pelbagai aksi dan situasi komedi berlaku dalam perjalanan hidup Fadil sebagai seorang pembunuh upahan. Hanya satu cara untuk membersihkan nama Fadil, iaitu mencari identiti sebenar Tiger bagi membetulkan keadaan dan membuktikan Fadil tidak bersalah.

Berjayakah Fadil menempuh dugaan yang berlaku pada dirinya? Siapakah Tiger yang sebenar dan apakah misteri yang tersembunyi selama ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *