(HIBURAN) Pelancaran single Fiqri Jelani, “Terlalu Merinduimu” ciptaan Eddie Hamid    

Spread the love

Bukan mudah untuk Fiqri Jelani, 25, membina impian dan mengejar cita-cita menjadi penyanyi terkenal. Dia pernah diejek, diperli dan sering menjadi mangsa sindiran rakan sekampung yang pernah membesar bersamanya di Felda Vesout 1, Slim River, Perak.
Anak bongsu daripada lima beradik itu melalui satu perjalanan hidup yang penuh dugaan namun Fiqri atau nama sebenarnya Mohd Fiqri Jelani, percaya dan yakin suatu hari nanti pasti segala angan-angannya akan menjadi kenyataan.

Sebagai anak yang paling rapat dengan ibunya, Fiqri mengorbankan sebahagian masa remaja menjaga ibunya, Che Robiah Ahmad, yang menderita penyakit barah hati. Fiqri sanggup berkorban apa saja untuk insan yang melahirkan dan membesarkannya itu.

“Ketika ibu sakit, saya sedang belajar di Kolej Kini Trolak dalam jurusan kejuruteraaan tetapi saya tidak dapat menamatkan pengajian kerana perlu menjaga ibu memandangkan abang dan kakak saya sudah berkahwin. Saya tidak kisah mengambil alih menjaga ibu kerana saya masih bujang dan tiada sebarang tanggungan.
“Selepas tiga tahun menderita, akhirnya ibu pergi buat selamanya pada 2012 dan selepas ketiadaan ibu saya rasa jiwa saya kosong dan sering menjadikan lagu nyanyian Apit daripada kumpulan Baron Bros (band dari Singapura) sebagai inspirasi.

“Apit memuat naik lagu nyanyiannya sambil bermain gitar di Youtube. Bezanya kebanyakan video yang Apit muatnaikkan bukan video cover lagu artis lain, tetapi dia menyanyikan lagu ciptaannya sendiri.
“Daripada lagu nyanyian Apit, saya mendapat ilham untuk mencipta lagu dan lirik sendiri. Ketika itu saya masih tinggal di kampung dan selepas kawan-kawan tahu saya mencipta lagu, saya terus menjadi mangsa ejekan dan sindiran mereka,” katanya.

Menyambung bicaranya, ujar Fiqri, pantang dia bertembung dengan mereka mesti diejek kononnya dia angan-angan Mat Jenin dan ‘buat kerja bodoh’.

Dek kerana tidak tahan terus diejek, Fiqri berpindah ke Rawang dan menumpang di rumah pangsa milik rakannya. Di sana dia berniaga di gerai burger kepunyaan abang iparnya.

“Sejak berpindah ke Rawang, hampir dua tahun saya tidak pulang ke kampung kerana malu diejek kawan-kawan. Dalam pada itu saya teruskan minat mencipta lagu dan dimuatnaik dalam Youtube. Apabila rakan-rakan di kampung nampak saya di Youtube, mereka gelar saya ‘budak Youtube’ pula,” katanya.

Fiqri yang mewarisi darah seni daripada arwah ibunya yang pernah menjadi penyanyi nasyid di Felda Vesout 1, terus nekad mengejar cita-citanya dan ternyata tuah dan rezeki menyebelahinya apabila dia dilamar menjadi artis Sony Music Entertainment Malaysia (Sony Music). Tawaran datang selepas Pengarah Pemasaran Sony Music, Aziana Ali, mendengar nyanyiannya di Youtube.

“Saya terkejut dan tidak pernah menduga akhirnya impian saya menjadi kenyataan dan lebih menggembirakan apabila pihak Sony Music Malaysia memberi peluang kepada saya untuk merakamkan lagu ciptaan saya sendiri dan be. Lirik juga saya hasilkan sendiri. Lagu itu berjudul Terlalu Merinduimu,” katanya.
Selepas mengetahui perkembangan terbaru itu, rakan-rakan yang dulu mengejeknya sudah berubah sikap di mana mereka mula mengaguminya dan mahu berbaik dengannya semula.

“Kebetulan selepas single saya siap, ayah (Jelani Salleh, 68) tidak berapa sihat dan saya kembali menetap di kampung untuk menjaganya. Mereka yang dulu mengejek saya, terkejut mendengar cerita saya berjaya menjadi artis rakaman dan mereka termalu sendiri. Jika dulu saya dihina, kini saya disanjung serta mengaku saya ‘orang kampung’ mereka.

“Sukar untuk saya menterjemahkan perasaan ketika ini tetapi saya cuba memandang segala yang berlaku daripada sudut positif. Jika sebelum ini ada yang tidak menegur saya, sekarang sudah mengaku kawan.

“Saya bukan orang senang, saya buat macam-macam kerja dan pernah jadi pemandu lori. Alhamdulillah, kini segala usaha dan pengorbanan saya terbalas dengan kemunculan single “Terlalu Merinduimu”.

“Saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dan siapa pun yang mahu berkawan, saya terima dan sedia memaafkan,” katanya.

Fiqri kini berulang alik dari Slim River ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan lagunya yang dilancarkan pada 31 Mac 2017.

Bagaimanapun, Fiqri berjanji dengan dirinya tidak mahu lalai dan leka dengan nikmat Tuhan kerana baginya susah atau senang adalah ujian daripada-Nya.

“Cuma saya mahu ‘buka mata’ orang kampung bahawa tiada apa yang mustahil dan tidak salah untuk berangan-angan,” katanya.

Cipta 200 lagu
Sehingga kini Fiqri sudah mencipta lebih 200 lagu tetapi hanya 20 lagu saja dimuatnaik dalam Youtube. Minatnya lebih menjurus kepada genre rock tetapi dia juga pernah memuat naik lagu irama pop rock berjudul “Honey Come to Me”.

“Bagaimanapun pihak Sony Music Malaysia mendapati suara saya lebih sesuai membawakan lagu pop rock. Pun begitu saya dapati peminat muzik tempatan sekarang lebih menyukai lagu-lagu yang pernah popular pada era 90-an lantas saya cuba untuk mengikuti trend muzik seperti itu yang mendayu serta menyentuh perasaan.

“Lantaran itu terciptalah lagu “Terlalu Merinduimu” yang turut mendapat sentuhan daripada komposer, Eddie Hamid. Sebelum rakaman Eddie mengolah lagu dan lirik agar lebih puitis dan menangkap emosi pendengar. Saya yakin lagu itu akan dapat diterima peminat muzik tanah air,” katanya.

Fiqri juga memilih Eddie sebagai komposer bersama kerana selain meminati lagu ciptaan komposer itu, lagu gubahan semula Eddie itu bersesuaian dengan suaranya.

Jelas Fiqri lagi, oleh kerana lagu dan lirik adalah ciptaannya sendiri maka proses rakaman menjadi mudah. Rakaman lagu itu siap dalam masa tiga hari.

“Lagu itu berkisar kepada kisah cinta yang diinspirasi daripada percintaan kawan-kawan kerana saya tidak pernah bercinta,” katanya.

Mengakui persaingan sengit dalam bidang nyanyian namun Fiqri tetap tegar untuk meneruskan perjuangannya dalam bidang seni.

“Peluang yang diberikan itu tidak akan saya persiakan. Selain itu saya juga bersyukur kerana diberi sedikit kelebihan boleh mencipta dan menulis lirik lagu.

“Namun untuk mengembangkan lagi bakat nyanyian saya, saya juga mahu bekerjasama dengan komposer lain demi mencari kelainan dan pembaharuan dalam lagu nyanyian saya selepas ini,” katanya.

Mantapkan muzik
Sebagai komposer bersama, menurut Eddie, dia mendapati arah aliran muzik sekarang kembali cenderung kepada melodi era 90-an.

“Peminat muzik meminati semula lagu berirama meleleh dan mendayu. Lalu selepas dua kali berjumpa Fiqri dan mendengar suaranya, dia ‘boleh’ membawakan lagu seperi itu meskipun minatnya adalah pop rock.

“Agar lagu dan lirik yang dihasilkan Fiqri itu mampu menepati cita rasa pendengar, saya olah semula agar setiap baris lirik menjadi padat dan pendengar faham mesej yang ingin disampaikan. Saya juga menggunakan khidmat Eddie Marzuki untuk muzik ‘live’ string kerana kekuatan sesebuah lagu juga bergantung kepada kekuatan muziknya.
“Fiqri ada ‘feel’ yang bagus dan selepas lagu itu siap, saya perdengarkan lagu itu kepada beberapa orang dan mereka kata lagu itu akan cepat ‘melekat’ di hati pendengar,” katanya.’

Ikut aliran muzik terkini
Sementara itu menurut pengarah pemasaran Aziana Ali, dengan bakat dan kesungguhan yang ada pada Fiqri, dia yakin penyanyi itu boleh pergi jauh dalam industri muzik tanah air.

“Untuk menerbitkan lagu baru, kami melihat kepada ‘current sound’ dan jenis muzik yang ke udara di radio. Dari segi imej, kami mahu dia kekal dengan imej rock tetapi kemas,” katanya.

‘Terlalu Merinduimu’ boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.

Jangan lupa untuk mendengar ‘Terlalu Merinduimu’ kolaborasi Fiqri Jelani bersama Eddie Hamid di saluran radio tempatan anda!


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *