(SEMASA) MINI Malaysia Lancar MINI Countryman Serba Baharu.

Spread the love

Kuala Lumpur, 17 April 2017 – MINI Malaysia telah melancarkan MINI Countryman serba baharu, generasi kedua kenderaan aktiviti sukan (SAV) premium yang berjaya daripada jenama automotif kompak premium paling sofistikated di dunia.

Hadir dalam varian MINI Cooper Countryman dan MINI Cooper S Countryman serba baharu, SAV premium daripada MINI itu merupakan model paling besar serta versatil dalam sejarah 57 tahun MINI. Ia dibina untuk menunjukkan kemajuan dari segi ruang, fungsi, gaya atletik dan karekteristik premium MINI.

Ketika memperkenalkan MINI Countryman serba baharu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “MINI nampaknya semakin berkembang dalam segmen premium di Malaysia. Tahun lalu sahaja, jenama itu menyumbang lebih 900 unit kenderaan kepada prestasi jualan kami. Ia juga merekodkan pertumbuhan lebih 19% berbanding tempoh sama tahun 2015. Pada suku pertama tahun 2017, MINI sudahpun menjadi jenama ketiga terbesar dalam segmen premium di Malaysia. Kami harap ia dapat mengekalkan daya saingnya di dalam industri menerusi MINI Countryman serba baharu.”

Setuju dengan pendapat Han, Ketua MINI Malaysia, Kidd Yam berkata, “Dalam sejarah MINI yang panjang dan penuh warna-warni, MINI Countryman dilihat berjaya memecahkan stereotaip kenderaan dalam segmen premium kompak. Ia membuktikan bahawa idea kreatif dan premium boleh bersatu secara harmoni dalam industri automotif yang dikenali mengikut segmennya.”

Jelas Kidd Yam lagi, lebih 1,500 unit MINI Countryman generasi sebelum ini telah diserahkan di Malaysia sejak tahun 2011. Kisah kejayaan MINI Countryman telah pun terbukti. Model baharu yang boleh menjadi teman sempurna setiap hari ini dijangka terus mencatat lebih banyak kejayaan kepada jenama MINI pada masa akan datang.

Reka bentuk: Perkadaran penuh kuasa, karekter lebih matang.

MINI Countryman serba baharu menampilkan elemen rekaan yang tipikal dengan jenama tersebut. Ini termasuk tiga struktur utama pada bahagian sisi yang ikonik. Ia terdiri daripada bumbung, bahagian kaca dan badan. Di samping unjuran yang pendek, arca roda lebar dan ia kini tampil lebih lebar. Kontur pada permukaan MINI Countryman serba baharu menghasilkan biasan cahaya dan bayang yang menyerlahkan rekaan atletik dan orientasi vertikal tubuhnya.

Saiz MINI Countryman serba baharu telah bertambah, tetapi masih mampu mengekalkan perkadaran tipikal sebuah MINI. Jentera itu kini 20 sentimeter lebih panjang dan tiga sentimeter lebih lebar berbanding model terdahulu. MINI Countryman serba baharu mempunyai panjang 4,299mm, lebar 1,822mm dan tinggi 1,557mm. Perkadarannya yang tersendiri juga dibina di atas tapak roda 2,670mm. Manakala lebar treknya ialah 1,585mm di hadapan dan 1,587mm di belakang. Perkadaran ini membolehkan MINI Countryman serba baharu memiliki karekter yang lebih versatil, lincah dan premium dengan penampilannya yang tersendiri.

Auranya turut diserlahkan melalui jarak kelegaan tanah dan posisi tempat duduk yang lebih tinggi. Ini dijelaskan lagi dengan bodykit MINI ALL4. Dapra (fender) hadapan dan belakang yang dibezakan melalui kemasan hitam Piano Black dan sump guard berwarna perak, menyerlahkan lagi karekter lasak MINI Countryman serba baharu.

Karekter off-road ditambah dengan Roof Rails yang boleh menempatkan kargo ekstra seperti rak bumbung, kotak atau rak basikal. Aluminium kemasan satin yang digabungkan dengan sil sisi berwarna perak memberikan impak visual lebih baik kepada ketinggian kereta ini.

Bukan itu sahaja, MINI Countryman serba baharu buat pertama kalinya dilengkapi lampu utama LED dengan lampu membelok – satu penambahan sempurna yang membolehkan anda meneroka malam dengan lebih selamat. Lampu membelok mengarahkan cahaya mengikut arah stereng. Manakala Icon Lights yang baru diaktifkan dalam keadaan malap, walaupun ketika lampu utama dihidupkan.

Dari segi pilihan rim, MINI Countryman serba baharu dipasang dengan rim aloi ringan bersaiz 18 inci. Manakala MINI Cooper S Countryman didatangkan dengan rim aloi ringan MINI Yours bersaiz 19 inci.

Enjin penuh kuasa dengan teknologi MINI TwinPower Turbo.

Enjin MINI Countryman serba baharu ditala untuk memberikan tahap kelincahan dan pecutan yang mantap, sinonim dengan jenama MINI. Buat pertama kalinya, MINI Countryman serba baharu dikuasakan oleh enjin tiga dan empat slinder TwinPower generasi terkini BMW Group. Ini membuatkan MINI lebih laju, garang dan menjimatkan bahan api berbanding model terdahulu.

MINI Countryman serba baharu kini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris bersesaran 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi Steptronic enam kelajuan automatik. Rangkaian kuasa ini membolehkannya menjana kuasa 136hp dan tork maksimum 220Nm. Jentera ini mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 9.6 saat dengan kelajuan maksimum 200km/j dengan penjimatan bahan api sekitar 6.0 liter bagi setiap 100km.

Sementara MINI Cooper S Countryman serba baharu pula menggunakan enjin empat silinder bersesaran 2.0 liter yang berupaya menghasilkan kuasa mencecah 192hp dan tork maksimum 280Nm. Ia boleh memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 7.4 saat dengan kelajuan maksimum 224km/j dengan penjimatan bahan api sekitar 6.5 liter bagi setiap 100km.

Jarang ditemui dalam kelasnya, MINI Cooper S Countryman dilengkapi transmisi automatik lapan kelajuan yang menawarkan penukaran gear dengan lancar. Fungsi Steptronic pula membolehkan pemandu memilih di antara kemudahan kotak gear automatik atau keseronokan menukar gear secara manual.

Pemanduan mengujakan: Mode Pemanduan MINI dan standard keselamatan yang tinggi.

Mode Pemanduan MINI diaktifkan menerusi satu suis rotari pada bahagian bawah tuil gear. Talaan pemanduan MINI Countryman serba baharu boleh dipilih berdasarkan kepada tiga mode: MID, SPORT dan GREEN. Gunakan mode GREEN untuk pemanduan yang santai dan menjimatkan minyak. Tukar kepada mode SPORT untuk pecutan dan pengendalian yang lebih responsif. Untuk merasai kedua-duanya, pilih sahaja mode MID.

MINI Countryman serba baharu dipasang dengan suspensi berkualiti tinggi. Ia menggabungkan topang gandar sambungan tunggal yang telah diuji pada roda hadapan serta gandar jenis multi-link dengan reka bentuk yang dioptimumkan untuk berat dan ketegaran di belakang. Selain suspensi dan stereng elektromekanikal dengan fungsi Servotronic, turut dipasang ialah brek penuh kuasa serta Dynamic Stability Control (DSC) yang mengubahsuai output kuasa kenderaan kepada roda. Ini membantu mengelakkan berlakunya masalah over-steer atau under-steer dan memastikan kereta sentiasa selamat.

Aspek perlindungan daripada kecelakaan jalan raya dipertingkatkan dengan penggunaan kerangka besi multi-fasa yang sangat tegar. MINI Countryman serba baharu juga menggunakan cagak enjin yang boleh tertanggal, seterusnya mengurangkan impak ke atas pemandu dan penumpang jika berlaku pelanggaran. Sebagai tambahan, Hill Hold Control memastikan MINI tidak bergerak apabila diparkir di kawasan berbukit atau ketika memandu dalam trafik sesak. Beg udara yang dipasang pada bahagian hadapan, sisi dan siling memberikan ketenangan jiwa kepada pemandu dan penumpang MINI Countryman serba baharu.

 

Bahagian dalaman:  Ruang luas dan ambien yang eksklusif.

Bukti jelas MINI Countryman serba baharu kini sudah memasuki segmen premium adalah menerusi peningkatan ruang pada jentera lima tempat duduk ini. Ruang storan dan kargo juga ditingkatkan untuk memberi lebih versatiliti. Gabungan material dan kemasan paling mewah yang pernah digunakan pada MINI, membuatkan MINI Countryman serba baharu lebih premium dan praktikal. Selain menawarkan lebih gaya untuk apa jua aktiviti luar rumah.

Tawaran untuk ruang kabin MINI Countryman serba baharu termasuklah upholsteri hitam Firework Carbon dengan permukaan dalaman berwarna kelabu (Hazy Grey) dan stereng sport dibalut kulit. MINI Cooper S Countryman pula menggunakan kemasan dalaman dikenali sebagai MINI Yours Piano Black Illuminated yang membolehkan kokpit dinyalakan dengan apa jua pilihan warna yang disukai. Tidak ketinggalan, upholsteri Kulit Cross Punch berwarna hitam Carbon Black dan stereng kulit John Cooper Works bersama paddle shifter. Selain daripada material berkualiti tinggi dan kemasan yang cantik, butang kawalan yang diletak secara ergonomik turut menyumbang kepada ambien dalaman yang eksklusif. Manakala profail corong udara MINI Countryman serba baharu selari dengan orientasi vertikal eleman reka bentuk luarannya.

Ruang penyimpanan barang yang ekstensif di dalam model baharu MINI ini termasuklah poket pada pintu hadapan dan belakang yang boleh menempatkan botol minuman satu liter. Konsol tengah yang turut merangkumi panel instrumen kini mempunyai satu kompartmen bersepadu dengan dua pemegang cawan minuman di hadapan tuil gear. Kedua-dua varian MINI Countryman serba baharu juga dilengkapi sistem pendingin hawa automatik dua zon dan cermin pandang belakang anti-silau automatik.

MINI Cooper S Countryman serba baharu menawarkan fungsi talaan tempat duduk elektrik eksklusif yang membolehkan pemandu merekod posisi duduk yang digemarinya. Tempat duduk itu juga didatangkan dengan sokongan lumbar untuk memberikan keselesaan maksimum dan postur yang ergonomik.

Fungsi: Vesatiliti melangkaui batasan. 

Satu ciri baharu yang unik serta ditawarkan sebagai standard pada kedua-dua varian MINI Cooper Countryman dan Cooper S ialah pintu belakang automatik (Automatic Tailgate) dengan fungsi yang mudah dibuka.

Ciri itu melibatkan satu alat pengesan yang diaktifkan dengan pergerakan kaki untuk membuka dan menutup pintu belakang tanpa perlu menekan mana-mana butang. Sekali gus memberikan kemudahan terutama apabila tangan anda penuh dengan barang. Khas untuk varian MINI Cooper S Countryman, fungsi Automatic Tailgate berfungsi selari dengan ciri Comfort Access yang membolehkan urusan membuka dan mengunci pintu dibuat melalui sentuhan pada pintu.

Buat pertama kalinya, MINI Countryman serba baharu menawarkan tempat duduk Picnic Bench yang boleh dilipat keluar daripada ruang but. Ia membolehkan anda duduk dengan selesa di hujung ruang kargo kenderaan. Picnic Bench pada MINI Countryman serba baharu jarang ditawarkan dalam segmen kenderaan premium. Ia menawarkan dua tempat duduk ekstra di luar kereta, ciri yang berguna apabila berada di luar rumah.

Pengalaman pemanduan, infotaimen dan komunikasi MINI Countryman serba baharu dipertingkatkan dengan ciri MINI Connected yang menawarkan rangkaian integrasi telefon pintar yang ekstensif pada skrin sentuh beresolusi tinggi bersaiz 6.5”. Misalnya dengan Spotify, pemandu dan penumpang akan dihiburkan dengan lebih 20 juta buah lagu. Aplikasi ini serta aplikasi lain boleh dimuat turun daripada App Store dan dilihat di paparan MINI, sebelum diakses dengan mudah menerusi butang kawalan di dalam kereta. Kedua-dua varian MINI Countryman serba baharu juga didatangkan dengan Kamera Mengundur sebagai satu ciri standard.

Dari segi ruang penyimpanan barang, MINI Countryman serba baharu hadir bersama kemudahan lebih luas untuk menunjukkan bahawa fungsi dan versatilitinya telah dioptimumkan. Apabila semua tempat duduk digunakan, ruang kargo ialah 450 liter. Dengan tempat duduk belakang dilipat pada konfigurasi 40:20:40, ruang kargo boleh ditingkatkan sehingga 1,390 liter.

Buat pertama kalinya, MINI Countryman serba baharu turut diperkenalkan dalam dua warna baru iaitu coklat (Chestnut) dan biru (Island Blue). Warna lain yang ditawarkan ialah hijau (British Racing Green), merah (Chili Red), putih (Light White), perak (Melting Silver), hitam (Midnight Black) dan kelabu (Moonwalk Grey). Warna kelabu (Thunder Grey) pula eksklusif untuk MINI Cooper S Countryman.

Orang ramai boleh memandu uji MINI Cooper Countryman dan MINI Cooper S Countryman serba baharu pada hujung minggu ini, 15 dan 16 April di International Gallery di Alya Kuala Lumpur, Jalan Bukit Kiara – bersebelahan dengan TPC Kuala Lumpur (dulu dikenali sebagai KLGCC). Model-model baharu MINI juga boleh didapati di semua pengedar sah MINI di seluruh negara pada hujung minggu yang sama.

MINI Countryman serba baharu hadir bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama 4 Tahun dan Servis Berjadual Percuma. Anggaran harga (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) ialah:

MINI Cooper Countryman               –           RM 239,888.00

MINI Cooper S Countryman                        –           RM 269,888.00

Sila layari laman web www.MINI.my untuk maklumat lanjut mengenai MINI Countryman serba baharu.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *