(HIBURAN) Pertama Kali berjaya tambat hati peminat, bukan wajah penyanyinya

Spread the love

Lagu berjudul Pertama Kali membawa tuah kepada pelantunnya Salimey Abu Bakar yang selama ini memendam cita-cita untuk melakarkan namanya sebagai pendatang baharu dalam bidang seni suara tanah air.

Lagu ciptaan Fauzi Aisunam, lirik karya bersama antara Lieynur Liey, Yusri Ishak, Fauzi Aisunam dan Salimey berjaya menarik perhatian peminat.

Walaupun ramai yang mengenali lagu Pertama Kali namun banyak juga yang tidak mengenali wajah penyanyi lagu yang dirakamkan pada Julai tahun lalu.

 Salimey, anak kelahiran Kuala Lumpur merasakan, sudah tiba masanya dirinya diketengahkan sebagai penyanyi yang mendendangkan lagu Pertama Kali.

Rasionalnya, lagu Pertama Kali itu telah beberapa kali menjadi lagu runut bunyi (OST) kepada drama-drama yang disiarkan di kaca televisyen.

Drama berantaian Seharum Mawar, Pengemis Itu Saudara Aku, Airmata Di Bumi Matador dan Ustaz Pink menggunakan lagu Pertama Kali sebagai OST.

“Pertama Kali membuka jalan bagi saya untuk tampil sebagai pendatang baharu dalam industri hiburan tanah air dan peluang diberikan oleh Fauzi Aisunam yang percaya kepada kebolehan saya untuk menyanyi.

“Walaupun latar belakang saya 15 tahun lepas adalah sebagai seorang Pegawai Perhubungan Awam (PR) di syarikat Zanzibar Records dan kemudiannya menjadi jurufoto majalah hiburan, ramai yang memberi kata-kata semangat untuk saya merealisasikan cita-cita untuk menjadi penyanyi,” kata Salimey secara telus.

Mengakui masih banyak yang perlu dipelajari untuk melangkah daripada pendatang baharu kepada menjadi seorang penyanyi dalam erti kata sebenar, Salimey mengambil masa yang lama sebelum dapat merakamkan single pertamanya itu.

Tanpa kewangan yang mantap, tidak mungkin Pertama Kali dapat masuk studio untuk menjalani proses rakaman sekalipun ramai rakan sekeliling yang memberi sokongan padu kepada anak didik Fauzi Aisunam.

Setelah kewangannya kukuh, barulah Salimey memberanikan diri untuk melahirkan single pertamanya beserta dengan klip lirik Pertama Kali.

Bersandarkan kepada tempo balada, Pertama Kali mendapat sambutan baik dalam kalangan pendengar walaupun tidak kedengaran lagu itu di corong-corong radio swasta.

Pun begitu Salimey merasa bersyukur kerana stesyen radio pantai timur misalnya memutarkan lagu Pertama Kali.

Rentetan penerimaan yang baik terhadap penghasilan single pertama ya itu, Salimey memberitahu beliau kini sudah mempunyai single kedua dan dalam proses untuk menghasilkan single ketiga.

Dalam pada itu, Salimey yang pernah menimba pengalaman berlakon dalam drama berepisod, Kisah Benar dan filem Jutawan Fakir, mahu lagu Pertama Kali melekat dalam ingatan peminat.

Jadi, beliau menjalani penggambaran klip video Pertama Kali, arahan Kas Roshan.

” Penggambaran klip video Pertama Kali bermula di Pulau Langkawi dan penyudah penggambarannya dibuat di Petaling Jaya, Selangor.

“Untuk jalan cerita klip video Pertama Kali, saya mahukan sesuatu yang diluar kotak.  Bukan biasa-biasa dan bukan keterbiasaan.

“Plot klip video bersandarkan kepada lirik Pertama Kali. Perasaan cinta yang mendalam di antara dua insan yang mana  perasaan itu mampu ‘membunuh’ jiwa.

“Gambaran dizahirkan dengan adegan yang sedikit ekstrem di mana saya terjun daripada bangunan setinggi lima tingkat kerana perasaan kecewa.

“Gambaran terjunan terbayang di mata pasangan yang dicintai dan apabila tersedar, ia hanya sekadar mimpi,” cerita Salimey tentang penyudahan pembikinan klip video Pertama Kali.

Walaupun Salimey berjaya mengetuk pintu hati peminat menerusi single pertamanya itu namun anak muda ini enggan duduk di dalam zon selesa, genre balada.

Oleh itu, ujar anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini, untuk single ketiganya, beliau membuat cubaan untuk menyampaikan pula lagu berentak pop rock.

Tegas Salimey, tidak bagi dirinya untuk mencuba pula lagu berentak pop rock sebagai menguji kemampuan vokal biarpun ramai di luar sana yang memuji, suaranya sedap untuk menjadi seorang penyanyi lelaki tanah air.

“Apa yang saya lakukan hari ini adalah untuk kepuasan. Ia mungkin sebagai hobi saya kerana sejak dahulu lagi saya suka menyanyi.

“Namun perspektif hobi menyanyi saya anjakkan sebagai hobi yang bersungguh-sungguh kerana di landasan inilah saya fokus untuk membuktikan kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai bahawa saya mampu untuk menjadi salah seorang penyanyi di Malaysia,” kata Salimey.

Teruja untuk melihat reaksi dan penerimaan masyarakat terhadap bukan sahaja klip video Pertama Kali, single kedua dan ketiga Salimey akan dapat didengar sebelum pertengahan tahun ini.

Masih selesa bergerak secara indipendent, single Pertama Kali kata Salimey, edaran digital Life Records.

Dengan azam dan iltizam tahun 2018, Salimey berusaha gigih untuk mengotakan janji dan cita-citanya untuk berjaya dalam bidang seni suara dan sekaligus dikenali oleh peminat.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *