(HIBURAN) Teori muzikal NERVEDELESS

nervedelessGMO

 

NERVEDELESS adalah sebuah kumpulan kugiran yang telah bertapak selama 10 tahun di dalam industri muzik D.I.Y di Malaysia. Mereka bermula pada Oktober 2002 di Kepong, Kuala Lumpur dengan nama “Dead Bloom” pada asalnya. Teori muzikal NERVEDELESS adalah berasaskan muzik grunge yang diadun dengan riff dan bunyi gitar yang berat diselingkan dengan melodi yang melankolik. Muzik bawaan ini juga lebih dikenali sebagai “Post Grunge”.  NERVEDELESS juga berpaksikan dengan pengaruh dari kumpulan kugiran grunge antarabangsa seperti Silverchair, Alice In Chains, Nirvana, Local H dan banyak lagi.

Berbekalkan demo pertama mereka yang berjudul “Nervegas” pada tahun 2003, NERVEDELESS kerap dijemput untuk memenuhi persembahan-persembahan gig di Malaysia khususnya di kawasan Lembah Klang sendiri dari dewan tertutup sehinggalah ke pentas terbuka. Antara persembahan yang pernah disertai oleh mereka adalah Sakit Kepala Fest, Rockomania, Rockestra, Tribute To Nirvana dan banyak lagi. Nak senaraikan semua tak cukup kerana mereka telah bermain lebih dari 100 persembahan sepanjang penglibatan mereka sebagai kumpulan kugiran. Kemuncak aura NERVEDELESS adalah apabila mereka meriliskan split EP bersama kumpulan kugiran grunge dari Indonesia iaitu PEOPLENOID pada tahun 2008 dimana EP tersebut diberi nama “OCEAN WALL” dengan lagu “Set Me Free” & “Drown” yang sering menjadi permintaan ramai di persembahan-persembahan luar mahupun corong-corong radio tempatan dan luar negara.

Pada Tahun 2009, NERVEDELESS telah berehat panjang dari sebarang persembahan mahupun sebarang bentuk rakaman atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Kini pada tahun 2012, NERVEDELESS telah pun bangkit dari tidur dengan telah kembali memenuhi undangan-undangan persembahan di sekitar Malaysia seperti Kuala Lumpur, Melaka dan juga Pahang. Mereka juga baru sahaja mengeluarkan EP terbaru mereka yang diberi nama “WARM UP SESSION” bersempena dengan bangunnya mereka dari tidur yang agak panjang. Berbekalkan 5 lagu baru yang berat dan bertenaga, EP ini juga telah mendapat review dari beberapa wartawan-wartawan D.I.Y untuk dimuatkan dalam Zine & WebZine keluaran mereka. Dengan terhasilnya EP terbaru ini juga mereka telah tercalon dalam South East Asia Voice Independent Music Awards 2013 (VIMA 2013) dibawah kategori “Best Rock Act”.

Sekembalinya NERVEDELESS kali ini, mereka telah membuat beberapa pertukaran ahli dan posisi. Posisi ahli terbaru NERVEDELESS buat masa ini ialah Faiz Hizwan sebagai pemain gitar utama dan penyanyi, Azlan Zahari sebagai pemain gitar dan Nizam Ashar(penyanyi utama kumpulan DISH) selaku pemain drum. Buat masa sekarang mereka hanya menggunakan khidmat sessionist diposisi bass untuk persembahan-persembahan dan projek-projek yang terbaru.

Mereka boleh dihubungi terus melalui laman Facebook, http://www.facebook.com/Nervedeless

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *