(HIBURAN) THE HANTUS – Koleksi Kisah Hantu ‘Seram, Viral & Popular’ Dizahirkan Dalam Satu Naskhah Hebat

Spread the love

Dari hari ke hari, perjalanan seni figura ini terus diwarnai dengan pelbagai peranan menarik. Terbaharu, pengacara dan pelakon serba boleh, Nabil Ahmad mengorak selangkah lagi apabila buat julung kalinya menghasilkan sebuah Filem Televisyen (FTV) berjudul ‘The Hantus’ khas untuk siaran Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 15 Jun 2018.

Menggalas beberapa tanggungjawab utama di belakang tabir sebagai Penulis Skrip dan Penerbit, Nabil turut bertindak sebagai Pengarah Bersama di samping Pengarah; Helmi Yusof.

FTV yang bergenre komedi-seram ini diinspirasikan dari kisah-kisah hantu seram, popular dan viral termasuklah cerita ‘Volkswagen Kuning’, ‘Hantu Kak Limah’ dan ‘Kisah Seram & Misteri Taman Mimaland’. Berlatarkan skrip dan plot penceritaan yang kuat, ‘The Hantus’ diperhebatkan lagi dengan penampilan barisan selebriti popular seperti Faizal Hussein, Alif Satar, Hannah Delisha dan Khatijah Tan yang memegang watak utama untuk naskhah ini.

INFO PENTING BERKENAAN ‘THE HANTUS’
 
  1. ‘The Hantus’ memaparkan sisi berbeza ‘sekumpulan hantu’ yang bakal membuat anda terhibur dan tidak kering gusi. Jika sebelum ini, kebanyakan filem-filem bergenre seram yang dihasilkan sinonim dengan babak-babak dan plot penceritaan yang menakutkan serta mengerikan. Namun begitu, Nabil tampil segar dengan pendekatan yang berbeza dan tidak klise apabila menggabungkan elemen komedi dan seram dalam FTV pertama terbitan syarikat KMN Production Sdn. Bhd.
  1. Walaupun mempertaruhkan genre komedi-seram, Nabil turut menerapkan faktor unik apabila mengangkat kisah cinta sebagai latar utama ‘The Hantus’.
  1. ‘The Hantus’ yang berdurasi 90 minit ini dihasilkan dalam lima (5) bab yang berhubung kait di antara satu sama lain. Dimulakan dengan Bab Pertama yang menceritakan kisah seorang individu yang dilahirkan pekak dan bisu, ‘Din Pekak’. Beliau yang bekerja sebagai seorang pemandu bas ekspres telah terlibat dalam kemalangan ngeri ketika membawa penumpang dari Genting Highlands, melalui lebuh raya Karak. Kemalangan tersebut telah menyebabkan semua penumpang termasuk pemandu terkorban di tempat kejadian kecuali Fami (lakonan Alif Satar). Fami, ‘terjaga’ dalam keadaan berlumuran darah dan mendaki bukit menuju ke jalan besar untuk meminta bantuan.
  1. Bab Kedua pula menampilkan kisah ‘Abang Volkswagen Kuning’, yang diinspirasikan dari sebuah kisah misteri yang dikatakan sering menganggu pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya Karak. Fami yang terlibat dalam kemalangan sebentar tadi telah melambai tangan dan menjerit meminta bantuan kereta-kereta yang memandu melepasi lebuh raya tersebut, namun tiada satu pun berhenti untuk membantu. Sehinggalah sebuah Volkswagen Kuning berhenti di bahu jalan, menghampiri Fami. Pemandu Volkswagen Kuning tersebut (lakonan Faizal Hussein) merupakan jelmaan atau hantu, namun Fami tidak menyedarinya. Sama seperti beliau tidak menyedari yang beliau kini berada di ‘persimpangan’ di antara dua kehidupan; dunia dan alam barzakh.
  1. Abang Volkswagen kemudiannya membawa Fami ke satu tempat dan memperkenalkan beliau dengan ‘rakan-rakannya’, yang mana salah seorang darinya adalah ‘Kak Pon’ atau Pontianak (lakonan Khatijah Tan), yang diinspirasikan dari cerita ‘Hantu Kak Limah’. Bab Ketiga menceritakan momen gembira Fami bersama ‘rakan-rakan barunya’ ini di sebuah taman yang digambarkan seakan-akan taman tema pertama di Malaysia, ‘Taman Mimaland’ yang dikatakan berhantu kerana pelbagai perkara misteri berlaku di situ sejak ianya ditutup pada tahun 1994.
  1. Di situ, Fami berkenalan dengan ‘Dhiya’ (lakonan Hannah Delisha), Babak Keempat ‘The Hantus’. Dhiya merupakan seorang gadis cantik yang terlibat dalam kemalangan tragik dan mengalami kematian otak. Fami mula menyukai Dhiya dan mereka kemudiannya jatuh cinta. Secara kebetulan, Fami dan Dhiya kini perlu sentiasa bersama kerana Dhiya dilihat akan jatuh pengsan setiap kali Fami berada jauh darinya. Fami juga kerap diserang sakit di bahagian hatinya, tanpa sebarang sebab. Setelah mengenali Dhiya dengan lebih rapat lagi, Fami kini mendapat tahu bahawa Dhiya merupakan penyumbang organ hati untuk beliau. Hati Fami telah mengalami kerosakan sepenuhnya oleh kerana kemalangan nahas yang dialaminya.
  1. Babak Kelima pula menyorot kembali kisah ‘Fami’ sendiri dan bagaimana beliau berada di dalam bas ekspres yang dipandu Din Pekak sehingga terlibat dalam kemalangan dan jatuh ke dalam gaung, sehingga bermulalah ‘perjalanan misteri’ beliau ke alam ghaib.
  1. Keseluruhan penggambaran ‘The Hantus’ telah diadakan di lokasi-lokasi utama sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka. Sesi penggambaran telah berlangsung selama 14 hari.
  1. Bagi mewujudkan suasana tahun 70-an dan 80-an yang cukup terkenal dengan tapak pesta ria bergerak atau ‘funfair’, sesi penggambaran turut diadakan di sebuah lokasi ‘funfair’ di Rawang, Selangor selama 3 hari, yang mana telah membabitkan dua buah bas dan sebuah kereta.
  1. Untuk menampilkan kelainan dan memastikan hasil akhir dizahirkan dengan penuh berkualiti, ‘The Hantus’ turut menggunakan khidmat lebih dari 120 orang pelakon tambahan bagi membantu menghidupkan babak-babak yang berkaitan.
  1. Menyedari akan kesesuaian lagu-lagu yang dipersembahkan oleh sekumpulan pemuzik muda yang semakin menempa nama, ‘Kugiran Masdo’ dengan plot penceritaan ‘The Hantus’ yang berlatarbelakangkan tahun 70-an, lagu ‘Pesta Muda Mudi’ nyanyian kumpulan ini telah dijadikan lagu latar FTV ini.
BUTIRAN SIARAN

‘The Hantus’ bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 15 Jun 2018 (Jumaat), bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang akan datang ini. Dengan hanya RM 15.00, penonton boleh menonton ‘The Hantus’ dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘The Hantus’ boleh turut didapati menerusi platform digital, ‘on demand’.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *