(HIBURAN) ”UNLEASHED” – JACLYN VICTOR

IMG_1281gmo

Bermula dengan perlancaran single ”Remedy”, kini muncul album Inggeris penuh Jaclyn Victor berjudul ”Unleashed” yang akan berada di pasaran pada 20hb November 2014 terbitan KRU Music dan edaran Sony Music. Album ini juga akan dilancarkan melalui lebih 80 platform digital termasuk iTunes bermula 14hb November 2014.

Keunikan album ini adalah buat pertama kali, Jaclyn Victor sendiri telah menulis beberapa lirik lagu. Kerjasama antara penerbit/komposer prolifik Edry A. Halim dan Jaclyn Victor telah melahirkan ”Unleashed” di mana album ini dijangka mampu menjadi album hit. ”Bakat Jaclyn Victor sememangnya layak untuk diiktiraf pada platform yang lebih besar, dan “Unleashed” adalah penciptaan semula repertoire beliau kepada penonton global”, ujar Edry A. Halim.

Selain single pertama ”Remedy”, album ”Unleashed” turut menampilkan lagu-lagu lain seperti ”Over And Over”, ”Delirious”, ”Pinnacle”, ”Sweeter Than A Dream” dan ”Magical Moment” nyanyian bersama kumpulan R&B antarabangsa Az Yet. Album ini telah dirakamkan sepenuhnya di Kuala Lumpur dan melalui proses adunan dan ”mastering” yang telah dibuat di Los Angeles oleh beberapa juruadun ternama di Hollywood iaitu Herbs Power, Jr., Gregg Sartiano dan Rob Chiarelli.

Penglibatan Jaclyn Victor secara langsung dalam proses pembikinan album ”Unleashed” menjadikan ia sebagai satu hadiah istimewa kepada peminat-peminatnya. Menurut Jaclyn Victor, ”Menulis lirik saya sendiri untuk lagu ”Over And Over”, ”Delirious” dan ”Sweeter Than A Dream” adalah merupakan satu peningkatan dalam karier saya. Saya berasa sungguh teruja bila dapat memberikan sentuhan saya sendiri ke dalam lagu yang saya nyanyikan. Saya benar-benar berharap agar semua dapat menikmati dan menerima karya di dalam “Unleashed”, kerana pastinya ia telah dibuat dengan kasih sayang”.

Album ini juga turut menerima sumbangan daripada komposer terkenal Yusry A. Halim bagi lagu ”Remedy” dan ”Pinnacle” serta ”Magical Moment” merupakan hasil tangan penyanyi terkenal antarabangsa daripada kumpulan Az Yet iaitu Shawn Rivera yang juga merupakan suami kepada Jaclyn Victor.

Apa yang menariknya berbekalkan album ”Unleashed”, Jaclyn Victor telah menjalankan pra promosi di Los Angeles pada bulan Julai yang lalu dengan mengadakan pertunjukkan pentas serta temuramah media di sana. Program selama seminggu ini membolehkan Jaclyn mengutip pengalaman yang berharga dan pastinya susulan promosi peringkat antarabangsa akan dirancangkan oleh pihak pengurusan label.

Dua lagu daripada album ini telah pun mempunyai klip video bagi lagu ”Magical Moment” dan terbaru ”Remedy” yang boleh ditonton melalui laman YouTube KRU Music. Peminat juga boleh mengetahui perkembangan Jaclyn Victor melalui akaun media sosial beliau di Facebook dan Instagram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *