(SEMASA) ANSARA MALAYSIA HIMPUN TEKNOKRAT DAN PROFESIONAL DALAM SESI EKSKLUSIF ‘UNPLUGGED’ BERSAMA TIMBALAN PERDANA MENTERI

Spread the love

KUALA LUMPUR – Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia) melalui Biro Profesional bakal menganjurkan majlis kemuncak Himpunan Gen MARA: Sesi Eksklusif Unplugged bersama YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.

Program berimpak tinggi ini dianjurkan secara istimewa sempena Sambutan Ulang Tahun MARA yang ke-60. Ia dijadualkan berlangsung pada 5 Mei 2026 (Selasa), bermula jam 10.30 pagi hingga 1.00 tengahari, bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Program ini bakal menghimpunkan ratusan tokoh teknokrat, pakar industri, dan usahawan profesional yang merupakan produk keberhasilan ekosistem MARA—merangkumi alumni MRSM, graduan institusi pendidikan di bawah MARA, serta penerima tajaan MARA.

Penyatuan Kepakaran Produk MARA

Naib Presiden ANSARA Malaysia merangkap Ketua Biro Profesional, Ts. Abdul Razak Abdul Khalid yang juga bertindak sebagai Pengarah Program, menegaskan bahawa penganjuran ini merupakan langkah proaktif ANSARA dalam menyatukan modal insan mahir yang telah dibentuk melalui pelaburan strategik MARA selama ini.

“Gen MARA adalah aset strategik negara. Kami bukan sahaja lahir dari sistem pendidikan yang hebat, malah kini memegang peranan kritikal dalam pelbagai sektor profesional. Himpunan ini bertujuan mengukuhkan jaringan (networking) di kalangan teknokrat ini agar kepakaran kolektif kami dapat disalurkan semula demi kemajuan negara,” ujar beliau.

Solidariti Gen MARA ini diharapkan dapat menzahirkan sokongan padu komuniti profesional di bawah naungan ANSARA terhadap usaha kerajaan dalam memperkasa ekosistem pendidikan dan keusahawanan Bumiputera.

Platform Dialog ‘Unplugged’ & Dukungan Agenda Nasional

Memilih format Unplugged, program ini memberi ruang kepada para profesional untuk berinteraksi secara terus dan santai dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi. Program ini juga akan menyaksikan beberapa agenda besar seperti:

  1. Pelancaran Skuad ANSARA: Pengenalan badan sukarelawan rasmi di bawah naungan ANSARA Malaysia yang berperanan sebagai tunjang sokongan utama dalam menggerakkan pelbagai program kelolaan ANSARA. Memandangkan status ANSARA sebagai NGO yang berpaksikan semangat sukarelawan tanpa imbuhan, Skuad ANSARA meluaskan fungsinya melangkaui bantuan misi kemanusiaan semata-mata, merangkumi sokongan teknikal dan operasi bagi menjayakan setiap inisiatif persatuan.
  2. Pra-Pelancaran Karnival Sukan ANSARA 2027: Manifestasi awal ke arah temasya dwi-tahunan yang bukan sekadar pentas persaingan atletik, malah medan keramat yang menyatukan ribuan alumni merentas generasi. Melalui sukan, kita menyemarakkan gaya hidup sihat sekaligus memperkukuh ukhuwah yang telah terbina puluhan tahun. Inilah detik untuk kita kembali berpijak di gelanggang yang sama, mempertautkan kasih sayang, dan membuktikan bahawa semangat ANSARA tidak pernah luntur dek zaman.

Peranan Strategik ANSARA Malaysia

Sebagai organisasi yang menaungi ratusan ribu alumni, ANSARA Malaysia komited untuk memastikan graduan MARA tidak bergerak secara silo. Melalui Biro Profesional, persatuan ini berfungsi sebagai saluran strategik bagi golongan pakar untuk memberikan input kepada pihak kepimpinan negara, sekali gus memperkukuh ekosistem MARA bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

“ANSARA mahu membuktikan bahawa pelaburan kerajaan melalui MARA telah membuahkan hasil yang lestari. Kami berdiri teguh di belakang usaha memperkukuh institusi ini dan sedia berkhidmat sebagai rakan strategik kerajaan dalam membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” tambah beliau.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *