(SEMASA) KARNIVAL GENBLU YAMAHA 2026 SATUKAN LEBIH 16,000 PEMINAT, PERKUKUH HUBUNGAN BERSAMA KOMUNITI YAMAHA

Spread the love

SETIA ALAM, 9 Ogos 2026 – Lebih 16,000 peminat dan penunggang Yamaha membanjiri Karnival GenBlu Yamaha 2026 di Setia Alam, sekali gus menjadikan edisi ketujuh acara berkenaan sebagai antara himpunan terbesar komuniti Yamaha di Malaysia.

Mengangkat tema “The Journey with Yamaha”, karnival tahun ini meraikan kepelbagaian pengalaman dan perjalanan para penunggang Yamaha, di samping memperkukuh komitmen Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dalam menyediakan produk, teknologi, pengalaman serta inisiatif yang memenuhi keperluan dan gaya hidup komuniti permotoran.

Karnival GenBlu Yamaha 2026 turut menyaksikan pengenalan beberapa model baharu, pelancaran rasmi Yamaha Collector’s Club (YCC) serta penganjuran inisiatif khas bagi menghargai pencapaian atlet dan semangat kesukanan negara.

TIGA MODEL BAHARU YAMAHA DIPERKENALKAN

Antara tumpuan utama karnival ialah pengenalan model-model terbaharu Yamaha yang merangkumi pelbagai segmen penunggang, dengan penekanan terhadap prestasi, teknologi, keselesaan dan reka bentuk.

Model flagship moped, Yamaha Y16ZR-R, diperkenalkan khusus kepada penunggang yang mengutamakan prestasi dan pengalaman tunggangan lebih dinamik. Model ini dilengkapi nisbah gear sekunder yang dipertingkatkan bagi menghasilkan pecutan lebih responsif dari kedudukan pegun, selain menampilkan bunyi sedutan enjin yang lebih mengujakan.

Y16ZR-R turut mencatat sejarah sebagai model moped Yamaha pertama yang dilengkapi Traction Control System (TCS) dan Simple Communication Control Unit (SCCU).

Ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Raijin Green, Yoru Black dan Kouka Grey, Yamaha Y16ZR-R ditawarkan pada harga runcit disyorkan RM10,888, tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans.

Harga tersebut mengambil kira insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) oleh Kerajaan, sekali gus memberikan nilai pemilikan yang lebih kompetitif kepada pelanggan.

Bagi peminat perlumbaan MotoGP, HLYM turut memperkenalkan Yamaha Y16ZR-R Limited Edition Pramac Racing Replica, model edisi khas yang terhad kepada hanya 3,000 unit di seluruh dunia.

Model berkenaan menampilkan livery rasmi Yamaha Prima Pramac MotoGP Team, lengkap dengan Serial Number Emblem serta sistem suspensi Öhlins yang ditala dan dibangunkan khusus untuk Y16ZR-R baharu.

Yamaha Y16ZR-R Limited Edition Pramac Racing Replica ditawarkan pada harga runcit disyorkan RM13,388, tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans.

Kedua-dua model Y16ZR-R dan Y16ZR-R Limited Edition Pramac Racing Replica akan mula berada di pengedar sah Yamaha di seluruh negara mulai pertengahan Ogos 2026.

Turut diperkenalkan ialah Yamaha XMAX 300 Tech Max, yang memperkukuh penawaran Yamaha dalam segmen skuter pertengahan di Malaysia.

Melengkapkan model XMAX 250 sedia ada, XMAX 300 Tech Max menawarkan peningkatan dari aspek prestasi, ergonomik dan kemasan premium bagi memberikan pengalaman tunggangan yang lebih selesa, sama ada untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Ditawarkan dalam warna Crystal Graphite, Yamaha XMAX 300 Tech Max dijual pada harga RM28,499, tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans, dan akan mula berada di pengedar sah Yamaha di seluruh negara mulai pertengahan Ogos 2026.

Sebagai kemuncak pengenalan produk, HLYM turut memperkenalkan Yamaha XSR155, sebuah motosikal yang menggabungkan elemen reka bentuk retro klasik dengan teknologi moden.

XSR155 direka bagi penunggang yang menghargai identiti, gaya dan keunikan, dengan tiga pilihan warna iaitu Malar Hijau, Perak Klasik dan Royale Hitam.

Yamaha XSR155 ditawarkan pada harga RM12,998, tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans, dan dijadualkan berada di pengedar sah Yamaha di seluruh negara pada suku keempat (Q4) 2026.

YAMAHA COLLECTOR’S CLUB HARGAI WARISAN DAN BUDAYA KOMUNITI

Selain pengenalan model baharu, HLYM turut melancarkan secara rasmi Yamaha Collector’s Club (YCC), sebuah platform yang diwujudkan bagi mengiktiraf motosikal Yamaha yang mempunyai nilai warisan, koleksi serta sejarah dalam kalangan peminat.

YCC merangkumi empat kategori utama, iaitu Classic, Limited Edition, Custom dan Convoy, yang mencerminkan kepelbagaian budaya serta gaya komuniti Yamaha.

Kategori Classic dan Limited Edition memberikan pengiktirafan rasmi kepada motosikal yang memenuhi kriteria ditetapkan, manakala pemilik yang menerima pengiktirafan turut menikmati manfaat perlindungan insurans yang dipertingkatkan melalui rakan insurans HLYM, Berjaya Sompo Insurance.

Kategori YCC Custom pula meraikan kreativiti pemilik dalam aspek pengubahsuaian motosikal, sementara YCC Convoy memberi pengiktirafan kepada kumpulan konvoi Yamaha yang aktif dalam membina semangat setiakawan dan budaya tunggangan secara berkumpulan.

“SPIRIT OF CHALLENGE” SEMARAK SEMANGAT ATLET NEGARA

Karnival GenBlu Yamaha 2026 turut menampilkan inisiatif “Spirit of Challenge: Road to Asian Games 2026”, yang mengetengahkan semangat keberanian, ketabahan dan keazaman dalam mengejar kecemerlangan.

Inisiatif tersebut menampilkan Pasukan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan Bunga Raya Lelaki dan Wanita, Mohd Syahir Mohd Rosdi yang diiktiraf sebagai World’s Best Tekong oleh International Sepak Takraw Federation (ISTAF), serta pemain kebangsaan daripada Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia.

Turut hadir ialah Mr. Takashi Yamaya, President of Shizuoka BlueRevs, kelab ragbi profesional Yamaha Motor di Jepun, yang mengukuhkan hubungan serta perkongsian semangat kesukanan antara Yamaha di Jepun dan Malaysia.

Sebagai simbol semangat mencabar diri dan kecemerlangan sukan, komuniti Yamaha turut mencipta dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Tendangan Tekong Tertinggi” dan “Penyertaan Teramai Mencabar Tekong dalam Satu Acara”.

MEMPERKUKUH KOMUNITI, MENYEMARAKKAN PERJALANAN BERSAMA YAMAHA

Memasuki tahun ketujuh penganjuran, Karnival GenBlu Yamaha terus menjadi platform penting dalam menghimpunkan komuniti Yamaha menerusi perkongsian minat, persahabatan dan pengalaman dalam dunia permotoran.

Seiring dengan komitmen terhadap keselamatan dan kesejahteraan komuniti penunggang, pihak penganjur turut mengambil langkah proaktif dengan memulakan Cabutan Hadiah Utama lebih awal bagi memberikan tempoh perjalanan pulang yang lebih selesa dan selamat kepada para penunggang sebelum hari gelap.

Karnival GenBlu Yamaha 2026 bukan sekadar meraikan perkembangan produk dan teknologi, malah menjadi wadah untuk menghargai setiap individu yang membentuk komuniti Yamaha.

Dengan tema “The Journey with Yamaha”, setiap perjalanan, pengalaman dan kenangan para penunggang menjadi sebahagian daripada perjalanan Yamaha dalam terus membina hubungan yang kukuh bersama komuniti permotoran di Malaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *