(SEMASA) Kolej Universiti Linton Bekerjasama dengan Projek57 untuk menawarkan 10 biasiswa penuh kepada Pemuda Orang Asli

Spread the love

PUTRAJAYA, 7 November, 2017 – Dengan kerjasama bersama Projek57, Kolej Universiti Linton sekali lagi mempamerkan komitmennya untuk menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar yang layak dengan menganugerahkan 10 biasiswa penuh kepada pemuda-pemuda Orang Asli yang kurang bernasib baik.

Biasiswa-biasiswa ini telah dianugerahkan semasa majlis pelancaran Projek ROSE (Reaching Out through Succesful Education) oleh Kolej Universiti Linton baru-baru ini bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-13 universiti tersebut di Putrajaya Marriott Hotel.

Sebagai susulan daripada sumbangan mereka kepada Projek57 tahun lepas, tahun ini Kolej Universiti Linton menambah sumbangan mereka kepada 10 biasiswa serta sumbangan sebanyak RM42,925 untuk 850 kemeja-T eksklusif daripada Projek57 di mana sebahagian daripada hasil itu digunakan untuk membantu golongan belia yang kurang bernasib baik.

Kemeja-T ini diedarkan kepada para graduan tempatan dan antarabangsa Linton pada hari konvokesyen mereka. Kemeja-T ini dicetak dengan kata-kata Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, mengenai wawasan beliau melihat pelbagai kaum hidup dan bekerja secara harmoni. Kata-kata ini bukan sahaja relevan untuk Malaysia sahaja, tetapi juga untuk rakyat sedunia, dalam masa para graduan Linton pulang ke tanah air masing-masing selepas majlis konvokesyen ini.

Untuk melancarkan Projek ROSE, sebuah Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani oleh Naib Canselor Universiti Linton, Dr. Kamis Awang dan pengasas-pengasas Projek57, Syed Sadiq Albar dan Collin Swee. Dr. Kamis juga telah menyerahkan 10 cek biasiswa penuh kepada Projek57.

Naib Canselor Kolej Universiti Linton, Dr. Kamis Awang, berkata, “Projek ROSE adalah antara inisiatif sosial Linton University College. Melalui projek tanggungjawab sosial korporat ini, kami berhasrat untuk mengenal pasti pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang berminat untuk melanjutkan pelajaran kepada pendidikan tinggi. Kami percaya bahawa apabila semua warganegara dalam sesebuah negara diberi pendidikan yang sempurna, seluruh negara akan maju.”

“Kerjasama kami dengan Projek57 membolehkan kami mendekatkan diri dengan masyarakat Orang Asli demi mewawarkan kepentingan pendidikan tinggi dan impak pendidikan dalam mengubah hidup masyarakat ini. Kami ingin melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan komuniti Orang Asli khususnya di Negeri Sembilan memandangkan kampus Linton seluas 160 ekar terletak di Mantin,” jelas Dr. Kamis.

Para penerima bebas mendalami kursus yang diminati dan selepas tamat pengajian, boleh bekerja dengan mana-mana majikan yang mereka idamkan kerana biasiswa tersebut tiada ikatan bon. Pada tahun ini, para penerima akan dapat menuntut ilmu pengajian tinggi dalam kursus seperti Bisnes dan Perakaunan, IT, Kejuruteraan, Seni Gunaan dan Visual, dan Kejururawatan di Kolej Universiti Linton.

Pengasas Projek57, Syed Sadiq Albar dan Collin Swee berkata, “Misi Projek57 adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia supaya menjadi pembina bangsa dan memupuk semangat perpaduan untuk masa depan Malaysia. Kami bersyukur dapat berkolaborasi dengan Kolej Universiti Linton sekali lagi untuk memberi biasiswa kepada pelajar Orang Asli yang cerdik pandai. Dengan memperkasakan pendidikan mereka, kami berharap dapat memulakan sesuatu proses yang akhirnya akan menyumbang kepada pembangunan komuniti mereka dan membina kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri serta keluarga mereka.”

Kerjasama antara Kolej Universiti Linton dan Projek57 juga akan diperluas kepada projek komuniti lain oleh perusahaan sosial ini yang dapat membantu para pelajar dalam menemui peranan serta kebolehan mereka dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui perusahaan sementara dan pada masa yang sama, menyebarkan mesej perpaduan dan harapan. Ini dijangka akan bermula pada tahun 2018.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kolej Universiti Linton, sila layari www.linton.edu.my atau https://www.facebook.com/lintonuniversitycollege

Untuk maklumat lanjut mengenai Projek57, sila layari www.projek57.com atau Facebook Projek57 di https://www.facebook.com/projek57/ dan Instagram di https://www.instagram.com/projek57/ .


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *