(SEMASA) KTMB EDAR 1,000 PEK HARI RAYA KEPADA KELUARGA MALAYSIA

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 April — Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini meneruskan program tradisi tahunannya selepas pandemik COVID-19 dengan mengedarkan 1,000 pek hari raya kepada para penumpang di Stesen KL Sentral.

Program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Sebanyak 500 pek diagihkan kepada penumpang perkhidmatan elektrik (ETS) dan 500 lagi kepada penumpang perkhidmatan KTM Komuter yang pulang ke kampung halaman.

Pemberian pek ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada para pengguna yang sentiasa menjadikan perkhidmatan KTMB sebagai pilihan pengangkutan mereka.

KTMB juga turut menganjurkan majlis berbuka puasa bersama pemegang taruh, di samping menyantuni anak-anak yatim daripada Pusat Jagaan Suci Rohani, Petaling Jaya serta rakan-rakan media.

“Kami amat berbesar hati untuk memberikan sumbangan duit raya dan vitamin SuperOla immu B+ supaya anak-anak ini sentiasa kekal sihat dan cerdas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB.

“Majlis ini juga kami adakan bagi menghargai sokongan rakan-rakan media yang sentiasa menyokong dan mempromosi perkhidmatan KTMB di samping merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain,” tambahnya lagi.

Sempena sambutan hari raya pada tahun ini, KTMB turut memperkenalkan tren khas buat Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia yang akan membuat perjalanannya pada hari ini.

Perkhidmatan ini akan beroperasi bagi laluan Pantai Timur yang bermula dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya. Sebanyak 1,392 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan khas ini.

“Beberapa hari selepas dilancarkan, tiket bagi laluan Kuala Lumpur — Tumpat telah habis dijual. Oleh yang demikian, kita telah menambah lagi tiga (3) koc superior yang poleh menempatkan seramai 180 orang penumpang,” menurutnya,

“Terima kasih KTMB kerana menjayakan inisiatif tren khas ini sebagai alternatif yang memberi peluang kepada rakyat pantai timur untuk menaiki kereta api dan pulang ke kampung,” kata Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong

“Diharap perkhidmatan tren khas ini akan diteruskan setiap kali musim perayaan dalam usaha kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam serta mengelakkan kesesakkan di jalan raya,” katanya lagi.

KTMB juga turut menawarkan dua (2) perkhidmatan ETS tambahan bagi laluan KL Sentral — Padang Besar bagi tarikh 29 April hingga 2 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei menjadikan ia 34 perkhidmatan sehari.

Para pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB. Pemegang tiket KTMB dinasihatkan untuk hadir ke stesen satu (1) jam lebih awal bagi memudahkan urusan pelepasan. Walaupun negara telah beralih ke fasa endemik, KTMB tetap akan memastikan semua penumpangnya mematuhi SOP yang ditetapkan untuk kesejahteraan bersama.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *