PULAU PINANG, 18 SEPTEMBER 2026 – Morbidelli C252V kini rasmi berada di pasaran Malaysia selepas dilancarkan pada 29 Mei 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), menerusi penganjuran Mforce MotoXperience 2026 bersempena acara Malaysia Bike Show.
Hadir sebagai sebuah motosikal cruiser yang menggabungkan gaya klasik dengan teknologi moden, Morbidelli C252V menampilkan rekaan yang menyerlah bersama enjin V-Twin, selain menawarkan ciri-ciri yang sesuai untuk kegunaan harian mahupun tunggangan jarak jauh.
Ditawarkan pada harga RM16,988.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, Morbidelli C252V hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Bulk Black, Moss Green dan Urban Silver.
Morbidelli C252V dikuasakan enjin silinder V2, 4 lejang, 8 injap, penyejukan cecair, SOHC berkapasiti 249 cc yang menghasilkan kuasa maksimum 19 kW pada 9,000 rpm serta tork maksimum 25 N.m pada 5,500 rpm. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 53.5 × 55.4 mm dengan nisbah mampatan 11.8:1, selain menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) dan sistem pencucuhan T.C.I. Sistem penghidupan pula menggunakan penghidup elektrik.
Kuasa daripada enjin disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan sistem pacuan tali sawat, manakala sistem klac menggunakan slipper clutch. Kawalan pendikit pula menggunakan sistem kawalan pendikit dwi kabel bagi memberikan kawalan pendikit yang lebih responsif. Dengan kapasiti tangki bahan api 15.5 liter, Morbidelli C252V turut menawarkan kapasiti yang sesuai untuk perjalanan yang lebih jauh.
Bagi aspek pengendalian, Morbidelli C252V menggunakan suspensi hadapan teleskopik jenis terbalik di bahagian hadapan dengan jarak gerakan suspensi 115 mm, manakala bahagian belakang dilengkapi penyerap hentak berkembar dengan pelarasan prabeban serta jarak gerakan 47 mm.
Sistem membrek menggunakan cakera tunggal di bahagian hadapan dan belakang yang dilengkapi ABS dwi-saluran. Untuk cengkaman yang lebih baik ketika pecutan, Morbidelli C252V turut dilengkapi TCS.
Motosikal ini menggunakan tayar 130/90-16 CST di bahagian hadapan dan 150/8016 CST di bahagian belakang, masing-masing dipadankan dengan rim jejari. Gabungan ini bukan sahaja melengkapkan penampilan cruiser Morbidelli C252V, malah memberikan karakter tunggangan yang tersendiri.
Dari segi dimensi, Morbidelli C252V mempunyai ukuran 2,225 mm panjang, 853 mm lebar dan 1,090 mm tinggi, dengan jarak roda 1,575 mm. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 690 mm, manakala kelegaan tanah ialah 173 mm. Dengan berat siap diisi sebanyak 177 kg, Morbidelli C252V menawarkan kedudukan tunggangan yang rendah dan karakter pengendalian yang sesuai dengan konsep sebuah cruiser.
Melengkapkan ciri-ciri moden, Morbidelli C252V dilengkapi paparan LCD sebagai meter kelajuan, port pengecas USB Type-A, sistem kemasukan kunci mekanikal serta suis keselamatan tongkat sisi. Sistem pencahayaan pula menggunakan LED termasuk lampu isyarat, lampu kecemasan, lampu utama dan lampu belakang.
Dengan setiap pembelian Morbidelli C252V, para pembeli boleh menikmati waranti selama 2 tahun. Perlindungan komprehensif penuh merangkumi tempoh 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana terdahulu). Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada.
Selain itu, para pembeli juga boleh menikmati perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh Morbidelli Malaysia.
Tertakluk kepada terma dan syarat.
