Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia memuktamadkan musim Siri Michelin 24H Eropah 2026 dengan cemerlang selepas meraih tempat ke-3 keseluruhan dalam Kelas GT3-AM dan tempat ke-4 keseluruhan dalam kelas GT3. Kejayaan ini mencatatkan sejarah baharu sebagai pencapaian pertama buat pasukan beranak tempatan sepenuhnya.
Ia merupakan penutup Siri yang fenomenal dan bersesuaian buat Viper Niza Racing pada perlumbaan 24 Hours of Barcelona yang baru sahaja berakhir di Circuit de Barcelona-Catalunya. Pasukan ini berjaya meraih petak utama (pole position) pertamanya dalam Kelas GT3-AM, sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-3 bagi kelas GT3-AM dan tempat ke-6 bagi kelas GT3. Viper Niza Racing melengkapkan perlumbaan dengan 699 pusingan di litar sejauh 4.657 km tersebut, menembusi garisan penamat 8 pusingan di belakang jentera Porsche 911 GT3 R Evo milik pasukan Up2Race yang meraih kemenangan.
Menjelang perlumbaan di Barcelona, Viper Niza Racing berada di kedudukan ke-3 keseluruhan Kelas GT3-AM, namun masih berpeluang untuk melintasi dua pasukan teratas – Getspeed Team JR286 dan Hofor Racing. Walau bagaimanapun, pasukan juga perlu mengekang cabaran Continental Racing by Simpson Motorsport yang berada di kedudukan ke-4 keseluruhan.
Pasukan yang ditunjangi oleh Douglas Khoo, Dominic Ang, Melvin Moh dan Aaron Lim tidak melakukan sebarang kesilapan sepanjang perlumbaan 24 jam yang mencabar itu, meskipun berdepan detik cemas melibatkan sentuhan kecil pada jentera #65 Viper Niza Racing Mercedes-AMG GT3 EVO akibat kecuaian salah sebuah jentera belakang – Porsche Cayman GT4.
Ang memulakan perlumbaan 24 jam tersebut buat Viper Niza Racing dan dengan pantas menempatkan diri dalam kedudukan 6 teratas. Sepanjang perlumbaan berlangsung, Viper Niza Racing saling bertukar kedudukan pendahulu dalam Kelas GT3-AM bersama Getspeed Team JR286 dan Hofor Racing. Saluran saingan daripada Continental Racing by Simpson Motorsport tidak lagi mengancam kedudukan keseluruhan, manakala Getspeed Team JR286 kemudiannya mengalami masalah galas roda (wheel bearing). Walau bagaimanapun, jentera BMW M4 GT3 Evo milik HAAS RT yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 kelas telah membahagikan mata, sekali gus menjadi faktor penentu yang memisahkan Viper Niza Racing daripada potensi meraih kedudukan ke-2 keseluruhan dalam Kelas GT3-AM.
Tiga pasukan teratas dalam kedudukan keseluruhan Kelas GT3-AM hanya dipisahkan dengan perbezaan 8 mata – Hofor Racing (152 mata), Getspeed Team JR286 (148 mata) dan Viper Niza Racing (144 mata). Viper Niza Racing turut mengumpul 102 mata dalam kedudukan keseluruhan GT3 untuk berada di tempat ke-4.
“Kami tidak mahu berspekulasi mengenai apa yang sepatutnya boleh berlaku, sebaliknya mahu meraikan kejayaan tempat ke-3 keseluruhan Siri yang dicapai dengan usaha gigih ini, di mana ia sememangnya sasaran asal pasukan bagi tahun 2026,” kata Prinsipal Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo.
“Halangan terbesar pertama yang perlu diatasi sebelum memikirkan tentang pesaing terdekat adalah untuk menamatkan perlumbaan 24 jam ini. Perkara itu sendiri merupakan satu pencapaian besar, dan melakukannya tanpa sebarang insiden utama mahupun masalah teknikal adalah satu kebaikan, memandangkan litar Barcelona memberi kerosakan yang agak ketara kepada beberapa pasukan utama lain.”
Khoo mendedikasikan kejayaan pasukan dalam perlumbaan tersebut dan sepanjang musim kepada komitmen serta dedikasi tinggi tenaga pemandu, jurutera perlumbaan, dan juruteknik – yang kesemuanya merupakan warga Malaysia – di samping pegangan teguh bahawa rakyat Malaysia juga mampu beraksi cemerlang dalam perlumbaan GT bertaraf dunia.
“Mengumpul 144 mata (dalam GT3-AM) sepanjang musim adalah lebih tinggi berbanding 110 mata yang kami kumpulkan pada tahun 2025. Dengan hanya 8 mata memisahkan tiga pasukan teratas, ini membuktikan betapa sengitnya Siri perlumbaan ini. Kami amat bangga menjadi sebahagian daripada Siri ini dan dapat berdiri di atas pentas pemenang (podium) hanya dalam musim kedua penyertaan adalah satu perasaan yang amat memuaskan. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kongsi dan penaja yang mempercayai perjalanan kami ini.”
Viper Niza Racing memulakan musim 2026 di tempat ke-8 dalam kelas GT3 dan ke-4 dalam GT3-AM di Mugello; menamatkan Pusingan 2 di tempat ke-5 (GT3) dan ke-4 (GT3-AM) di Spa Francorchamps; mencatatkan tempat ke-5 (GT3) dan ke-3 (GT3-AM) pada Pusingan 3 di Paul Ricard; serta meraih tempat ke-3 keseluruhan dalam GT3 dan ke-2 dalam GT3-AM pada Pusingan 4 di Nürburgring.
Pada tahun 2025, pasukan ini menamatkan saingan di tempat ke-4 keseluruhan bagi kedudukan mata Kelas GT3-AM dan tempat ke-6 keseluruhan bagi Kelas GT3.
Viper Niza Racing mendapat sokongan penajaan daripada Motul, IWC sebagai Jenama Jam Tangan Rasmi, Momentum Autoparts, dan SPARCO Italy.
