(SEMASA) San Remo, Pasta Ala Malaysia

Spread the love

Photo 6

Apabila kita bercerita tentang pasta, pasti ramai yang memikirkan resipi-resipi yang lebih ke arah citarasa barat. Kali ini, jenama pasta terkenal di Malaysia, San Remo, ingin menunjukkan cara-cara untuk menikmati pasta dengan sentuhan “ala Malaysia”. Melalui satu sessi demonstrasi masakan bersama wakil media, San Remo telah mengetengahkan kelebihan pasta sebagai masakan yang enak untuk dihidangkan dalam pelbagai cara.

erewmo

Pasta San Remo telah melalui beberapa perubahan dengan kepakaran dari Chef Rose Weiss, yang bukan sahaja telah menjelajah ke seluruh dunia tetapi juga seorang hos TV popular. Chef Rose telah menggantikan sos-sos pasta yang berasaskan keju, susu dan tomato yang biasa digunakan dengan bahan-bahan tempatan seperti asam keping, belacan dan cili padi di dalam masakannya. Malah Chef Rose telah memperkenalkan dua resipi baru iaitu San Remo Angel Hair Goreng Pedas Ala Mamak dan Sup Lala Pindang dengan Elbow San Remo.

Selepas melihat bagaimana Chef Rose menyediakan dua sajian berasaskan pasta San Remo, wakil media dibahagi kepada beberapa kumpulan dan diberi peluang untuk mencuba kebolehan mereka. Mereka diberi resipi bagi satu hidangan, iaitu Salad San Remo Vegeroni Spirals Ikan Bilis Ala Melayu. Mereka ternyata begitu teruja dan bersungguh-sungguh untuk belajar kerana melalui penerangan yang diberi Chef Rose, hidangan pasta San Remo ini bukan sahaja lazat dan menyihatkan, ia juga cepat dan begitu mudah untuk disediakan.

Chef Rose berkata, “Sebagai rakyat Malaysia kita harus berbangga dengan kedudukan negara yang menjadi satu destinasi unik untuk menjamu selera. Dengan bermacam-macam bahan masakan yang terdapat di sini, kita sentiasa ingin mencipta dan mencuba sajian baru. Bagaimanapun, ramai yang tidak pernah terfikir untuk menginovasikan pasta kerana sering mengaitkannya dengan hidangan ala-Barat.”

“Melalui demonstrasi memasak yang dianjurkan oleh San Remo , kita dapat melihat ada banyak cara untuk memasak pasta untuk dihidangkan kepada keluarga. Lebih-lebih lagi jika ingin memberi sentuhan ‘tempatan’ tetapi masih mengekalkan khasiat kebaikan pasta San Remo. Saya gembira melihat minat dan semangat yang ditunjukkan oleh semua peserta, dan saya betul-betul gembira kerana dapat menunjuk ajar mereka cara menyediakan sajian baru,” ujar Chef Rose.

Kesemua resipi yang disiapkan oleh Chef Rose melalui demonstrasi masakan ini boleh didapati dalam sebuah buku resipi bertajuk “Cubalah Citarasa Tempatan dengan Pasta San Remo”. Buku resipi ini mengandungi 11 resipi pasta tempatan dan bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia memberi sentuhan cita rasa tempatan ke dalam hidangan pasta.  Buku resipi ini boleh didapati secara percuma dengan sebarang pembelian dua paket pasta kering San Remo di semua pasar raya terkemuka, sementara stok masih ada.

Mohan Alagappar, Pengurus Besar GBA Corporation Sdn Bhd, berkata, “Kami di San Remo sentiasa menanam hasrat untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia cuba memberikan sentuhan cita rasa tempatan dalam sajian pasta mereka. Kami percaya perkara beginilah yang benar-benar mencerminkan semangat 1Malaysia dan keunikan negara kita akan lebih terserlah dengan kepelbagaian makanan yang lazat. Maka kami merasakan melalui buku resipi serta demonstrasi masakan ini akan terbit idea baru untuk mempelbagaikan cara pasta dihidangkan.”

“Kami pasti hidangan pasta San Remo yang diberi sentuhan ‘ala-Malaysia’ akan menjadi satu cara untuk menikmati pasta bersama keluarga dan kawan-kawan. Mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bersama-sama merasai sajian pasta ‘Malaysia’ yang sihat, lazat dan berkhasiat!” ulasnya.

Di akhir sesi memasak bersama Chef Rose, para peserta berpeluang untuk membawa pulang periuk pasta yang diimport dari Australia. Ini memberi kesempatan kepada para peserta untuk mencuba resipi-resipi pasta yang baru mereka pelajari di rumah.

Sebagai pengeluar pasta kering terbesar di Australia, San Remo yang diasaskan pada tahun 1936, kini menawarkan 19 jenis pasta kering yang boleh didapati di Malaysia.  Ditubuhkan oleh Luigi Crotti, San Remo merupakan jenama terkenal bagi kategori pasta di dalam pasaran Malaysia. Malah ia merupakan jenama pasta pilihan yang turut menawarkan rangkaian produk berkaitan pasta yang menjadi kegemaran ramai.  Diperbuat daripada 100% gandum durum, pasta San Remo disahkan halal, tanpa GMO, pewarna tiruan dan pengawet. Untuk maklumat lanjut tentang San Remo dan resipi, sila ke laman www.sanremo.com.au.

San Remo diedarkan secara eksklusif di Malaysia oleh GBA Corporation Sdn Bhd. GBA kini menguruskan banyak jenama terkenal hasil kerjasama dengan rakan niaga dari seluruh dunia, dengan kebanyakannya adalah pemimpin jenama dalam kategori masing-masing.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *