(SUKAN) 32 BAKAT MUDA BOLA SEPAK MALAYSIA SELESAI JALANI LATIHAN INTENSIF DI CARDIFF, UNITED KINGDOM

Spread the love

1MCC-AKB_1

Program latihan 1MCC- Astro Kem BOLA telah mengenal pasti dan membawa seramai 32 pemain muda yang berpotensi besar dalam sukan bola sepak menjalani latihan intensif di Cardiff, United Kingdom bermula dari 14 hingga 24 Mac 2014. Para pemain pelapis yang berumur antara 11 hingga 13 tahun ini telah menjalani latihan profesional di bawah seliaan barisan jurulatih berpengalaman dari Kelab Bola Sepak Cardiff City.

1MCC-AKB_3

Sepanjang 10 hari mereka di sana, mereka telah menjalani latihan menyeluruh yang merangkumi latihan di atas padang, pengajian kepimpinan dalam bidang sukan serta lawatan ke sekolah dan stadium. Selain itu, mereka pasti tidak dapat melupakan pengalaman terindah yang diperolehi di sana apabila mereka berpeluang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di antara dua kelab gergasi iaitu Cardiff City menentang Liverpool pada hari Sabtu yang lepas.

1MCC – Astro Kem BOLA anjuran Astro Kasih dengan usahasama 1 Malaysia Cardiff City (1MCC) Football Academy ini telah bermula dari tahun 2012 dengan tujuan untuk membuka peluang kepada bakat-bakat muda merasai pengalaman menjalani latihan bersama jurulatih professional dan memberikan pendedahan di peringkat antarabangsa di samping terus membantu serta memupuk para pemain muda ini dalam meningkatkan kemahiran bola sepak mereka.

Proses pencarian bakat yang bermula dari bulan Ogos tahun lepas ini menyaksikan seramai 2,722 orang peserta mendaftarkan diri bagi menyertai kem pemilihan yang telah diadakan di enam lokasi seluruh Malaysia. Setelah menjalani sesi pemilihan dan ujian yang ketat di kem latihan lanjutan, seramai 32 peserta lelaki dan perempuan terbaik berjaya melayakkan diri untuk menjalani latihan intensif selama 10 hari di Kelab Bola Sepak Cardiff City.

James Barnett, Ketua Jurulatih 1MCC berkata, “Kesemua peserta Kem Bola ini seharusnya berbangga atas pencapaian cemerlang mereka sepanjang berada di Cardiff. Dalam masa yang agak singkat ini, mereka mampu untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dari pelbagai aspek. Selaku jurulatih, saya berasa sangat berbesar hati melihatkan kemajuan luar biasa oleh setiap peserta. Saya berharap mereka akan berkongsi segala pengalaman dan pengetahuan baru yang diraih bersama keluarga dan rakan-rakan serta terus bekerja keras untuk mencapai impian mereka”.

Mohd Aiman Afif bin Md Afizul, selaku ketua pasukan 1MCC-Astro Kem BOLA yang berasal dari Kedah berkata, “Saya menggemari sukan bola sepak sejak dari kecil lagi dan hari ini merupakan hari yang sangat bermakna apabila saya berpeluang untuk menjalani latihan di Cardiff. Pelbagai ilmu yang saya pelajari sepanjang di sini terutamanya mengenai latihan kemahiran, cara membuat hantaran yang tepat dan kawalan bola yang sempurna. Saya pasti tidak akan lupakan segala pengalaman dan tunjuk ajar dari jurulatih-jurulatih di sini”.

“Saya berasa bangga kerana terpilih menjadi salah seorang daripada 32 pemain terbaik di Malaysia untuk program ini. Saya berasa sangat gembira kerana barisan jurulatih di sini memberikan layanan yang baik. Mereka sentiasa memberikan tunjuk ajar dan panduan kepada kami setiap kali sesi latihan. Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan lebih ramai lagi rakyat Malaysia dapat menyertai program latihan seumpama ini”, kata Siddarsha a/p Siva Kumar, 13 tahun dari Melaka.

Program latihan 1MCC – Astro Kem BOLA tahun ini turut menerima penyertaan seorang pelajar, Hellma Emily Joinin (12 tahun) dari SK Magandai iaitu sebuah sekolah luar bandar yang menerima bantuan dari Astro melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi projek Hostel Astro Kasih. Beliau ternyata berbangga atas pencapaiannya dan teruja atas segala ilmu pengetahuan serta pengalaman baru yang diperolehi.

“Saya sangat berpuas hati kerana tunjuk ajar yang diberikan semasa latihan di dalam kelas dan di atas padang adalah sangat jelas dan agak berbeza dengan cara latihan di Malaysia. Sepanjang berada di Cardiff, kami menjalani latihan di House of Sport yang lengkap dengan peralatan bola sepak serta dilatih oleh barisan jurulatih professional. Mereka juga mengajar kami untuk sentiasa fokus semasa permainan, sentiasa berdisiplin dan saling tolong-menolong antara satu sama lain”, jelas beliau.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *