(SUKAN) ASTRO BERI PENGHORMATAN KEPADA PASUKAN HARIMAU MALAYA 1980

Spread the love

harimauKUALA LUMPUR – 9 September 2016: Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, Astro dengan berbesar hati telah menlancarkan sebuah dokumentari khas bertajuk, ‘Harimau Malaya 1980’ bagi meraikan detik-detik bersejarah pasukan bola sepak Malaysia dan juga wira-wira dalam pasukan Harimau Malaya 1980 itu sendiri. Tayangan perdana ‘Harimau Malaya 1980’ adalah pada 16 September 2016, jam 9.00 malam menerusi dua saluran serentak, Astro Arena (Saluran 801 / Saluran HD 802), Astro Supersport HD (Saluran 831) dan juga boleh ditonton menerusi aplikasi  Astro on the Go.

harimau-malaya-1980-group-2Turut sama hadir bagi meraikan barisan ikon sukan bola sepak tanah air di majlis pelancaran hari ini adalah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia, dan Dato’ Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro.

‘Harimau Malaya 1980’ merupakan inisiatif Astro untuk memaparkan kisah pasukan bolasepak kita pada tahun 1980 (atau lebih dikenali sebagai pasukan impian / dream team) yang telah melalui pelbagai cabaran untuk mara ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Buat julung-julung kalinya, selepas 36 tahun, skuad ini kembali disatukan dengan tujuan untuk menjayakan penerbitan dokumentari ini. Ia turut menyaksikan beberapa sesi temuramah istimewa bersama legenda bola sepak tanah air seperti Dato’ Soh Chin Aun, Hassan Sani, James Wong, Datuk Santokh Singh; jurulatih, Karl-Heinz Weigang; bekas pengulas sukan veteran; Tuan Haji Zulkarnain Hassan; ahli keluarga para pemain yang tidak lagi bersama dengan kita, dan bekas Menteri Luar Negeri, Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail. Dokumentari ini turut menyorot kembali detik-detik indah pemain, saat-saat suka dan duka, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan sehingga melayakkan pasukan mereka untuk bertanding di Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, “Dalam usaha kita memupuk semangat perpaduan negara, dokumentari seperti ‘Harimau Malaya 1980’ ini meraikan kepelbagaian etnik dan diversiti yang mana secara tidak langsung turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan budaya kerja berpasukan dan bersatu padu di antara satu sama lain. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Astro kerana telah menerbitkan dokumentari ini dan berharap agar semua rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan kepada barisan legenda hebat ini yang telah berjuang sedaya upaya untuk mengharumkan nama negara, walaupun terpaksa menempuhi pelbagai rintangan yang mendatang.”

Dato Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro berkata “Kami ingin menceritakan kepada rakyat Malaysia mengenai kisah wira-wira negara kita ini yang telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sehingga menjadikan mereka sebuah pasukan terunggul yang begitu dihormati dan seterusnya memenangi hati semua rakyat Malaysia. Kami berharap agar kisah perjuangan mereka ini akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi di masa akan datang. Sesungguhnya pasukan ‘Harimau Malaya 1980’ ini merupakan lambang kebanggaan rakyat Malaysia dan kisah perjuangan mereka ini mengingatkan kita akan kepentingan semangat berpasukan, sentiasa bersatu padu dalam mengamalkan kepelbagaian bangsa, dan memiliki kekuatan untuk menerima perbezaan di antara satu sama lain bagi mengecapi kejayaan yang diimpikan bersama.”

Basir Siswo, penerbit ‘Harimau Malaya 1980’ berkata, “Menghasilkan dokumentari ‘Harimau Malaya 1980’ ini adalah ibarat menghimpunkan kembali kepingan jigsaw puzzle yang telah tersimpan selama 36 tahun lamanya. Saat yang paling menyentuh hati adalah apabila perjumpaan semula para pemain yang mana mereka kemudiannya menyarungkan kembali jersi masing-masing dan berjalan beriringan untuk masuk ke dalam Stadium Merdeka. Ini merupakan satu senario yang cukup menggamit memori”.

Dato’ Soh Chin Aun, Ketua Pasukan ‘Harimau Malaya 1980’ berkata, “Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Astro kerana telah menghasilkan dokumentari ‘Harimau Malaya 1980’ serta telah memberi peluang kepada kami untuk berkongsi bersama kisah dan pengalaman yang dilalui ketika menuju misi Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980”.

Karl-Heinz Weigang, selaku jurulatih berkata, “Semangat kerjasama yang dipamerkan oleh setiap ahli pasukan ‘Harimau Malaya 1980’ di saat mengorak langkah menuju Sukan Olimpik Moscow 1980 merupakan sebuah memori yang tidak boleh saya lupakan. Perjalanan kami dipenuhi dengan emosi, diapit pula dengan pengorbanan peribadi setiap individu dan perjuangan yang perlu ditempuhi demi mencapai satu misi yang pada awalnya difikirkan mustahil”.

James Wong, selaku penyerang berkata, “Mengimbau kembali kenangan ketika menjalani penggambaran dokumentari ini, boleh dikatakan ia merupakan sebuah perjalanan yang cukup sentimental buat kami. Pengalaman yang paling bermakna adalah ketika kami berkumpul semula untuk sesi penggambaran”.

Haji Bakri Ibni, pemain tengah berkata, “Pasukan kami terdiri dari pelbagai kaum, namun keakraban dan semangat berpasukan yang dipamerkan setiap pemain berada di satu tahap yang tiada tandingannya. Seronok rasanya kerana berpeluang untuk kembali bersatu dalam satu pasukan bagi menjayakan penerbitan dokumentari”.

Datin Maria Selvie, balu mendiang Datuk R. Arumugam berkata, “Suami saya tentunya berasa bangga. Walaupun beliau tidak lagi berada bersama kita, beliau masih lagi kekal sebagai seorang lagenda. Beliau bermain untuk Malaysia. Beliau sayangkan pasukan Malaysia dan rakan-rakannya seperti Chin Aun, Santokh dan Mokhtar.”

harimau-malaya-1980-from-docuCIMB dan MILO® merupakan rakan penaja bagi ‘Harimau Malaya 1980’. Semua sumbangan dan tajaan yang dijana menerusi dokumentari ini akan disalurkan kepada barisan pemain bola sepak veteran dan ahli keluarga masing-masing.

Jangan lupa saksikan tayangan perdana dokumentari ‘Harimau Malaya 1980’ pada 16 September, jam 9.00 malam di Astro Arena (Saluran 801/ Saluran HD 802) dan Astro SuperSport HD (Saluran 831).

Semua pelanggan Astro dan NJOI boleh juga menyaksikan siaran ulangan ‘Harimau Malaya 1980’ pada keesokan harinya (17 September) di dalam versi Bahasa Malaysia di Astro Prima (Saluran 105) dan Maya HD (Saluran 135), jam 10:00 malam. Manakala versi Bahasa Mandarin boleh ditonton di Astro AEC (Saluran 301 / HD Saluran 306) pada jam 4:30 petang dan versi Bahasa Tamil di Astro Vaanavil (Saluran 201) pada jam 9:00 malam. Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Harimau Malaya 1980’, layari www.astro.com.my


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *