(SUKAN) LAZADA SEMARAKKAN KOMITMEN UNTUK MEMPERKASAKAN BELIA TEMPATAN MENERUSI RAKAN MUDA BERSAMA KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Spread the love

Kuala Lumpur, 30 Jun 2023 – Lazada Malaysia telah dipilih menjadi salah satu rakan strategik program Rakan Muda – Nafas Baharu yang kini dibangkitkan semula di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan. Program tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; dan Mantan Menteri Belia dan Sukan, YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Othman, yang terdahulu memperkenalkan program Rakan Muda pada tahun 1994. Menggandakan inspirasi program Rakan Muda, jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei, dan pelumba basikal trek Keririn nombor 1 dunia, Dato’ Azizulhasni Awang turut hadir di majlis pelancaran yang telah berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 25 Jun 2023, bersama-sama lebih 3,000 belia dan sukarelawan.

Demi menyokong objektif Kementerian Belia dan Sukan ke arah melibatkan lebih daripada satu juta belia Malaysia berumur antara 15 hingga 30 tahun untuk menyertai program Rakan Muda, Lazada akan menawarkan pelbagai insentif melalui platformnya. Sebagai rakan strategik eDagang yang mengutamakan kepelbagaian dan keterangkuman bagi para pengguna tempatan, Lazada bangkit berusaha untuk memperkasakan generasi muda menerusi tiga daripada sepuluh tonggak utama program Rakan Muda iaitu Rakan Niaga (Keusahawanan), Rakan Digital (Teknologi) and Rakan Aktif (Sukan).

“Para belia dan anak muda di Malaysia amat mementingkan kedudukan mereka di dunia, di mana mereka tekad berusaha untuk mencetuskan perubahan, lantas melakar laluan kehidupan masing-masing. Sebagai perintis platform eDagang di Asia Tenggara, Lazada merupakan organisasi dinamik dengan tenaga kerja muda, dan kami amat mengutamakan pertumbuhan ekonomi digital negara. Kami komited untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan memupuk bakat yang bersedia untuk masa hadapan di seluruh ekosistem eDagang. Kolaborasi kami dengan Kementerian Belia dan Sukan di bawah program Rakan Muda merupakan satu integrasi bersinergi yang bakal membolehkan kedua-dua pihak memperkasakan generasi muda demi masa hadapan yang lebih cerah,” kata Alan Chan, Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia.

Demi menyemarakkan lagi semangat keterangkuman, Lazada akan meningkatkan keterlibatan ribuan  rakyat Malaysia untuk lebih aktif bersukan, termasuk ratusan belia menerusi Lazada Run, inisiatif pertama seumpamanya yang memperjuangkan kecergasan dan semangat kesukanan untuk semua oleh sebuah platform eDagang di rantau ini. Acara Lazada Run edisi Malaysia akan berlangsung di Persiaran Flora, Cyberjaya pada 16 Julai 2023. Bagi menambah nilai sambil menyumbang ke arah pengaktifan Rakan Aktif, Lazada akan menaja penyertaan lebih 40 atlet-para di bawah Majlis Paralimpik Malaysia, di samping  pemberian 1,000 tiket percuma bagi membolehkan para belia dan pelajar universiti awam menyertai Lazada Run. Ratusan sukarelawan Satria di bawah Skuad Sukarelawan Kementerian Belia Dan Sukan juga akan terlibat secara aktif dalam Lazada Run  sebagai pasukan sorak, penyokong, dan pembantu kepada atllet-para. Selain itu, Lazada juga akan membuat sumbangan amal kepada Majlis Paralimpik Malaysia (PCM).

Rakan Muda telah dilancarkan secara pertama kali pada tahun 1994 sebagai platfrom penyatuan pembangunan belia di seluruh negara, serta demi memupuk kepelbagaian budaya. Sebagai salah satu rakan  strategik rasmi Rakan Muda, Lazada akan menawarkan pakej baucar bernilai sehingga RM15 kepada para belia yang mendaftar untuk menyertai program tersebut. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.kbs.gov.my/rakanmuda.

Dalam usaha untuk mempromosikan daya keusahawan digital di kalangan belia tempatan, Lazada juga telah melancarkan program Lazada4Youth pada tahun 2022 menerusi Memorandum Persefahaman dengan Universiti Teknologi Mara. Sehingga kini, siri bengkel Lazada4Youth yang telah dianjurkan secara hibrid iaitu dalam talian dan bersemuka di beberapa kampus UiTM di seluruh negara telah meilbatkan lebih 36,000 pelajar, yang mana ianya telah membolehkan mereka untuk menerokai peluang komersil dalam wadah digital, serta mencetuskan minat mereka untuk menjadi Penjual Lazada atau rakan kongsi LazAffiliates. Di samping itu, baru-baru ini, Lazada x Asia Pacific University ASBX Business Challenge juga telah berjaya memperkasakan 105 pelajar, di mana mereka telah membentangkan idea inovatif berdasarkan teknologi AI dan idea penyelesaian keusahawawan yang boleh diguna pakai dalam operasi perniagaan eDagang. Lazada akan terus bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi menyumbang dan menambah nilai kepada dua tonggak utama Rakan Muda, iaitu Rakan Niaga dan Rakan Digital.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *