(SUKAN) Malaysia sasar juara Paintball Piala Dunia Asia 2012

Spread the love

LANGKAWI – Malaysia memasang hajat untuk menjuarai kategori utama Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia (WCA) 2012 pada 8 hingga 11 November ini di sini, meskipun belum pernah memenanginya sejak tujuh siri yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AKR Events Sdn. Bhd., Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pencapaian terbaik pasukan negara ialah berada pada kedudukan kelima dalam Divisyen 1 tahun lalu.

“Kita ada empat divisyen kesemuanya. Malaysia bukan tidak pernah menang langsung. Kita muncul juara Divisyen 3 dan 4, bagaimanapun bagi dua divisyen utama iaitu Divisyen 1 dan 2, kita belum pernah memenanginya.

“Juara Divisyen 1 tahun lalu, pasukan Datis dari Iran akan mempertahankan kejuaraan,” katanya.

Beliau menghadiri pelancaran Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia 2012 yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa WCA 2012, Tan Sri Khalid Ramli di sini, baru-baru ini.

Menurut Syed Mohd. Johan, sekalipun tidak pernah muncul juara kategori utama, pencapaian Malaysia boleh dibanggakan dalam tempoh lapan tahun.

Jelasnya, bagi pasukan dari Amerika Syarikat atau Eropah, mereka sudah lama didedahkan dengan sukan tersebut, tetapi di Malaysia ia masih baru dan peningkatan drastik yang dipamerkan oleh peserta-peserta negara wajar diberi pujian.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Antarabangsa WCA, Allan Phang yakin terhadap kemampuan pasukan Malaysia untuk menjuarai kategori utama kali ini.

“Tiada yang mustahil kerana pasukan negara semakin menunjukkan peningkatan. Tahun lalu mereka berada pada kedudukan lima terbaik dan tidak hairan jika mereka mampu untuk menang kali ini,” katanya.

Tambah Allan, Malaysia mempunyai tiga wakil dalam saingan Divisyen 1 iaitu Nemesis, Xhizneer dan Macdevronin, yang mana ketiga-tiga pasukan tersebut berkeupayaan untuk memberikan cabaran sengit kepada lawan mereka nanti.

sumber artikel dan gambar : utusan


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *