(SUKAN) Proton R3 Motorsports cemerlang

Spread the love

KUALA LUMPUR – Proton R3 Motorsports meraikan hujung minggu yang cukup gemilang dengan kejayaan para pelumbanya mencatat penyudah podium dalam perlumbaan di tiga buah negara.

Pasukan itu yang mempertaruhkan jentera Proton Satria Neo menggegar dalam Kejuaraan Rali Dunia (SWRC) di Britain, Kejuaraan Rali Asia-Pacific (APRC) di Hokkaido, Jepun dan Siri Super Malaysia (MSS) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Dalam perlumbaan SWRC di Britain, pelumba muda Wales, Tom Cave menduduki tempat kedua bersama Pasukan Rali Proton R3 Motorsports pada Kejuaraan Rali Dunia Super 2000 bersama jentera Proton Satria Neo S2000.

Dalam saingan APRC Rali Hokkaido, ia merupakan pencapaian hebat buat Pasukan Rali Proton R3 Cusco apabila pasukan itu menguasai kedudukan pertama, kedua dan ketiga dalam kategori 2WD.

Pelumba rali handalan negara yang pernah muncul juara keseluruhan APRC sebanyak tiga kali, Karamjit Singh meneruskan dominasi dalam kategori 2WD, walaupun dia kehilangan masa satu setengah minit.

Rakan sepasukan Karamjit dari Jepun, Akira Bamba juga berpesta dengan kejayaan muncul juara kali kedua berturut-turut dalam kelas Kejuaraan Junior APRC selepas menduduki tempat pertama dalam kelas tersebut dan kedudukan kedua dalam kelas 2WD.

Pelumba muda negara, Kenneth Koh melengkapkan minggu sempurna buat pasukannya selepas menamatkan saingan pada tempat kedua dalam Kategori Junior dan kedudukan ketiga dalam kelas 2WD.

Secara keseluruhan, ia merupakan hujung minggu yang cemerlang buat Proton walaupun dua jentera Proton Satria Neo S2000 yang dipandu Alister McRae dan Juha Salo gagal menamatkan perlumbaan di Hokkaido.

Dalam saingan di litar tempatan, MSS di Litar Antarabangsa Sepang, gandingan pelumba Pasukan Lumba Proton R3, Syafiq Ali dan James Veerapen merangkul kejuaraan MSS, ketika baki satu perlumbaan dengan menggunakan jentera Proton R3 Satria.

sumber artikel dan gambar : utusan


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *