(SUKAN) Penguasaan pelumba Jepun di Autopolis

Spread the love

PELUMBA Malaysia terus tenggelam pada Pusingan 4 Kejohanan Motosikal Asia Petronas (ARRC) yang berakhir di Litar Antarabangsa Autopolis, Jepun semalam.

Seperti dijangka, pelumba Jepun terus bermaharajalela untuk memahat nama sebagai pemenang.

Pada perlumbaan kategori Supersports 600cc semalam, Katsuaki Fujiwara terus mempamerkan penguasaan apabila meraih kemenangan pada Perlumbaan 1 dan 2.

Pelumba pasukan Manual Tech BEET Kawasaki Racing itu yang menguasai saingan sejak hari pertama lagi, mempamerkan kemahirannya menundukkan rakan senegara, Yuki Ito (PETRONAS Syntium Moto Yamaha) di tempat kedua.

Fujiwara menamatkan perlumbaan 11 pusingan itu dengan masa keseluruhan 21:09.583s manakala Ito yang cuba memberikan cabaran ketinggalan 1.403 saat dengan masa keseluruhan 21:10.986s.

Pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman (MUSASHi Boon Siew Honda Racing) pula muncul di tempat ketiga dengan catatan masa 21:17.405s.

“Masalah jentera yang dihadapi pada pusingan kelayakan dan Perlumbaan 1 semakin ketara sewaktu Perlumbaan 2 tadi sehingga menyukarkan saya untuk menunggang dengan kelajuan maksimum terutama di laluan menurun bukit.

“Saya terpaksa mempertahankan kedudukan di hadapan Ito dengan mencari laluan sempurna dan pada beberapa pusingan terakhir barulah saya menggunakan keupayaan jentera secara optimum.

“Jika dibandingkan dengan perlumbaan semalam (kelmarin), Perlumbaan 2 hari ini (semalam) lebih sukar tetapi saya cukup gembira kerana berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan di hadapan penyokong Kawasaki,” jelas Fujiwara.

Azlan yang turut selesa menjejakkan kaki di atas podium pada kedua-dua perlumbaan, tidak ketinggalan untuk memberikan komen.

“Saya mendahului dua pelumba itu pada peringkat awal perlumbaan, namun ia tidak bertahan lama. Selepas pusingan pertama, kedua-duanya berjaya memintas saya dan semakin lama saya semakin jauh ketinggalan.

“Selepas itu saya terpaksa menghadapi cabaran sengit daripada Mohd. Zamri Baba. Pada suatu ketika, dia berada di hadapan saya tetapi saya dapat memintasnya pada pusingan terakhir.

“Walaupun menang, saya agak kecewa kerana gagal untuk bergelar juara di litar kegemaran saya.

“Bagaimanapun, saya tetap gembira dengan dua kemenangan podium di sini kerana saya dapat mengutip mata dan merapatkan jurang dengan Zamri.”

Selepas merampas kedudukan pendahulu semalam, Fujiwara yang juga merupakan juara bertahan kelas SuperSports 600cc terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan 162 mata manakala rakan sepasukan Azlan, Ryuichi Kiyonari di tempat kedua dengan 136 mata.

Zamri menduduki tempat ketiga dengan 124 mata manakala Azlan keempat, 112 mata.

Dalam kategori Underbone 115cc pula, Hadi Wijaya dari Indonesia meneruskan aksi cemerlang untuk memenangi Perlumbaan 2, sekali gus merakam kemenangan kelima berturut-turut di Litar Autopolis sejak tahun 2010.

Pelumba Yamaha Yamalube KYT R9 Tunggal Jaya itu menamatkan perlumbaan 10 pusingan dengan masa 15:30.486s, 0.059s di hadapan dua pelumba pelumba Malaysia, Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing) dan Mohd. Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) ketiga yang masing-masingnya melakukan catatan masa 15:30.545s dan 15:30.691s.

“Perlumbaan hari ini (semalam) cukup agresif berbanding semalam (kelmarin). Ada ketikanya ia agak berbahaya terutama ketika memasuki selekoh.

“Disebabkan keadaan ini, saya membuat keputusan untuk mengekori di belakang sebelum memecut laju pada saat-saat akhir,” jelas Hadi yang kini jauh di hadapan dalam senarai keseluruhan dengan 172 mata, 70 mata mengatasi rakan senegara, Rey Ratukore (Nissin R9 KYT Federal Oil BRT).

Pelumba Malaysia, Norizman Ismail (Y-TEQ SCK Honda Racing) di tangga ketiga dengan mengumpul 95 mata.

Mengulas tentang kedudukan selesa di tangga teratas, Hadi yang merupakan juara keseluruhan pada 2010 berkata: “Ini merupakan tahun pertama saya menggunakan jentera Yamaha jadi pencapaian kami setakat ini agak menakjubkan.

“Kejayaan mengutip mata pada setiap perlumbaan sudah cukup untuk membantu saya bergelar juara keseluruhan tetapi saya tidak akan mengambil mudah dan tetap mencari kejayaan podium pada baki perlumbaan musim ini.”

Saingan Piala Impian Asia pula menyaksikan pelumba Australia, Joshua Frederick Hook mengecewakan dua pelumba Jepun apabila muncul juara dengan masa keseluruhan 15:00.292s, diikuti Hiroki Ono di tempat kedua dengan catatan masa 15:00.369s dan Hikari Okubo ketiga, 15:00.467s.

Namun begitu, Okubo kekal di tangga teratas keseluruhan dengan 140 mata, 15 mata mengatasi Ono diikuti pelumba Indonesia, Denny Triyugo Laksono ketiga, 103 mata.

sumber artikel dan gambar : kosmo


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *