Berlangsung selama sembilan tahun berturut-turut sejak UMW Toyota Motor mula memperkenalkan Vios Challenge pada 2017, Musim ke-9 menyaksikan penyertaan 51 pemandu yang mendaftar untuk bersaing dalam empat kelas perlumbaan individu termasuk: Super Sporting (untuk pemandu profesional dan elit); Sporting (untuk pelumba amatur); Rookie (untuk pemandu muda); dan Classic Challenge (untuk kereta perlumbaan Vios Challenge generasi terdahulu).
Penyertaan tahun ini merangkumi tiga pemandu dari Thailand: Surasak Dakeng, Varunchit Wattanathanakun, dan Mekkaradkeeta Kalantananda yang mewakili pasukan RUK Team PMC 52, serta pemandu dari India, Aditya Patnaik yang memandu untuk Axle Sports. Mekkaradkeeta turut disertai oleh empat pemandu wanita lain iaitu Ng Aik Sha (GTA Race Team), Sophia Zara (Super Evergreen Motorsport), serta Nurul Auni dan Pay Jin Yao (Rock Racing).
Bersaing menggunakan jentera perlumbaan Vios Challenge generasi ke-4 yang disediakan secara identikal, para peserta bergantung sepenuhnya kepada bakat, kemahiran memandu individu, seni perlumbaan, dan persediaan teknikal untuk memerah prestasi terbaik daripada jentera yang dikuasakan oleh enjin 1.5 liter dengan transmisi 5-kelajuan ini. Musim ke-9 juga menyaksikan pelumba merebut sebahagian daripada hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM876,000, peningkatan sebanyak RM76,000 berbanding musim sebelumnya. Tahun 2026 akan terdiri daripada 4 pusingan individu dengan jumlah keseluruhan 8 perlumbaan.
Dalam Perlumbaan 1 bagi kelas Super Sporting, Laser Motor Racing meletakkan dua kereta dalam kedudukan tiga teratas dengan Ady Rahimy meraih kemenangan cemerlang dari petak pertama. Rakan sepasukan baharu, Nabil Azlan, menduduki tempat ke-3 di belakang juara bertahan kelas, Freddie Ang, yang membawa Vios Telagamas Toyota miliknya melintasi garisan penamat hanya 0.6 saat di belakang pemenang dalam perlumbaan 22 pusingan itu. Kedudukan tiga teratas kekal seperti yang dicatatkan semasa sesi kelayakan.
“Ia adalah saingan yang bersih dengan Ang. Saya berjaya mengekalkan ketenangan dan kedudukan pendahulu walaupun menerima tekanan hebat,” kata Ady, yang jarak pendahuluannya berubah-ubah sebelum Ang memberi tekanan terakhir pada pusingan-pusingan hujung.
Dalam Perlumbaan 2, Ang melonjak dari tempat ke-5 di petak mula untuk memimpin perlumbaan seawal pusingan ketiga, dicabar hebat oleh Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan), Kenneth Koh (PCM Group Racing Team), serta pasangan Laser Motor Racing, Ady dan Nabil. Ang mengambil kesempatan penuh daripada pergelutan di belakangnya untuk menjarakkan diri sehingga 3.7 saat di hadapan Nabil pada pusingan ke-14, manakala Ady berada di kedudukan ke-3 sebelum perlumbaan akhirnya tamat di bawah keadaan kereta keselamatan (safety car) akibat hujan lebat yang tiba-tiba.
Kelas Sporting bagi pemandu amatur pula menyediakan aksi ‘door-to-door’ paling sengit di litar dengan kedudukan pendahulu bertukar tangan sebanyak empat kali dalam Perlumbaan 1, sebelum Adam Mikail (G-Mart Best Autosport) yang juga bekas juara kelas Rookie meraih kemenangan luar biasa dalam keadaan litar basah.
Bermula dari petak ke-10 dan terpaksa melalui fasa sukar akibat kereta yang rosak teruk semasa latihan (mekanik bekerja semalaman untuk membaiki bahagian hadapan), nasib pemuda itu berubah apabila dia berjaya mencabar kedudukan pertama pada pusingan ke-7 daripada 20 pusingan keseluruhan. Persaingan awal di hadapan menyaksikan Teo Hong Zhou (Awesome Racing Team), Varunchit Wattanathanakun (RUK Team PMC 52), dan Justin Toh (BAE Racing by ES Yang) bergilir-gilir merebut kedudukan utama. Adam mendominasi 12 pusingan terakhir untuk menamatkan saingan 1.4 saat di hadapan Toh.
Perlumbaan 2 dimulakan di bawah kereta keselamatan selama dua pusingan untuk membolehkan pemandu menyesuaikan diri dengan litar basah. Choo Yong Choon (Heiwa Racing Team) akhirnya memenangi perlumbaan tersebut dengan kelebihan 1.8 saat selepas persaingan sengit antara Toh dan Teo Hong Zhou pada selekoh terakhir pusingan terakhir.
Musim baharu ini juga memperkenalkan lima pemandu muda di bawah Program Pembangunan Bakat Muda GAZOO Racing Malaysia dalam kelas Rookie. Program ini direka untuk membantu pemandu beralih daripada perlumbaan simulator dan kart ke perlumbaan kereta sedan.
Senarai pelumba termasuk pelumba simulator berusia 16 tahun, Ethen Low; Imran Iskandar (17 tahun); Ervin Lim (18 tahun); Ngo Yong Jian (20 tahun); dan Megat Damian (21 tahun). Dalam Perlumbaan 1, Lim memanfaatkan petak pertamanya untuk menang 6.6 saat di hadapan Imran. Manakala Perlumbaan 2 memihak kepada Ngo Yong Jian yang merampas kedudukan pendahulu daripada Imran.
Mula diperkenalkan pada 2025, hujung minggu tersebut turut menyaksikan perlumbaan Vios Classic Challenge yang memberi nafas baharu kepada kereta perlumbaan Vios Challenge generasi terdahulu. Format perlumbaan satu jam dengan hentian pit wajib itu menarik penyertaan 15 pemandu dan sembilan buah kereta.
Pasangan dari Thailand, Surasak Dakeng dan Varunchit Wattanathanakun (RUK Team PMC 52), mendominasi kedua-dua perlumbaan dalam kelas Classic Challenge, menewaskan pencabar daripada Kegani Racing Academy dalam persaingan yang cukup dramatik.
KEPUTUSAN, VIOS CHALLENGE MUSIM 9, PUSINGAN 1 (18-19 APRIL 2026)
PERLUMBAAN 1 SUPER SPORTING
-
Ady Rahimy (Laser Motor Racing)
-
Freddie Ang (Telagamas Toyota)
-
Nabil Azlan (Laser Motor Racing)
SPORTING
-
Adam Mikail (G-Mart Best Autosport)
-
Justin Toh (BAE Racing by ES Yang)
-
Teo Hong Zhou (Awesome Racing Team)
ROOKIE
-
Ervin Lim
-
Imran Iskandar
-
Ngo Yong Jian
CLASSIC CHALLENGE
-
Surasak Dakeng/Varunchit Wattanathanakun (RUK Team PMC 52)
-
Loke Yin Yi/Kenny Lee (Kegani Racing Academy)
-
Mirza Syahmi/Khair Nur Adi
PERLUMBAAN 2 SUPER SPORTING
-
Freddie Ang (Telagamas Toyota)
-
Nabil Azlan (Laser Motor Racing)
-
Ady Rahimy (Laser Motor Racing)
SPORTING
-
Choo Yong Choon (Heiwa Racing Team)
-
Justin Toh (BAE Racing by ES Yang)
-
Teo Hong Zhou (Awesome Racing Team)
ROOKIE
-
Ngo Yong Jian
-
Imran Iskandar
-
Ervin Lim
CLASSIC CHALLENGE
-
Surasak Dakeng/Varunchit Wattanathanakun (RUK Team PMC 52)
-
Loke Yin Yi/Kenny Lee (Kegani Racing Academy)
-
Lucas Leong/Phua Eu Hoong (Clovertech)

