Litar Spa Francorchamps di Belgium terus menjadi lubuk kejayaan buat pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia yang berjaya meraih tempat ke-4 dalam Kelas GT3-AM dan tempat ke-7 keseluruhan dalam Pusingan 2 Siri Michelin 24H yang baru berakhir.
Keputusan ini melonjakkan Viper Niza Racing ke tangga pertama bersama dalam kedudukan keseluruhan Siri Eropah Michelin 24H (Kelas GT3-AM) dengan 56 mata, berkongsi kedudukan dengan pasukan Hofor Racing dan HAAS RT, ketika saingan berbaki tiga lagi acara. Pasukan ini juga terikat di tempat ke-5 dalam kedudukan keseluruhan Kelas GT3, hanya dibezakan 10 mata daripada pendahulu.
Walaupun pasukan terlepas sasaran untuk meraih podium buat kali ketiga berturut-turut di Spa Francorchamps – mereka menduduki tempat ke-2 dalam Kelas GT3 AM tahun lalu dan memenangi kelas PRO/AM pada perlumbaan sulung TCR SPA500 tahun 2019 – Viper Niza Racing tetap berjaya melakukan kebangkitan berani selepas sekadar layak di tempat ke-15 keseluruhan dan memulakan perlumbaan di petak ke-9 bagi Kelas GT3-AM.
Perlumbaan dijalankan dalam dua bahagian – Perlumbaan 1 diadakan selama lima jam setengah pada hari Sabtu sebelum kereta masuk ke parc ferme, dan diteruskan dengan Perlumbaan 2 selama enam jam setengah lagi pada hari Ahad.
Berdepan dengan 40 buah kereta lain, gandingan Douglas Khoo, Dominic Ang, dan Aaron Lim membawa pulang saguhati kecil apabila menjadi pasukan ketiga terbaik dalam kelompok 10 penamat teratas keseluruhan yang memandu jentera Mercedes-AMG GT3 EVO, di dalam litar yang didominasi oleh jentera McLaren, Audi, dan Porsche.
Bermula dari petak ke-15, Ang memulakan perlumbaan untuk Viper Niza dan dengan pantas meletakkan pasukan di tempat ke-5 dalam Kelas pada penghujung jam pertama. Pasukan menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-8 keseluruhan dan ke-4 dalam Kelas.
Dalam Perlumbaan 2, Viper meningkatkan kelajuan untuk mendaki sehingga tangga ke-6 keseluruhan pada jam ketujuh sebelum menetap di kedudukan ke-7 keseluruhan dan ke-4 dalam Kelas dengan 239 pusingan lengkap. Dengan catatan masa pusingan terpantas 2 minit 17.985 saat di litar bersejarah sepanjang 7.004km itu, pasukan tersebut ketinggalan hampir dua saat setiap pusingan berbanding pemenang keseluruhan, Optimum Motorsport McLaren 720S GT3 EVO, dan sesaat setiap pusingan di belakang pemenang Kelas GT3-AM, Audi R8 LMS GT3 EVO II daripada pasukan HAAS RT. Hanya dua pusingan membezakan Viper Niza Racing daripada sasaran podium dalam Kelas GT3-AM yang dirangkul oleh HAAS RT.
“Podium ketiga berturut-turut terlepas daripada genggaman kami, tetapi Spa Francorchamps terus menjadi litar yang kami sangat gemari dan litar di mana kami mampu menunjukkan prestasi kuat. Kami mempunyai larian yang bersih dan hentian pit yang baik. Kami cuma sedikit kurang bernasib baik dengan syarat keselamatan ‘Code 60’ yang terakhir, yang membolehkan HAAS RT mengambil kesempatan untuk mengisi minyak. Memandangkan tahap persaingan yang sangat tinggi tahun ini, kami gembira dapat pulang dengan tempat ke-4 dalam Kelas dan menambah mata kejuaraan yang berharga untuk kempen Eropah kami dalam Siri Michelin 24H. Dengan tiga lagi pusingan dalam kejuaraan, setiap mata adalah sangat penting,” kata Pengetua Pasukan dan pemandu utama, Khoo.
Viper Niza Racing disokong oleh Motul, IWC sebagai Jenama Jam Tangan Rasmi, Momentum Autoparts, dan SPARCO Italy.

