(SEMASA) Projek Kantin MILO®: Sumbangan RM3 juta membekalkan sarapan percuma kepada murid sekolah rendah B40 agar kekal bertenaga

Lebih 35,000 pelajar daripada keluarga B40 di 700 sekolah rendah di seluruh negara telah mula menerima set sarapan pagi di bawah Projek Kantin MILO®, sebuah insiatif bantuan nutrisi yang diterajui MILO® dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Projek Kantin MILO® membekalkan sejumlah lebih 1 juta set sarapan pagi yang lengkap berserta minuman MILO® UHT yang berkhasiat selama sebulan (20 hari persekolahan) secara percuma. Sarapan pagi tersebut disediakan oleh pengusaha kantin yang mendapat subsidi di bawah program ini di sekolah-sekolah yang berkenaan.

Bertujuan menangani impak sosioekonomi COVID-19 terhadap sekolah dan komuniti, Projek Kantin MILO® merupakan sebahagian daripada usaha besar Nestlé Malaysia untuk meringankan beban dan membekalkan nutrisi kepada rakyat pada waktu yang mencabar ini.

Menurut Dato’ Adnan Pawanteh, Pengarah Eksekutif Hal-Ehwal Korporat Kumpulan, Nestlé (Malaysia) Berhad, “Selari dengan matlamat kami untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih sihat, kami ingin memainkan peranan dengan lebih bermakna terutamanya pada saat kritikal ini ketika negara menuju ke arah pemulihan.”

Tambah beliau lagi, “Pendekatan yang kami ambil untuk Projek Kantin MILO® adalah unik. Ia bukan sahaja menyediakan sarapan pagi berkhasiat kepada para pelajar, malahan bantuan subsidi yang diberikan kepada pengusaha kantin dapat membantu kelangsungan hidup dan perniagaan mereka yang terkesan secara langsung oleh COVID-19 disebabkan penutupan sekolah yang berlanjutan, agar mereka dapat terus berkhidmat menyediakan makanan kepada murid-murid di sekolah.”

Pengagihan set sarapan pagi percuma telah bermula pada akhir tahun lalu dan diteruskan pada sesi persekolahan baharu tahun ini ketika pelajar kembali menjalani pembelajaran bersemuka bermula 1 Mac tempoh hari.

Ng Su Yen, Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan MILO®, Nestlé (Malaysia) Berhad berkata, Projek Kantin MILO® menegaskan amalan sarapan pagi yang sihat sebagai komponen penting dalam penjagaan pemakanan yang sihat, lebih-lebih lagi pada ketika ini di mana ramai keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan asas termasuk makanan.

“Ketika anak-anak kembali ke sekolah untuk pembelajaran bersemuka, kami ingin meneruskan kesedaran bahawa sarapan pagi merupakan hidangan yang paling penting dalam membekalkan nutrisi dan tenaga agar mereka dapat menyempurnakan permulaan hari persekolahan demi mencapai potensi terbaik setiap hari. Semoga sumbangan menerusi Projek Kantin MILO® ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga-keluarga yang berkenaan dalam mengharungi detik mencabar ini untuk bangkit semula dengan lebih tabah,” tambah beliau.

Jumlah sumbangan menerusi Projek Kantin MILO® bernilai RM3 juta. Satu majlis penyampaian cek replika telah diadakan untuk meraikan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dato’ Haji Adzman bin Talib, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia mengalu-alukan sumbangan daripada Nestlé dan MILO® ke arah usaha bersepadu pemulihan COVID-19 untuk menyemarakkan semula sekolah.

“Penjagaan nutrisi dalam kalangan murid-murid sekolah merupakan teras usaha pemulihan COVID-19. Projek Kantin MILO® melengkapkan usaha berterusan pihak Kementerian selama ini menerusi Rancangan Makanan Tambahan untuk memastikan lebih ramai lagi murid yang kurang berkemampuan mendapat nutrisi yang secukupnya. Bantuan subsidi yang ditawarkan kepada pengusaha kantin turut memastikan kualiti dan keselamatan makanan yang dihidangkan kepada anak-anak kita di sekolah terjaga, lebih-lebih lagi pada ketika ini sedang pihak Kementerian meningkatkan usaha untuk membuka semula sekolah dengan selamat,” kata beliau.

Setiap set sarapan pagi percuma Projek Kantin MILO® dipadankan dengan minuman MILO® UHT yang diperbuat daripada kebaikan barli malt, susu dan koko, dengan gabungan unik vitamin dan mineral penting untuk membantu membebaskan tenaga daripada makanan. Selari dengan matlamat jenamanya, MILO® komited menyokong rakyat Malaysia dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, selain memupuk juara segenap generasi menerusi pelbagai inisiatif sukan di peringkat akar umbi.

Untuk maklumat lanjut mengenai kebaikan tenaga berkhasiat MILO®, layari: https://www.milo.com.my/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *