(HIBURAN) INDERALOKA satu eksperimentasi oleh MONOLOQUE

1146310_10152498292350616_1447210556_o

Kata Inderaloka’ menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga membawa maksud tempat diamnya Bentara Indera, yakni dewa yang memerintah di kayangan menurut kepercayaan Hindu, mudahnya ia dipanggil syurga. Kata yang jarang digunapakai di alam Melayu mutakhir ini kerana memberi makna tempat yang tidak pernah disinggahi. Dalam dunia muzik Melayu moden mungkin ia pernah sekali digunakan iaitu melalui lagu ‘Gema di Inderaloka’ bawaan kumpulan Wings iaitu satu lembah yang hanya wujud pada penulis melalui mimpinya. Jika kata inderaloka digunakan sebagai satu kiasan di alam nyata, mungkin ia jadi satu utopia bagi si pengungkap katanya : satu daerah yang terlalu sempurna sehingga kita boleh persoalkan ; bolehkah ia wujud di dunia nyata, di alam manusia?

Dan tajuk Inderaloka yang digunakan oleh MonoloQue ( masih lagi loQue sebagai suara utama/pelbagai gitar dan piano, Ijoo ‘gagak hitam’ – pelbagai gitar/piano/organ, Dax – bass/pelbagai perkusi, Loko -pemukul gendang/perkusi, Apex – papan kekunci/gitar) sebagai penamaan EP terbaru mereka ini mungkin boleh memberi sedikit gambaran akan isi yang cuba diketengahkan melalui EP jikalaupun Inderaloka bukan bermakna beza antara ia dengan terbitan terdahulu Hikayat Halimunan Abad ke 21 :
Jejak Tanah bagai langit dan bumi.

Adakah inti-inti EP Inderaloka ini menjadi wadah buat pengkaryanya untuk menyampaikan karya bagaikan santapan dari kayangan atau sesuatu yang sempurna, itu pulang maklum kepada penerimanya sedang pengkarya memang ada niat yang sebegitu.
Inderaloka juga datang bukan sebagai bahan penuh tetapi menjadi jambatan yang menghubungkan Jejak Tanah corak yang pertama dengan corak-corak yang seterusnya. Ini dijelaskan oleh teraju utamanya loQue sendiri yang memanggil Inderaloka sebagai koleksi single yang terdahulu telahpun dilepaskan di ruang digital dan lain-lain media secara berasingan.

Seperkara yang membezakan Inderaloka dengan Jejak Tanah bagi loQue ialah dengan tenaga penerbitan dari Aiyad ‘Sakti’ (pernah menerbitkan rakaman artis-artis seperti Awi Rafael dan Asmidar) yang dirujuk loQue sebagai satu kolaborasi. “Saya tak nak semuanya saya yang buat sebagaimana Jejak Tanah yang mana semua saya buat dari A sampai Z, tapi kali ini saya perlukan rakan sekutu. Seseorang di dalam satu pasukan yang turut memberi pandangan pada apa yang dirakam sebab sebelumnya ia terlalu satu dimensi jadi melalui EP ini saya terbuka dengan sebarang cadangan terutama sekali dari sudut rakaman bunyi. Tapi saya tetap yang memberi kata putus pada hasil akhirnya.” Terma penerbit adakalanya boleh jadi sesuatu yang subjektif kerana penerbit boleh jadi punya kuasa untuk mengubah rentak persembahan sesebuah band atau penerbit itu seseorang yang diupah kerana seseorang artis atau sesebuah band itu mahukan bunyian terperinci atau yang tertentu yang merujuk pada artis yang pernah dirakam oleh si penerbit tetapi bagi loQue, pemilihan penerbit tidak mempengaruhi penulisan lagunya tetapi lebih kepada sudut kejuruteraan di mana penerbit tampil dengan sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh loQue sebelum ini sepanjang pengalaman merakam bersama MonoloQue. loQue melihat perlunya seorang penolong penerbit bagi rakaman EP Inderaloka supaya ada lebih warna pada bahan-bahan terbaru dari mereka selain melancarkan penerbitan. Dahulunya dia tak punya pilihan yang memaksa dia merakam dan menerbitkan sendiri bahan-bahan MonoloQue, kini loQue lebih selesa menikmati ruang-ruang kreatif sebagai penulis, penggubah lagu dan juga teraju utama MonoloQue
sedang aspek kualiti rakaman dijaga rapi oleh Aiyad ‘Sakti’. Dan bagi loQue lagi, ‘kolaborasi bunyi’ perlu bagi MonoloQue kerana dia bosan. “Saya perlu rakan berborak. Saya dah bosan berborak dengan mesin.”

1375303_10152562255835616_3072050_nsmall

Lima bahan (daripada banyak bahan yang telah ditulis oleh MonoloQue, sedia maklum) yang mengisi ruang EP Inderaloka selepas melalui proses pertimbangan dan tolak ansur. Kenapa lima bahan ini dipilih?

INDERALOKA (yang ku perlu)
Inderaloka sememangnya lagu yang akan dimuatkan pada album Jejak Tanah : Hikayat Halimunan Abad ke 21 corak kedua. Sebagai ‘usikan’ sebelum pendengar menerima album ini nanti, lagu ini dipersembahkan dahulu. Jelas loQue, “asalnya ianya hanyalah lagu yang dibawakan oleh band MonoloQue saja tapi Aiyad ‘Sakti’ jugalah yang cadangkan suara wanita untuk rangkap kedua. Dari situ Amirah Asraf (atau ringkasnya Mira, suara utama kumpulan Tilu) masuk ke dalam gambaran Inderaloka. Saya sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru yang mana ada gaya serta perwatakkan bunyinya untuk membawakan lagu MonoloQue. Sebelum merakam Inderaloka, saya ada terdengar lagu baru Tilu , dan saya tertarik dengan ‘cap mohor’ suara beliau. Suara Mira walau berpaksikan suara moden kontempori tetapi bunyinya amat unik serta sayu. Sangat sesuai jika saya dapat ‘menempa’ suara beliau untuk bersama MonoloQue. Justeru itu, sebaik sahaja beliau merakamkan rangkap pertama Inderaloka, hati tersenyum sedang telinga tertawan.”

Tambah loQue, Inderaloka asalnya ditulis untuk dimuatkan ke dalam filem Songlap sebagai runut bunyi tetapi tak sempat diselesaikan lalu dijadikan sebagai salah sebuah lagu MonoloQue. Dengan rangkap yang berbunyi “mari bina semula inderaloka yang baru…”, ia telah membuka lembaran yang baru dalam pengembaraan bunyi monoloQue.

MAWAR PUTIH TANDA PERPISAHAN
Lagu ini dipilih setelah diminta oleh sebuah stesen televisyen untuk membawakan semula lagu yan pernah didendangkan oleh penyanyi era 80’an, Jamilul Hayat untuk dimuatkan ke dalam sebuah telemovie yang juga dengan tajuk yang sama. Dan menurut loQue, saat pertama kali diminta membawakan semula lagu ciptaan sepenuhnya oleh Yusof Raub ini, itulah juga pertama kali dia mendengar lagu tersebut. “Lagu ini lenggoknya memang seperti lagu Melayu klasik dan dalam membawakan semula lagu ini, kami cuba kekalkan inti patinya. Yang diubah adalah beberapa bahagian daripada minor kepada major.” Mira Tilu sekali lagi menyumbangkan vokalnya di mana ia tidak dilihat sebagai duet semata tetapi ahli kumpulan yang turut menjadi sebahagian dari jentera yang menggerakkan MonoloQue untuk EP ini (dan kerana itu juga kredit Mira sebagai suara merdu ‘buluh perindu’ diletakkan sebaris dengan nama-nama ahli kumpulan di halaman dalam EP ini.)

Dengan bunyian berorientasikan piano dan suara merdu ‘buluh perindu’ Mira yang kedengaran sayup-sayup, lagu ini membangkitkan perasaan sedih dan suram buat yang benar-benar menghayatinya.

HARI RAYA INI DALAM SEJARAH
“Kami memang nak rakam sebuah lagu raya. Ilham melodinya saya dapat semasa bulan Ramadhan sekitar 2012. Dari segi bunyi, ia menjadi penanda aras bagi apa yang pernah kami rakam setakat ini dan ia akan jadi rujukan bagi lagu-lagu MonoloQue selepas ini,” jelas loQue. Kumpulan Orkes Atma Jiwa menambahkan lagi perincian pada lagu ini dengan bunyi majmuknya dalam menimbulkan suasana Hari Rayanya. Kita sering mendengar pelbagai lagu raya dari Selamat Hari Raya dendangan Saloma yang jelas menunjukkan suasana berhari raya dan kemeriahannya dan Dendang Perantau dendangan P. Ramlee yang mana merupakan coretan kenangan dan impian berhari raya yang tak kesampaian (tetapi sering dikaburi dek keindahan melodi buat ramai pendengarnya) tetapi bagi loQue, dia menyampaikan lagu rayanya pada pandangan yang berbeza dan subjek-subjek yang berbeza selepas lagu raya seringkali dikaitkan dengan subjek lemang, ketupat mahupun baju raya. “Lebih kerohanian dengan mengambil contoh sebuah lagu “Manusia Miskin Kaya” (dibawakan oleh penyanyi era 50’an, Nona Asiah)” Fungsinya tetap mahu meraikan Hari Raya tetapi pada sisi yang jarang disentuh oleh penulis lagu yang lain. Saya melihat pada mereka yang ‘bergelumang dalam perlumbaan tikus, kehidupan kota, atau mungkin pada sudut politik melihat pada mereka yang sering bersengketa tetapi untuk menghormati hari yang mulia ini, hanya satu hari ini kita melupakan segala sengketa. Hari lain maka lainlah ceritanya. Tapi yang lebih penting, lagu ini tetap bertujuan untuk membangkitkan suasana Hari Raya itu.”

HARI RAYA INI DALAM SEJARAH (instrumental)
Seperti tajuk yang di atas, lagu yang sama seperti trek ketiga cuma tanpa Trek vokal. Sesuai dinyanyikan
secara harmoni bersama sanak saudara dan handai taulan ketika acara rumah terbuka di Hari Raya.

‘TANAHAIRKU TANAHAIRMU JUA’
Menerusi trek penutup bagi EP ini, MonoloQue menyentuh aspek patriotisme dan nasionalisme di mana Tanahairku Tanahairmu Jua’ mahu menjadi sebuah lagu patriotisme yang tidak berbaur patriotisme dan tidak hanya didengar ketika Hari Kemerdekaan saja tetapi mahukan setiap hari timbul perasaan patriotisme dan nasionalisme buat pendengarnya. Jelas loQue, “bila difikirkan, ia selari dengan
matlamat dan perjuangan yang saya mahu tunjukkan melalui karya-karya saya sebelum ini yang secara harfiahnya turut memperjuangkan akan kecintaan pada tanahair. Dan ianya bersifat sarkastik terhadap diri sendiri sebab sebelum ini lagu-lagu saya lebih melihat pada diri sendiri berbanding masyarakat sekeliling jadi lagu ini seperti memberitahu yang saya sudah memainkan peranan. Ia cuba melihat diri, asal-usul dan komitmen pada tanahair dalam sebuah lagu. Contoh mudah, semasa kita tengok bola
Barcelona lawan Malaysia di mana untuk satu hari tu kita menyokong pasukan negara dengan perasaan bangga biarpun kita meminati pasukan bola dari luar. Secara simboliknya seperti negara kita berperang dengan negara luar dan walau apa pun kita tetap pertahankan negara. Kita selalu ambil mudah tentang ini tetapi ianya perkara yang serius.”

Kolaborasi bersama Dato’ Siti Nurhaliza untuk lagu ‘Tanahairku Tanahairmu Jua’ juga asalnya tidak dirancang kerana MonoloQue telah punya nama-nama lain untuk menyanyikan lagu ini. Namun selepas sesi memerah otak dan tolak-ansur bersama pasukan Penerbitan Pancasona itu sendiri, maka ilham untuk melihat gandingan MonoloQue bersama Dato’ Siti telah diusulkan. Keterbukaan Dato’ Siti untuk berkolaborasi biarpun ada kekangan dari segi masa mengubah segala-galanya dan apa yang menyusul seterusnya ialah sejarah. “Ia jadi rakaman bergerak yang pertama buat kami,” jelas loQue. “Pengalaman merakam bersama Dato’ Siti ini membuka mata jugalah kerana beliau sangat rendah diri orangnya. Dato’ Siti juga cerewet tapi itu bagus juga kerana beliau memberi kami banyak pilihan dan saya perlu beri kredit juga pada Dato’ Siti dalam memberikan susunan semula pada lagu ini. Kebanyakan penulis lagu mahukan Dato’ Siti menyanyi dengan gaya pop kerana lagu berbentuk sebegitulah yang terlebih dahulu memperkenalkan namanya dahulu tapi melalui lagu ini saya mahukan Dato’ Siti menyanyikan dengan gaya Melayu Asli kerana pada saya ianya masih sesuatu yang segar. Dato’ Siti seorang yang versatil dan kami rasa amat rendah diri sepanjang pengalaman merakam bersamanya.
Pada saya , Dato’ Siti mewakili suara Ibu Pertiwi kalau kita bercakap mengenainya. Beliaulah yang menjadikan irama tradisi Melayu itu kembali semula ke dalam peta.”

Beberapa video muzik telah dirakam sebagai langkah promosi, penyampai cerita dan sekaligus menakluk media. ‘Tanahairku Tanahairmu Jua’ arahan Kadir Chan terlebih dahulu telah dilancarkan sempena Hari Merdeka selain dibintangi MonoloQue dan Dato’ Siti Nurhaliza sendiri turut menampilkan bintang undangan seperti Noh Hujan, Atilia Haron, Amir Jahari, Hunny Madu, Zahiril Adzim dan penyajak negara Pyanhabib, antaranya dengan mengambil suasana di dalam sebuah darjah dan membuka persoalan : “apa itu merdeka?”, soalan yang lebih besar sejak mutakhir ini kita lebih banyak mendengar persoalan bagaimana kita mencapai kemerdekaan. Video muzik Hari Raya Ini Dalam Sejarah juga arahan Kadir dengan teknik rakaman sekali harung tanpa suntingan untuk kesan yang menarik. Teknik rakaman video yang agak berisiko dan memeningkan bagi tenaga pra-produksinya yang dirakam dalam suasana perkampungan di Bentong, Pahang memberi fokus pada ledakan bunga api berskala mega yang dijelaskan oleh loQue,”..bunga api itu saja dah makan kos RM100,000. (Gelak jahat…)” Dan seterusnya mereka hanya punya 48 jam sebelum malam Raya Puasa untuk melepaskan video muzik ini ke alam maya buat tontonan peminat-peminat bersaksikan ketupat, lemang, rendang dan takbir Raya yang
bersahutan. Terkini, video muzik terbaru yang bakal dilancarkan ketika anda sedang membaca teks ini pula diarahkan oleh Fariz untuk trek Inderaloka dengan sedikit gambaran bendera merah yang dipegang oleh salah seorang anggota MonoloQue (baca cari maksud ‘bendera merah’) di sebuah padang sebagai gambaran ‘padang jarak padang tekukur’. “Kami kalau boleh nak rakam video untuk setiap trek sebab dalam perancangan kami akan keluarkan DVD yang mengumpulkan video-video mulai dari album Jejak Tanah.”

Proses merakam EP Inderaloka ini jika dikumpulkan waktu-waktunya maka kurang lebih ia memakan masa selama empat bulan dengan proses rakaman berlangsung di tiga buah studio: Kilang Menjahit Bunyi, Ark Studio dan Tune Studio. Lagu-lagunya terlebih dahulu dilepaskan secara berasingan seperti Hari Raya Ini Dalam Sejarah semasa Hari Raya Puasa dan ‘Tanahairku Tanahairmu Jua’ bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara sehinggalah ia dikumpulkan baru-baru ini dalam bentuk cakera padat bagi yang masih menagihkan format muzik dalam bentuk fizikal yang dilengkapi dengan lukisan batik bertajuk ‘Mawar Putih Tanda Perpisahan’ karya Md. Jusoh pada kulit depannya sebagai kesinambungan seni tampak tanahair yang tak luput ditelan zaman. Selain itu, ia boleh turut dibeli di gedung membeli belah muzik digital seperti iTunes dan Spotify atau terus ajukan pesanan melalui laman sesawang rasmi MonoloQue iaitu www.monoloque.com yang turut menjual barang dagangan rasmi MonoloQue seperti kemeja T pelbagai rekaan, tengkolok dan juga terbitan rasmi yang terdahulu yakni Hikayat Halimunan Abad ke 21 : Jejak Tanah. Terang loQue lagi, kali ini dia memberi penekanan pada  kedai dalam talian di laman sesawang rasmi MonoloQue supaya urusannya lebih cekap memandangkan pendengar hari ini lebih mudah berurusniaga secara terus dengan pengkaryanya dan dari pengalaman mereka semasa mengedarkan album Jejak Tanah, mereka melihat hal kedai dalam talian ini perlu diperkemaskan memandangkan lebih banyak permintaan melalui medium ini di era digital selain mendekatkan diri mereka dengan peminat-peminat di alam maya. Laman sesawang rasmi MonoloQue juga tidak dilihat sebagai perkara yang serupa lagi kerana ia mahu dijadikan sebagai medium utama dalam pergerakan MonoloQue : sebagai penyampai maklumat, agen jualan, pusat perkumpulan buat pendengar yang bukan saja boleh bersuai kenal dan mendapatkan bahan rasmi dan eksklusif seperti rakaman ‘bootleg’ dan video tetapi turut menyertai pengembaraan muzik MonoloQue ini melalui sesi ‘konvensyen remix’ yang telah mula aktif sejak awal pelancaran laman sesawang ini lagi.

EP Inderaloka biarpun ringkas penampilannya tapi besar urusannya : untuk menakluk. Lagu-lagunya mencari daerah pendengar yang belum diduduki dan seterusnya, menakluki. Maka, terimalah buah tangan terbaru dari MonoloQue ini yang menjadi pengembaraan seterusnya buat mereka dalam menambahkan lagi cambahan bunyian segar di alam Nusantara yang semakin berkembang mekar, mencabar dan semakin tidak tetap halatujunya. Seni bunyi yang pada mulanya bersifat tentang diri yang mula mahu berhubung dengan entiti lainnya. “Seperkara yang saya pelajari setelah keluarnya album Jejak Tanah ialah saya mula bertolak ansur, ibarat mencairkan pekatan kopi. Saya ambil contoh bila kami buat keputusan untuk berduet dengan Dato’ Siti. Umum mungkin melihat ianya sebagai meraih populariti tapi yang sebenarnya saya mahu melihat bagaimana lagu tulisan saya berhubung dengan penyanyi yang umum kenali seperti Dato’ Siti dan seterusnya ia berhubung dengan pendengar-pendengar yang lebih mengenali Dato’ Siti yang kita tahu seorang penyanyi yang popular. Begitu jugalah apabila kami mula berkerjasama dengan tenaga kerja yang pertama kali menyumbang bunyian dan suara untuk MonoloQue dan kemudian menjadi sebahagian dari MonoloQue itu sendiri. Jadi saya tidaklah melihat seni saya ini tentang diri saya sahaja,” akhiri loQue. Buat yang sedang dan bakal mendengar, jika anda dapat mengaitkan lagu-lagu MonoloQue ini dengan diri anda maka jelaslah seni ini dihasilkan untuk semua. Akhir kata, sebarkan virus MonoloQue anda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *