(HIBURAN) KISAH HATI ADIRA BUKAN LAGI RAHSIA MENERUSI SEMBUNYI

Penyanyi wanita genit bersuara merdu yang berasal dari Ranau, Sabah dan merupakan naib juara Akademi Fantasia musim ke-8 dan salah seorang peserta AF Megastar 2017, Siti Adira Suhaimi atau lebih terkenal dengan panggilan Adira muncul dengan single terbaharu setelah beberapa tahun menyepi kerana sibuk  dengan urusan keluarga. Tampil dengan konsep muzik yang berbeza, Adira kembali dengan buah tangan terbaharu yang ditunggu-tunggu oleh peminatnya berjudul ‘Sembunyi’ hasil ciptaan penyanyi rap serta komposer terkenal tanahair iaitu Alif atau nama penanya Alif For Magic Potions.

Penyanyi yang diberikan jolokan ‘Queen of Soundtrack’ ini sememangnya sinonim dengan runut bunyi filem, drama TV serta drama bersiri tempatan dan sering mendapat perhatian apabila digandingkan dengan penyanyi bersuara emas negara, Hafiz Suip. Setiap runut bunyi yang dinyanyikan pasti menjadi siulan penggemar muzik tempatan dan sering mendapat berjuta tontonan di laman sesawang YouTube.

Ibu kepada Anggrek ini berkata,

“Single ‘Sembunyi’ sejujurnya tiada kena mengena dengan diri saya pun tapi apa yang saya faham daripada saudara Alif, ia mengenai sepasang kekasih yang telah berpisah dan tiada jodoh tetapi masih lagi mengambil berat dan masih menyayangi di antara satu sama lain secara diam-diam atau secara sembunyi. Walau bagaimanapun, jika orang lain mendengarnya mungkin mereka mempunyai pandangan tersendiri atau sesiapa sahaja di luar sana yang pernah mengalaminya sendiri.

Sebelum melakukan proses rakaman, saya telah pun mendengar beberapa karya dan akhirnya tertarik dengan ‘Sembunyi’ kerana melodinya yang unik selain mahukan sesuatu yang fresh dan lari dari kebiasaan.

Saya juga ingin memanjatkan rasa syukur kerana menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel Entertainment yang banyak membantu serta melancarkan kerjaya saya sekarang.

 

Diharapkan juga buat peminat-peminat saya di luar sana yang telah lama menunggu lagu terbaharu daripada saya dapat menerima ‘Sembunyi’ dengan baik serta penggemar muzik tanahair secara amnya.”

Menurut Adam Lobo, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records,

“Walaupun menyepi beberapa ketika, Adira tidak senyap begitu sahaja tetapi bangkit dengan single ‘Sembunyi’ yang memaparkan sisi lain yang tidak pernah kedengaran sebelum ini dan keluar daripada comfort zone.

Di sini terlihat kebolehan beliau sebagai penyanyi yang versatile dalam menyampaikan lagu pelbagai genre sekaligus meletakkan Adira pada kelasnya yang tersendiri.

Saya juga berharap agar ‘Sembunyi’ menjadi comeback song buat Adira kerana sudah lama beliau tidak mucul dengan lagu baharu dan dapat diterima ramai.”

 

Lagu ‘Sembunyi’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu ‘Sembunyi’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *