(HIBURAN) KISAH PERJALANAN SOLOZ KE PUNCAK KEMASYHURAN MOBILE LEGENDS BAKAL DIADAPTASI DALAM FILEM GAME OF LIFE ARAHAN SYAFIQ YUSOF

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 MAC 2024 – Kisah perjalanan hidup pemain esukan terkemuka negara, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz, bakal menjadi inspirasi melalui sebuah filem terbaru, Game of Life. Filem tersebut akan membawa penonton menyelami pengalaman Soloz yang menempuh pelbagai cabaran sehingga berjaya menempa nama sebagai antara pemain profesional terkenal dan berjaya dalam arena permainan video mudah alih, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Game of Life turut memaparkan persaingan sengit antara TheBoss dengan sebuah pasukan dari Singapura, Vengeance, yang akan mengajar Soloz dan rakan-rakan sepasukannya tentang nilai-nilai persahabatan, semangat kesukanan dan persaingan sihat yang menjadi batu asas kepada kejayaan mereka.

Pelancaran filem terbabit disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Kamil Othman dalam satu majlis berbuka puasa dan sidang akhbar yang diadakan di Connexion Conference & Events Centre, Bangsar South hari ini. Turut hadir di majlis yang sama ialah barisan pelakon yang terdiri daripada Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Jiha Sham dan Hafeez Mikail.

“Saya yakin filem Game of Life ini mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah filem tempatan yang berjaya,” kata Kamil, menyentuh tentang populariti permainan video mudah alih MLBB yang mencatat purata pemain seramai 5.2 juta orang sehari di seluruh dunia. Menurut beliau, Game of Life berpotensi melonjak ke persada antarabangsa berdasarkan jumlah pemain di seluruh dunia yang mencatat purata 85 juta orang setahun dari tahun 2021 hingga 2023, memetik butiran daripada laman esukan Esports GG.

Game of Life akan diarahkan oleh Syafiq Yusof, seorang pengarah yang terkenal dengan karya-karya sebelum ini seperti trilogi Abang Long Fadil dan Polis Evo 3. Diterbitkan oleh Key Billions Sdn Bhd, filem tempatan pertama yang bertemakan esukan itu dianggarkan akan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan dan memakan kos berjumlah sekitar RM8 juta. Turut bekerjasama dalam penghasilan filem tersebut ialah Frame Motion Studio untuk kesan khas manakala Skop Productions memikul tanggungjawab sebagai pengedar rasmi.

Menurut Syafiq, beliau percaya filem ini yang diinspirasikan daripada kisah perjalanan hidup Soloz akan menggamit perhatian anak anak muda dalam bidang gaming dan esukan. MLBB merupakan antara permainan video mudah alih paling popular bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia dengan jumlah muat turun global yang mencecah lebih daripada 1 billion.

Penghasilan filem Game of Life ini dapat direalisasikan setelah Key Billions memeterai perjanjian penggunaan hak cipta bersama pencipta permainan video mudah alih MLBB, MOONTON Games yang berpangkalan di Shanghai, China. Berdasarkan statistik Esports Charts, MLBB mencatat jumlah penonton melebihi 530 juta orang pada tahun 2023 menjadikannya permainan video mudah alih paling ramai ditonton tahun lepas.

Game of Life dijangka bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada pertengahan Januari 2025.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *