(HIBURAN) Majlis Pelancaran Album Zikir Terapi Diri 3 Dan Pengumuman “Exclusive Night With Hafiz Hamidun at Mega View, Kuala Lumpur Tower”

Spread the love

 HH-480x480

Setelah menghasilkan album Zikir Terapi Diri 1 dan 2, kini Hafiz Hamidun tampil dengan album Zikir Terapi Diri 3, yang juga merupakan album zikir terakhir dari beliau. Album ini diterbitkan oleh Arteffects International, dan diedarkan bersama oleh Warner Music Malaysia dan Inteam Records.

Kemunculan album solo kelima Hafiz Hamidun ini merupakan kesinambungan daripada sambutan luar biasa yang telah diberikan oleh masyarakat, dengan jumlah terkumpul jualan album sebelum ini mencecah 400,000 unit.

Album ini telah mula dipasarkan secara fizikal dan digital mulai bulan Ramadhan yang lalu, dan sehingga hari ini album ini telah mencecah angka jualan sebanyak 30 ribu unit, serta menduduki tangga teratas carta jualan iTunes untuk sekian lama.

Album yang mengandungi 10 buah zikir ini merupakan garapan sepenuhnya oleh Hafiz Hamidun, yang bertindak sebagai komposer dan penggubah muzik. Masih mengekalkan konsep terapi seperti album-album yang sebelumnya, album Zikir Terapi Diri 3 ternyata berbeza. Album ini menggunakan garapan sentuhan orkestra sepenuhnya, serta turut melibatkan pemuzik dan jurutera bunyi tempatan dan antarabangsa.

Album ini mula dirakamkan sekitar bulan Mei 2014, dan selesai proses mastering di Australia pada Jun 2014. Sebahagian proses rakaman ini dilaksanakan di London, Manchester dan Singapura, serta selebihnya dirakamkan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Zikir-zikir yang terkandung di dalam album ini ialah Ya Allah, Bismillah, Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar, Hasbirabbi, Tubnailallah, Hasbunallah dan Zaljalal.

Album ini juga mendapat sentuhan kreatif En. Bustamam, selaku jurufoto untuk kulit album dan juga sisipan dalam album.

Konsert Akan Datang Ditunda

Seperti tahun-tahun yang lalu, setiap album Zikir Terapi Diri yang dihasilkan menerima sambutan luar biasa sehingga membawa kepada persembahan berskala besar.

Hafiz Hamidun telah bertindak sebagai penerbit dan Arteffects International sebagai penganjur untuk beberapa konsert Zikir Terapi Diri, iaitu di Dewan Perdana Felda pada 2012 (2500 penonton), Stadium Tertutup Johor Bahru (5000 penonton) dan di Stadium Spice Arena (PISA) Pulau Pinang pada Februari 2014 yang mencatatkan kehadiran 12,000 penonton.

Pihak Arteffects International telah merancang untuk mengadakan sebuah lagi Konsert berskala besar di Stadium Perpaduan Petra Jaya Kuching pada 3 Oktober 2014, namun konsert tersebut terpaksa ditangguhkan kerana bertindih dengan sebuah lagi program utama anjuran RTM dan juga begitu hampir dengan sambutan Hari Raya Haji yang jatuh pada 5 Oktober 2014.

Persembahan Zikir Di Menara Kuala Lumpur

Disebabkan penundaan Konsert Zikir Terapi Diri Kuching, pihak Arteffects International dan Menara Kuala Lumpur akan menganjurkan sebuah persembahan yang julung-julung kali diadakan, iaitu “Eksklusif Night With Hafiz Hamidun at Mega View, Kuala Lumpur Tower”.

Persembahan eksklusif yang akan menampikan repertoire dari album Zikir Terapi Diri 1,2 dan 3 ini akan berlangsung pada 7 November 2014 dan hanya terbuka kepada 300 tetamu.

Persembahan ini akan berlangsung selama 90 minit, bermula jam 8.30 malam dan dijangka berakhir tepat jam 10 malam. Ketinggian 288 meter serta pemandangan gah yang ditawarkan oleh Mega View Menara Kuala Lumpur bakal menjadi kelainan dan tarikan utama kepada para tetamu untuk menghadiri persembahan ini. Maklumat lanjut mengenai pembelian tiket dan persembahan ini akan dimaklumkan dari masa ke masa melalui Facebook, Twitter dan Instagram Hafiz Hamidun dan Menara Kuala Lumpur.

Mikraj Concept

Selain sibuk dengan aktiviti muzik dan persembahan, kini Hafiz Hamidun melangkah setapak lagi dengan menubuhkan sebuah lagi syarikat iaitu Mikraj Concept Sdn. Bhd.

Mikraj Concept merupakan usaha Hafiz Hamidun untuk mengetengahkan lebih banyak usahawan-usahawan ‘online’ ke bidang perniagaan secara nyata.

Butik Mikraj Concept milik Hafiz yang terletak di Empire Damansara, Damansara Perdana turut menempatkan pelbagai jenama baju, aksesori, koleksi jubah lelaki miliknya sendiri, jubah dan baju lelaki serta wanita, aksesori, hiasan dalaman rumah serta pelbagai lagi. Di antara selebiriti yang turut serta di Mikraj Concept ialah Krill Rashid (Penyampai Sinar FM), Chef Adu Amran (Juri Masterchef Malaysia), Ameera Zaini (Pengacara TV9) dan ramai lagi.

Mikraj Concept juga akan bertindak sebagai penganjur untuk #JubahFest yang bakal dilancarkan pada 31 Januari 2014 di Stadium Spice Arena Pulau Pinang sempena Penang International Halal Expo and Convention. Informasi lanjut mengenai Mikraj Concept boleh diperolehi melalui Instagram, Facebook dan Twitter Mikraj Concept.

Informasi Semasa Hafiz Hamidun

  1. Meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Arteffects Sdn. Bhd. dan kini bertindak sebagai Pengarah Kreatif bagi menumpukan perhatian kepada kerja-kerja kreatif di dalam syarikat.
  2. Menjadi Pengarah Kreatif untuk Mikraj Concept Sdn. Bhd.
  3. Penjenamaan Hafiz Hamidun diuruskan secara eksklusif oleh Paranormal (Paranormal Solution Sdn. Bhd.)
  4. Media Sosial Hafiz Hamidun
    1. facebook.com/hafizhamidun (1.57 juta followers)
    2. twitter.com/hafizhamidun (222 ribu followers)
    3. instagram.com/hafizhamidun (103 ribu followers)
  5. Festival Filem Malaysia 2014
    1. Finalis Kategori Skor Muzik Terbaik
      1. Filem KL Gangster 2
      2. Filem Sembunyi (Amukan Azazil)
    2. Finalis Kategori Penataan Bunyi Terbaik
      1. Filem Sembunyi (Amukan Azazil)
    3. Duta Pendermaan Organ (Kementerian Kesihatan Malaysia)
    4. Selebriti Sokongan Riben Merah (Majlis AIDS Malaysia)

Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *