(HIBURAN) MELLY GOESLAW MENAMPILKAN ‘BALANCE’

Spread the love

Melly Goeslaw - Balance

“BALANCE” merupakan album yang memuatkan beberapa lagu hits duet oleh Melly yang sangat popular seperti ‘Jika’, ‘Ada Apa Dengan Cinta’, ‘Tentang Dia’, ‘Let’s Dance Together’, ‘Ketika Cinta Bertasbih’, dan ‘Butterfly’ yang masih sedap didengar.

Album ini menunjukkan bahawa MELLY tidak pernah memilih pasangan duetnya demi untuk menjual lagu-lagunya, bahkan beliau lebih menjurus kepada memilih penyanyi-penyanyi solo yang masih belum dikenali oleh orang ramai. Ini kerana MELLY merupakan seniman sejati yang lebih memikirkan idea yang lebih kreatif dan keperluan lagu itu sendiri. Telah terbukti bahawa semua lagu duet beliau telah menjadi hits dan laris di pasaran Indonesia mahupun Malaysia.

Yang menjadi lebih istimewa menerusi album ini, MELLY turut berduet bersama pasangan abadinya iaitu ANTO HOED yang merupakan suaminya sejak tahun 1995 yang sentiasa berada disampingnya.

Tajuk album “BALANCE” yang membawa maksud ‘Keseimbangan’ merupakan judul album yang mempunyai falsafah umum dan ia penting di dalam setiap nafas kehidupan. MELLY yang sudah hampir 20 tahun terlibat di dalam dunia muzik, yakin bahawa album “BALANCE” ini bakal membuatnya lebih kuat untuk bertahan daripada segala sapaan yang mampu menjatuhkan setiap langkahnya, dan ia juga merupakan salah satu sebab yang telah membuat dirinya sentiasa merendah diri pada saat beliau mencapai kejayaan yang mengiringi kerjayanya.

Terdapat 2 buah lagu baru di dalam album ini iaitu “Let’s Talk about Love” duet bersama suaminya Anto Hoed dan “Cinta Hati Hati” feat. BBB (Bukan Bintang Biasa), dan 11 lagu-lagu hit beliau yang pernah popular di Indonesia dan Malaysia.

Peminat kepada Benyamin Sueb, Titik Puspa, Agnes Monica, Nike Ardilla (Almarhumah), Chrisye (Almarhum), Indra Lesmana, dan Krisdayanti ini juga tidak kalah dengan orang-orang yang dikaguminya. Bahkan, MELLY juga merupakan salah satu penggiat seni yang berani berbicara dan membela hak-hak setiap artis dan pemuzik menerusi komuniti GASS (Gabungan Artis Seniman Sunda). Ini adalah ciri-ciri seorang pemuzik yang mempunyai integriti dan idealis yang tidak perlu disangsikan lagi.

MELLY telah mencurahkan lebih daripada separuh umurnya untuk dunia seni, sehinggakan sudah tidak terkira berapa ratus lagu yang telah dicipta oleh MELLY, dan juga berapa puluh penyanyi yang telah menyanyikan lagu-lagu ciptaannya. MELLY juga telah menerbitkan dua buah buku yang berjudul ‘a…aarrgh’ (2005) dan ‘Balance’ (2012).

Berbagai penghargaan yang telah diraih oleh MELLY and ANTO HOED baik di Indonesia, Malaysia, mahupun Singapura. Lebih daripada itu, mereka juga telah menjadi ikon untuk lagu-lagu ‘soundtrack’ untuk filem-filem di Indonesia. Sejak ‘soundtrack’  bagi filem ‘ADA APA DENGAN CINTA’ (2000), sehingga kini sudah berpuluh ‘soundtrack’ filem dan sinetron yang dihasilkan oleh mereke berdua. Hasil kerja mereka memang dicari cari oleh setiap pengarah cerita ini kerana bagi menghidupkan lagi sesebuah cerita dengan soundtrack nukilan mereka.

Sungguh hebat kurniaan Tuhan untuk muzik Indonesia menerusi karya-karya mereka berdua, yang kita yakin bahawa hasil ciptaan mereka akan kekal abadi hingga bila-bila dan akan terpateri di sepanjang perjalanan sejarah muzik Indonesia.

Menurut MELLY, album ini dipersembahkan sebagai sebuah bentuk terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat didalam karya-karya album ini, terutama sekali kepada rakan-rakan media yang sering menyokong, dan juga seluruh pencinta muzik dan peminat-peminat Melly tidak kira dimana mereka berada.

Album “BALANCE” ini dihasilkan sepenuhnya oleh Melly sendiri bersama suaminya Anto Hoed. Untuk urusan muzik diolah oleh Anto Hoed dan kesemua lagu-lagu di album ini digubah oleh Melly Goeslaw kecuali “Ketika Cinta Bertasbih” yang digubah oleh Aden dan Melly sendiri.

Album “BALANCE” daripada MELLY ini sudah berada di pasaran Malaysia dan ini merupakan satu lagi edaran daripada Warner Music (M) Sdn Bhd.

Senarai Lagu di album “Balance”

1.      Let’s Talk about Love

2.      Cinta Hati Hati

3.      Jika

4.      Ada Apa Dengan Cinta

5.      Butterfly

6.      Tentang Dia

7.      Cinta

8.      Let’s Dance Together

9.      Dibius Cinta

10.  Love Story

11.  Pujaanku

12.  Catatanku

13.  Ketika Cinta Bertasbih


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *