(HIBURAN) Pementasan Geng Lawak @ PICC

Spread the love

EDI_3017

Menjelang  sambutan tahun baru 2014, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ingin memberikan sentuhan baru yang lebih mesra dengan menganjurkan Sambutan Tahun Baru 2014 @PICC pada 31 Disember 2013. Ini merupakan julung kali acara sebegini diadakan di PICC. Bermula seawal jam 10.00 pagi, Bazar @PICC akan berlangsung di foyer aras Concourse dan akan berlanjutan sehingga jam 12.00 tengah malam. Bazar ini akan diadakan selama dua hari bermula dari 31hb Disember 2013 sehingga 1hb Januari 2014. Walaubagaimanapun pada malam tahun baru akan diceriakan  dengan pelbagai acara menarik untuk seisi keluarga seperti persembahan terbuka dan percuma dari kumpulan ‘Buskers & Clown’.

Pada sebelah malamnya, acara kemuncak akan berlangsung di Dewan Plenary bermula jam 9.00 malam. Pementasan Geng Lawak @PICC akan menggegarkan pentas Plenary dengan barisan pelawak individu dan kumpulan yang terdiri dari kumpulan JAMBU (Tauke dan Yus), OSAMA (Os dan Isma), SYJ (Shuk, Yassin dan Jihan), pelawak terkenal Kuah Jenhan serta Sabri Yunus sebagai pengacara yang bakal menghibur dan menggegarkan suasana. Kemunculan kumpulan muzik KL STREET DRUMMERS pada awal dan akhir pementasan akan menjanjikan kelainan dalam persembahan ini.

Usai pementasan Geng Lawak @PICC sekitar jam 11.00 malam,  akan disambung dengan sesi ramah mesra penonton dengan barisan artis Geng Lawak @PICC bertempat di ‘Viewing Deck’ pada Aras 2, sementara menunggu acara ‘Countdown’ tahun baru 2014 iaitu ‘New Year Eve Cocktail Countdown’ @PICC yang akan berlangsung di ‘Viewing Deck’ Aras 1.

Penganjuran Sambutan Tahun Baru 2014 @PICC ini adalah sebagai langkah pertama untuk menjadikan PICC salah sebuah lokasi utama acara hiburan,  seperti pementasan teater, ‘talk show’, serta konsert artis tempatan mahupun antarabangsa.

Tiket-tiket untuk menonton pementasan Geng Lawak @ PICC akan mula dijual pada 20 Disember 2013 di PICC dan juga di www.ticket2u.biz. Senarai harga tiket adalah seperti berikut:

Kategori Tiket

Geng Lawak @PICC

New Year Eve Countdown

Bronze

Silver

Gold

Platinum

RM85

RM125

RM155

RM205

(Tempat duduk terhad)

RM88

Untuk maklumat lanjut, hubungi kami ditalian 603-88876000 atau sila layari www.picc.com.my.

Buat pertama kali dalam sejarah, pentas yang gah dan sebesar Dewan Plenari, PICC Putrajaya menganjurkan acara pementasan sebegini di mana ia akan dimeriahkan dengan pementasan lawak jenaka secara duduk dan berdiri bergilir gilir selama 2 jam…yang menampilkan barisan para pelawak serba boleh dan serba serbi…dengan kumpulan JAMBU!…

Siapa yang JAMBU?

Mereka adalah regu Tauke dan Yus!

Tauke Raja Lawak atau nama sebenar Zamatul Amri bin Zakaria dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada April 1976. Menyertai program TV Sinaran Passport Kegemilangan pada 2001 bersama Kumpulan ‘Tak Tahu Menahu’. Pada 2007, Tauke mendapat tempat ke 4 dalam program ‘Raja Lawak’ yang pertama.

Yus Raja Lawak atau nama sebenar Yussry Bin Edoo dilahirkan di Kangar, Perlis pada Mac 1976. Anak bongsu dari tiga beradik ini menamatkan zaman persekolahan di Sekolah Menengah Syed Alwi, Kangar dan mula aktif dalam teater. Menyertai program Sinaran Pasport Kegemilangan pada 2001 tetapi tidak begitu menonjol. Pada 2007, Yus menyertai program Raja Lawak yang  pertama dan menjadi Juara.

Pada 2011, Tauke bergandingan bersama Yus Raja Lawak untuk program Maharaja Lawak dan menamakan diri mereka JAMBU kerana mereka sangat ‘jambu’ lalu berjaya mendapat tempat ke 4 keseluruhan. Pada 2012, JAMBU menyertai program ‘Super Spontan’ dan mendapat tempat ke 3.

Seterusnya?

Seterusnya adalah gabungan mantap dan menggigit… Kumpulan  OSAMA!

Siapa OSAMA?

Mereka adalah ‘the legendary’ Mr. Os dan Isma!

Mr. Os atau Mohd Yusof bin Abdul Hamid berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Mempopularkan loghat Perak di media elektronik, Os memulakan kerjaya seni melalui filem ‘Balik Kampung’ pada 1986. Os berlakon dalam 15 buah filem termasuk sebuah filem yang bertajuk ‘Mr.Os’. Selepas 1997, Os menyepikan diri diri sebelum kembali aktif semula pada 2009. Pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik di dua Festival Filem Malaysia iaitu pada 1987 dan 1997. Os punyai fizikal yang signifikan pada giginya yang sering dijadikan bahan komedi. Pada 2011, Os bersama Abon membentuk ‘Osbon’ dan menjuarai Maharaja Lawak Mega.

Isma atau Isma Aliff atau nama sebenar Mohd Latiff bin Ismail berasal dari Kuala Lumpur. Membintangi 6 buah filem sejak 1987 dan dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Bintang Popular 1988. Isma juga menjadi juri untuk program Raja Lawak 2013.

Untuk Maharaja Lawak Mega 2013, Os berganding dengan Isma dan menamakan diri mereka OSAMA!

Lagi?

Ada lagi…kali ini gandingan dua Teruna dan seorang Dara pula…kumpulan  SYJ!

Siapa SYJ?

SYJ adalah Shuk Balas, Yassin dan Jihan!

Shuk atau nama sebenar Mohammad Shukri bin Mohamed Sahar berasal dari Pulau Pinang. Menubuhkan kumpulan BALAS untuk Raja Lawak 5 pada 2011 bersama rakannya Fendi. Kerana itu dia dikenali sebagai Shuk Balas.

Yassin Yahya pula lebih dikenali sebagai Yassin Senario sebelum ini. Dilahirkan di Kuala Lumpur pada Mei 1978. Menyertai kumpulan Senario yang ditubuhkan pada 1996 hasil gabungan 7 peserta program Sinaran Pasport Kegemilangan 1995. Yassin berundur dari Senario pada 2002. Pernah membintangi lebih 15 buah filem. Dicalonkan sebanyak 5 kali untuk kategori Artis Komedi Lelaki Popular dan sekali untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular. Pada 2011 Yassin menyertai Maharaja Lawak Mega bersama dua lagi rakan pelawak.

Jihan adalah ‘bunga ros diantara duri’ dalam kumpulan SYJ ini. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Nuur Jihan binti Musa dulu dikenali di ruang siber sebagai ‘chickonah’ sebelum menjadi artis selepas menyertai Raja Lawak 3 pada 2009 dan menjadi naib juara.

Maka untuk Maharaja Lawak Mega 2013, Shuk, Yassin dan Jihan bergabung dengan kepakaran masing masing menjadi SYJ!

Siapa lagi pelawak yang ada?

Pelawak seterusnya adalah seorang pelawak yang tidak pernah penat berdiri, malah mampu mengumpulkan hampir 3,000 penonton sebelum ini dalam sebuah pementasan…tidak lain dan tidak bukan…dia adalah Kuah Jenhan!

Siapa pula KUAH JENHAN?

Nama Kuah Jenhan sangat popular di kalangan khalayak lawak jenaka berdiri. Jejaka Malaya ini juga pernah mendapat perhatian dan membuat persembahan bersama pelawak tempatan di Australia dan Singapura. Hampir setiap persembahan Jenhan di seluruh Malaysia mendapat sambutan hangat hingga memecahkan kaunter jualan tiket.

Beliau adalah versi komedi kepada ungkapan ‘tall, dark and handsome’. Lawak jenaka beliau sering mendapat pengiktirafan dari pelawak yang jauh lebih kelakar dan berpengalaman. Jenhan turut terlibat dalam kempen komersial beberapa jenama pengguna seperti barangan elektrik, seluar ‘jeans’ koyak, kereta baru dan telefon bijak. Jenhan juga adalah kolumnis untuk sebuah majalah tempatan yang dikhaskan untuk para lelaki ‘macho’, kental dan berjaya selain terlibat dalam penulisan skrip produksi tv, pentas dan filem.

Ada pengacara majlis ke?

Ada…ketawa anda pula akan diuruskan secara berhemah oleh seorang pengacara majlis yang sangatlah terkenal dan lebih suka menjadi tukang karut…dia satu satunya pengacara kita, saudara Sabri Yunus!

Sabri Yunus?…macam kenal…

Memanglah kenal. Sabri Yunus dilahirkan di Pengkalan Chepa, Kelantan pada 1961. Terkenal dengan bahasa rasminya loghat Kelantan dan dipercayai antara individu paling berpengaruh dalam mempromosi loghat Kelantan di media elektronik. Mula berlawak dari bangku sekolah sehingga aktif berteater di Dewan Bahasa Dan Pustaka. Sabri menjulang anugerah Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005 dan Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular pada 1993, 1994, 1995, 1996 dan 2000. Terlibat dalam banyak teater, program TV dan filem. Antara filem yang dibintanginya adalah ‘Puteri Gunung Ledang’ pada tahun 2004 sebagai watak Sang Setia.

Apa lagi yang ada?

Selain dari ketawa terbahak bahak, anda juga boleh menggoyangkan badan dan menghentakkan kaki ke lantai bersama kumpulan KL STREET DRUMMERS!…

Apa itu KL STREET DRUMMERS?

KL Street Drummers adalah sekumpulan anak muda yang selalu berganding bahu membuat persembahan gendang dan genderang dalam bulatan. Menggunakan alatan muzik seperti djembe, dunun, timbao dan shekere sambil mengalunkan irama tradisi dari Afrika, Brazil dan Guinea. Mereka telah memulakan akitiviti memekakkan telinga ini sejak bulan April 2011.

Sepuluh orang pemukul gendang genderang dan suka membuat kecoh ini akan akan muncul sebanyak dua kali dalam pementasan GENG LAWAK dengan konsep sekejap ada sekejap tiada…iaitu pada awal pementasan dan pada akhir pementasan!


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *