(HIBURAN) TELEMOVIE DAN DRAMA TERBAIK DI TV9 (sepanjang Februari dan Mac )

Spread the love

IMG_5199

TV9 sentiasa komited dalam menyediakan pelbagai drama dan telefilem terbaik dan menarik menerusi slot Ratu, Aurora, Skrin Di 9 dan Mutiara Hati. Bermula Februari ini, TV9 akan menyiarkan drama-drama baru  dan telefilem yang penuh pengisian, lebih segar dan pastinya dibarisi para pelakon hebat dan juga memperlihatkan bakat-bakat baru dunia lakonan yang sedang meningkat naik. Pastinya anda tidak akan kecewa mahupun berganjak dari tempat duduk apabila menonton drama dan telefilem yang ditayangkan sepanjang Februari dan Mac ini di TV9.

IMG_5203

arorasmall 

SLOT RATU : KERANA LELAKI ITU

Setiap hari Isnin dan Selasa, 8.30 malam

Drama yang penuh dengan unsur kasih sayang, hasad dengki dan kekecewaan ini bermula dengan perkahwinan dua pasangan berkawan rapat iaitu Dr. Hanafi (Fikhree Bakar) bersama pasangannya Diana, seorang peguam serta Syukri (Riz Amin)i dan Munirah. Dr. Hanafi dan Syukri telah berjanji untuk memberi kebahagiaan kepada pasangan masing-masing. Setelah dua tahun berkahwin, Diana masih lagi belum mendapat zuriat. Diana tahu perasaan suaminya dan telah mencadangkan suaminya untuk berkahwin dengan Azzah, sahabat baiknya. Setelah mendapat seorang cahaya mata, Dr. Hanafi jarang pulang ke rumah Diana.

Sementara itu, Syukri yang bercita-cita untuk menjadi pengarah, akhirnya berjaya menggapai impiannya untuk menerbit dramanya sendiri dengan bantuan isterinya Munirah. Sebagai isteri, dia tahu Syukri tidak dapat mencapai cita-citanya kerana kekurangan modal. Oleh itu, Munirah telah mencagarkan geran tanah peninggalan bapanya untuk dibuat sebagai modal. Namun, sebagai pengarah muda yang berjaya, Syukri mula digoda oleh Camelia, seorang pelakon baru dan juga adik kepada Dr. Hanafi. Walaupun Syukri cuba menepis godaan Camelia, namun, sebagai seorang lelaki, dia akhirnya mengalah. Hubungan mereka menjadi semakin intim sehinggalahmenjadi kecurigaan kepada para media.

Apakah kesudahan kepada rumahtangga kedua sahabat ini? Adakah peluang kedua bagi Dr. Hanafi dan Syukri untuk memujuk hati isteri mereka yang lara? Semuanya terjawab dalam slot Ratu, ‘Kerana Lelaki Itu’ yang bakal disiarkan pada 26 Februari ini dan dolakonkan oleh Zarina Zainoordin, Rizz Amin, Fikhree Bakar, Siti Elizad, Ana Dahlia, Tunku Anis dan Noryanti Taib.

SLOT SKRIN DI 9 – SETIAP HARI RABU, 8.30 MALAM

MENANTU MAK UTIH (6 FEBRUARI 2013)

Menantu Mak Utih sebuah drama komedi berkisar kehidupan Mak Utih dan jiran tetangga yang cuba memikat anak bujang Mak Utih, iaitu Hafiz yang kini sedang belajar di sebuah universiti di luar negara.untuk dijadikan calon suami untuk anak dara mereka. Dari berkawan baik akhirnya mereka menjadi musuh yang suka sindir menyindir dan mengata semata mata untuk laksanakan misi rahsia mereka untuk dapatkan anak Mak Utih sebagai menantu mereka. Sikap mengada-ngada dan suka berlumba lumba antara jirannya itu membuat kan Mak Utih pening kepala. memikirkan gelagat jiran jirannya itu. Telemovie komedi ini diarahkan oleh Heykal Hanifah dan dibintangi oleh Wan Sharmila, Sari Yanti, Norliah Ghani, Fazreen Wahab, Anne Abdullah, Roy Azman dan Sharul Nizam

TETAMU MARIA (13 FEBRUARI 2013)

Telefilem yang dilakonkan oleh Ruminah Sidek, Aida Aris, adik Nur Aleeya Zulaikha Mahadhir dan adik urul Fateha bt Khairul Nizam ini menceritakan kisah misteri yang terjadi kepada Maria dan anak perempuannya, Shakila selepas mereka membeli dan berpindah ke sebuah banglo lama yang jauh daripada bandar. Setelah kematian suaminya. Pelbagai peristiwa pelik yang berlaku di mana kemunculan Sarah yang menjadi tanda tanya kepada Shakila dan Maria. Kedatangan Azlan yang menakutkan Maria dengan menyatakan ada hantu di kawasan banglonya menimbulkan pelbagai persoalan. Pertemuan dengan Nenek Timah menjawab segala persoalan siapakah jelmaan Sarah dan siapakah sebenarnya Azlan.

DELUSI (27 FEBRUARI 2013)

Dato’ Hanif telah kehilangan isteri kesayangannya Amy dalam satu kemalangan ngeri bersama pekerjanya bernama Zarul, yang mempunyai masalah mental (psiko). Amy diculik oleh Zarul dan tanpa diduga, kereta yang dipandu telah terbabit dalam kemalangan dan mengakibatkan keduanya meninggal dunia. Di sebabkan kesedihan yang mengganggu jiwanya, Dato’ Hanif membuat keputusan untuk meninggalkan banglo itu. Dato’ Hanif telah kembali ke banglo tersebut bersama isteri barunya, Sabrina, yang juga merupakan jururawat yang menjaga beliau ketika sakit. Jihan, adik Dato’ Hanif, tidak bersetuju abangnya berpindah ke banglo itu, apatah lagi dengan perkahwinan abangnya dengan Sabrina. Sejak berpindah, pelbagai insiden berlaku kepada Dato’ Hanif. Beliau sering ternampak kelibat Zarul tetapi beliau sangkakan ia hanyalah delusi sahaja. Gangguan di banglo Bukit Tunku semakin ketara dan pelbagai insiden berlaku sehinggakan Sabrina mengambil keputusan keluar dari banglo itu. Ketika Sabrina meninggalkan rumah itu, dia diculik oleh seseorang. Kemunculan Zarul, pekerja Dato Hanif yang dianggap delusi membongkar segala rahsia akhirnya. Apakah misteri yang tersimpan di dalam banglo itu? Adakah ianya hanya delusi yang dialami oleh Dato’ Hanif? Telefilem yang penuh misteri ini dibintang oleh Faizal Hussin, Sharifah Amani, Zizie Ezzette, Azhan Rani dan Sherry Merlis.

SELIPAR JEPUN SEPATU KULIT (6 MAC 2013)

Pada usia 10 tahun, Aqil masih tidak mengerti mengapa bapanya, Hisham berubah sikap setelah kematian ibunya beberapa tahun lalu.  Dia cuba mencari jawapan dan belajar untuk bersabar. Aqil belajar mengaji dengan Ustaz Ali manakala Hisham yang bekerja mengambil upah mencuci pinggan di warung Pak Hamid memulakan rutin hariannya seawal 5.30 pagi. Hisham juga sentiasa mengelak untuk ke sekolah Aqil apabila ada aktiviti yang perlu dihadirinya. Dia memberi pelbagai alasan dan kadang kala naik marah apabila Aqil memujuknya untuk pergi. Suatu hari ketika Aqil dan bapanya keluar ke bandar untuk mencari barang sekolahnya, Hisham terhenti di sebuah kedai kasut. Pandangannya tertumpu kepada kasut kulit yang mahal harganya. Dia memandang dari jauh dan terus berlalu. Aqil nekad mengumpul wang untuk membeli sepatu kulit untuk ayahnya. Selipar Jepun Sepatu Kulit ini dibintangi oleh Adam Hazrey, Isma Danial, Kaza dan Hairi ‘Anak Wayang’.

SLOT AURORA – SETIAP HARI KHAMIS, 8.30 MALAM

BUNGA MERAH PUNYA

Drama 13 episod terbitan Suhan Movies ini bermain dengan emosi yang melibatkan percintaan di mana ia menceritakan tentang Bunga yang diamanatkan untuk mencari Merah yang melarikan diri ketika usianya 10 tahun. Kisah mereka bermula apabila Merah yang dijaga oleh Tok Baen semenjak usia 3 tahun telah menemui seorang bayi perempuan yang ditinggalkan oleh seseorang di depan rumahnya. Tok Baen mengasuh bayi perempuan itu dan diberinya nama Bunga. Kehadiran Bunga merubah semula kemurungan Merah menjadi ceria. Merah sangat menyayangi Bunga.  Kedegilan Merah yang tidak mahu ke sekolah dan tidak mahu dimarahi lagi oleh Tok Baen telah menyebabkan Merah lari daripada rumah dan tidak pernah kembali. Dapatkan Bunga menunaikan amanat Tok Baen untuk mencari Merah?  Saksikan lakonan hebat Izzue Islam, Sharifah Sakinah, Sura Sojangi, Syazwan Zulkifli, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi pelakon hebat dalam Bunga Merah Punya bermula 21 Februari nanti.

SLOT MUTIARA HATI (Setiap hari Isnin hingga Jumaat, 5.37 petang)

Bayu Cinta Luna

Persahabatan Rahman dan Imran terus berkekalan apabila anak-anak mereka iaitu Bayu, Krishna dan Bimo juga turut menjalinkan persahabatan antara mereka.  Sementara itu, Luna gadis manis yang terpaksa berhenti kerja kerana majikannya melakukan sesuatu yang tidak baik kepadanya telah memohon pekerjaan di pejabat Bayu.  Bimo jatuh hati pada Luna namun sedikit kecewa apabila Bayu mengatakan bahawa Luna bukan gadis yang baik. Namun setelah mengenali Luna dengan lebih dekat, Bayu merasakan Luna adalah gadis yang dicarinya selama ini untuk mengisi ruang hatinya.  Konflik terjadi apabila Bayu dan Bimo masing-masing cuba untuk mendapatkan Luna dan campur tangan orang lain yang cemburu pada kelebihan Luna.

 

Sejak Mutiara Hati ‘Bayu Cinta Luna’ disiarkan, drama ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan sehingga mencecah sehingga 950,000 penonton. Sebagai penghargaan kepada penonton yang telah memberi sokongan kepada kami, satu peraduan telah diadakan iaitu peraduan Tonton dan Menang Mutiara Hati yang akan bermula pada 11 Februari 2013 sehingga 8 Mac 2013. Pastikan anda menonton sinetron Bayu Cinta Luna setiap Isnin hingga Jumaat dimana terdapat 2 episod yang akan memaparkan soalan yang membolehkan anda untuk memenangi tiket untuk ke taman tema Legoland dan penginapan selama 1 malam di Pulai Springs. Penyertaan bolehlah di hantar ke contests@tv9.com.my lengkap dengan tarikh dan hari soalan itu dipaparkan.

Seleksi drama-drama dan telefilem menarik dengan barisan para pelakon hebat menerusi slot Ratu, Skrin Di 9, Aurora dan Mutiara Hati ini juga sebagai tanda terima kasih kami atas sokongan padu para penonton setia TV9 akan terus memberikan hiburan yang terbaik dan berlainan istimewa untuk tontonan anda!


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *