(SEMASA) KFC DAN PIZZA HUT SUMBANG MAKANAN UNTUK BADAN BERUNIFORM DAN SUKARELAWAN

Pic1

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KFC dan Pizza Hut membantu mereka yang terlibat mengurus mangsa banjir di Pantai Timur, KFC dan Pizza Hut Malaysia hari ini telah menyerahkan bantuan makanan kepada anggota badan-badan beruniform dan sukarelawan yang bertugas.

 Pic6

Sumbangan itu telah diserahkan oleh Dato’ Kamaruzzaman Bin Abu Kassim, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (pengendali KFC dan Pizza Hut Malaysia) kepada Mejar Jeneral Datuk Mazelan Bin Kasap, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Tentera Darat Malaysia di Bangunan Pergerakan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang. Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, Mohammed Izaham Bin Abdul Rani.

Sejumlah makanan dari KFC dan Pizza Hut bernilai lebih RM30,000.00 akan dihantar kepada angota badan beruniform dan juga sukarelawan selama tujuh hari sepanjang operasi bantuan bencana banjir ini.

“Kami berasa amat terharu dengan keprihatinan semua rakyat Malaysia yang telah berganding bahu untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur. Ini adalah diantara banjir yang paling buruk yang pernah melanda Malaysia, dan ramai telah tampil ke hadapan untuk turut serta dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir. Misi bantuan ini amat mencabar dan memerlukan banyak tenaga untuk mengendalikan banyak bantuan makanan dan barangan yang perlu di hantar ke kawasan-kawasan yang mengalami krisis banjir. Sumbangan makanan KFC dan Pizza Hut ini merupakan penghargaan kami kepada semua anggota badan beruniform dan juga sukarelawan yang menyumbangkan masa dan tenaga mereka untuk membantu,” kata Dato’ Kamaruzzaman.

Dato’ Kamaruzzaman juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia akan terus memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terjejas sehingga kehidupan mereka kembali pulih seperti sediakala.

Pada 25 Disember 2014 yang lepas, KFC dan Pizza Hut telah mengedarkan lebih 2,500 pek makanan KFC dan 1,600 keping piza kepada beberapa pusat pemindahan di Kelantan. Pengedaran makanan kepada mangsa-mangsa banjir itu telah dijayakan oleh sekumpulan anggota pekerja KFC dan Pizza Hut dengan bantuan pihak Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Sehingga kini, KFC dan Pizza Hut telah menyumbang lebih RM60,000.00 dalam membantu mangsa-mangsa banjir, anggota badan beruniform dan juga sukarelawan.

Pada masa yang sama, Dato’ Kamaruzzaman turut menyerahkan barangan dan ubat-ubatan sumbangan KPJ Healthcare Berhad serta Mutiara Johor Corporation. Selain itu, pelbagai barangan keperluan mangsa banjir yang disumbangkan oleh orang ramai yang menyokong kempen bantuan mangsa banjir oleh Pengurusan Kompleks Beli Belah dan Komersil Damansara Assets Sdn Bhd di Pusat Pengumpulan Sumbangan Mangsa Banjir di premis-premis komersil Johor Corporation turut diserahkan.

Program membantu operasi pusat bantuan mangsa banjir di Pengkalan TUDM Subang hari ini turut melibatkan Briged Waqaf dari kalangan anggota pekerja QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, Kulim (Malaysia) Berhad, KPJ Healthcare Berhad, Johor Land Berhad, Syarikat Pengangkutan Maju Berhad serta Tanjung Langsat Port Sdn Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *