Spread the love
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2026 — Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) secara rasmi membuka tirainya hari ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), menandakan edisi ke-11 pameran automotif antarabangsa terbesar Malaysia. Dianjurkan oleh Malaysian Automotive Association (MAA) dengan pengurusan acara oleh Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. (Qube), KLIMS 2026 bakal mengetengahkan masa depan mobiliti mampan dan inovatif menerusi penyertaan pelbagai jenama automotif global dan tempatan di bawah tema “Beyond Mobility”.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah yang menegaskan peranan penting KLIMS sebagai platform perbincangan berkaitan mobiliti hijau, penggunaan kenderaan elektrik (EV), pengurangan pelepasan karbon serta usaha menuju sistem pengangkutan lebih bersih dan mampan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Datuk Hairil Yahri Yaacob.
KLIMS 2026 bukan sahaja menjadi platform mempamerkan masa depan mobiliti, malah turut memperlihatkan evolusi industri automotif daripada pengangkutan tradisional kepada penyelesaian mobiliti mampan, termasuk perkembangan teknologi tenaga baharu dan sistem mobiliti pintar.
Selaras dengan agenda peralihan tenaga negara, KLIMS 2026 turut menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan teknologi hijau sambil menekankan kepentingan industri automotif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara. Melalui kerjasama antara pengeluar tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain global, acara ini turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi automotif serantau.
Dalam ucapannya, Datuk Haji Hasbi berkata dunia kini sedang menyaksikan perkembangan pesat dalam bidang elektrifikasi, teknologi berhubung, sistem pengangkutan pintar, automasi, keselamatan jalan raya dan penyelesaian tenaga alternatif.
“Perkembangan ini sedang mengubah cara kita mereka bentuk kenderaan, membina infrastruktur dan merancang bandar. Ketika kita membincangkan masa depan mobiliti, aspek keselamatan perlu terus menjadi agenda utama. Mobiliti baharu bukan sahaja perlu lebih bersih dan saling berhubung, malah turut membantu mengurangkan kemalangan, melindungi pengguna jalan raya yang terdedah serta menyokong tingkah laku pemanduan lebih selamat. Bersama-sama, kita mampu membawa Malaysia melangkaui mobiliti,” katanya.
Sementara itu, Presiden Malaysian Automotive Association (MAA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KLIMS 2026, Mohd Shamsor bin Mohd Zain berkata industri mobiliti kini berkembang melangkaui konsep pengangkutan semata-mata.
“Mobiliti hari ini bukan lagi sekadar bagaimana manusia bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, tetapi mencerminkan bagaimana bandar berfungsi dan bagaimana teknologi menghubungkan komuniti menerusi penyelesaian yang lebih pintar dan mampan. KLIMS 2026 terus membawa tema ‘Beyond Mobility’ bagi menggambarkan transformasi industri automotif daripada pengangkutan tradisional kepada ekosistem mobiliti pintar yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa rakyat Malaysia kini semakin terbuka menerima teknologi dan inovasi baharu dalam kehidupan seharian, sejajar dengan komitmen kerajaan terhadap agenda kelestarian dan perubahan iklim negara.
Lebih 900 tetamu hadir menyaksikan majlis pembukaan rasmi KLIMS 2026 yang turut menampilkan pratonton eksklusif model baharu, pelancaran kenderaan serta pameran konsep futuristik daripada 18 jenama automotif.
Pengunjung KLIMS 2026 juga bakal menikmati pelbagai aktiviti interaktif berkaitan automotif dan gaya hidup sepanjang acara berlangsung. Selain itu, pengunjung berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM125,000 termasuk hadiah utama sebuah Perodua Bezza.
KLIMS 2026 berlangsung dari 12 hingga 21 Jun 2026 di MITEC, Kuala Lumpur. Untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut, layari: https://reg.klims.com.my/Account/RegisterVisitor
Bagi perkembangan terkini mengenai jenama dan aktiviti yang terlibat, layari laman web rasmi https://klims.com.my/ atau ikuti media sosial rasmi KLIMS di:
Facebook: https://www.facebook.com/klims.com.my/
Instagram: https://www.instagram.com/klims_my/
Spread the love
