Kuala Lumpur, 11 Jun 2026 – PROTON bersedia menampilkan aspirasi teknologi masa hadapannya di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 menerusi temanya, “PROTON AHEAD: Intelligence That Connects People,” yang memperlihatkan bagaimana teknologi pintar sedang dibangunkan untuk menyokong pengalaman mobiliti yang lebih pintar, selamat dan terhubung untuk rakyat Malaysia.
Tema ini mencerminkan kemajuan berterusan PROTON ke arah mobiliti pintar menerusi gabungan teknologi canggih, keperluan sebenar pemanduan rakyat Malaysia serta pengalaman pelanggan yang lebih bermakna. Di KLIMS 2026, pengunjung berpeluang meneroka inovasi utama merangkumi teknologi hibrid, sistem keselamatan, kejuruteraan rangkaian kuasa, seni bina kenderaan dan pengalaman ketersambungan dalam kenderaan menerusi PROTON Intelligent Mobility Zone.
Antara tarikan utama di PROTON Intelligent Mobility Zone ialah teknologi HEV PROTON, satu sistem hibrid yang direka untuk menggabungkan kecekapan Dedicated Hybrid Engine (DHE) dengan keupayaan responsif Dedicated Hybrid Transmission (DHT). Sistem ini dibangunkan untuk menyokong pengalaman pemanduan yang lebih senyap dan lancar dalam keadaan yang bersesuaian, khususnya dalam pemanduan bandar, pada kelajuan rendah serta situasi trafik berhenti-dan-bergerak.
Salah satu ciri utama ialah EV Mode, yang membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik dalam keadaan yang sesuai. Apabila keadaan pemanduan berubah, sistem ini akan bertukar secara pintar antara EV Mode, Series Mode, Parallel Mode dan Direct Drive, yang juga dikenali sebagai ICE Mode, dengan memilih mod pemanduan paling sesuai secara automatik berdasarkan kelajuan kenderaan, keperluan kuasa dan keadaan bateri.
Sistem ini dikuasakan oleh Dedicated Hybrid Engine berkapasiti 1.5 liter yang direka khusus untuk operasi hibrid, menghasilkan kuasa berkadar 82kW dan tork maksimum 136Nm, dengan nisbah mampatan 14:1 serta keserasian bahan api RON95. Menyokong piawaian emisi China 6b / Euro 6d, enjin ini direka untuk mencapai sehingga 46.5% kecekapan terma puncak, disokong oleh teknologi seperti pembakaran Atkinson-cycle, water-cooled EGR, serta smart cooling electric water pump bagi membantu meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan emisi.
Dedicated Hybrid Transmission turut dilengkapi sistem dua motor P1 dan P3, di mana motor P1 menyokong proses menghidupkan enjin dan penjanaan kuasa, manakala motor P3 berfungsi sebagai motor pemanduan utama serta membantu pemulihan tenaga semasa nyahpecutan. Digabungkan bersama Power Control Module (PCM) berkecekapan tinggi, sistem ini direka untuk memberikan pengurusan kuasa yang responsif, cekap dan pintar bagi keperluan pemanduan harian.
Menerusi teknologi HEV, PROTON mahu memperlihatkan bagaimana teknologi hibrid dapat dijadikan lebih praktikal dan relevan untuk rakyat Malaysia — daripada perjalanan harian ke tempat kerja dan sekolah, hinggalah ke perjalanan hujung minggu serta perjalanan jauh pulang ke kampung.
Dato’ Ir. Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, berkata, “Teknologi kami mewakili satu langkah penting dalam perjalanan PROTON ke arah mobiliti pintar. Di KLIMS 2026, kami mahu pengunjung merasai sendiri bagaimana teknologi kami bukan sahaja maju, tetapi juga dibangunkan berdasarkan keadaan pemanduan sebenar rakyat Malaysia. PROTON AHEAD adalah tentang melangkah ke hadapan dengan kecerdasan yang menghubungkan manusia, perjalanan dan aspirasi.”
Melengkapkan pameran teknologi HEV ialah PROTON Intelligent Mobility Zone, yang turut menampilkan teknologi utama seperti Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), Enjin i-GT, PROTON Electrical & Electronic Architecture (EEA), PROTON Modular Vehicle Cockpit Concept serta PROTON IHU Smart Cockpit. Pameran ini memperlihatkan bagaimana PROTON terus memperkukuh asas teknologinya merangkumi keselamatan, kecekapan rangkaian kuasa, seni bina kenderaan serta pengalaman ketersambungan dalam kenderaan.
Selain pameran teknologi, PROTON turut mempersembahkan barisan model lengkapnya termasuk PROTON Saga, S70, X50, X70 Sport Edition dan X90, mencerminkan keupayaan jenama ini untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia merentasi pelbagai peringkat kehidupan dan gaya pemanduan. Salah satu tarikan istimewa ialah modified Proton X50, yang membawakan karakter lebih muda, sporty dan lebih ekspresif kepada model “King of SUVs” PROTON, iaitu antara model SUV paling popular jenama ini.
Pengunjung juga berpeluang meneroka perkembangan jenama PROTON menerusi pelbagai pengalaman interaktif di ruang pameran termasuk paparan teknologi interaktif, persembahan visual 3D LED, interaksi bersama robot, aktiviti media sosial dengan ganjaran serta lawatan teknologi berpandu untuk komuniti terpilih.
Alami Pemanduan dan Nikmati Tawaran Eksklusif di KLIMS 2026
Pengunjung dijemput ke ruang pameran PROTON untuk meneroka teknologi terkini PROTON termasuk pameran teknologi HEV, mengalami sendiri PROTON Intelligent Mobility Zone serta melihat dengan lebih dekat barisan model lengkap termasuk X50 yang diubah suai. Model terpilih seperti PROTON Saga, S70, X50, X90 dan X70 turut tersedia untuk sesi pandu uji, memberikan pengalaman secara langsung terhadap prestasi, keselesaan, teknologi dan kepraktisan model PROTON.
Pelanggan yang membuat tempahan sepanjang acara akan menikmati tawaran eksklusif KLIMS, manakala pengunjung juga boleh menyertai aktiviti di ruang pameran PROTON dengan mengikuti saluran media sosial rasmi PROTON dan berkongsi hantaran rasmi media sosial PROTON yang ditetapkan untuk berpeluang menikmati ganjaran tambahan.
