(SEMASA) PENGAKUAN BANDUAN DI SEGMEN ‘MESEJ DARI PENJARA’ – KERJASAMA TV3 DAN JABATAN PENJARA MALAYSIA PECAH TRADISI SEJARAH PENYIARAN TV MALAYSIA

Spread the love

WHI - Mesei Dari Penjara

Wanita Hari Ini (WHI) merupakan program bual bicara yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang mengkhususkan topik-topik kaum hawa yang merangkumi isu kewanitaan, kekeluargaan, kesihatan, keinsafan dan fesyen. Dikendalikan oleh barisan pengacara seperti Hasfizza Sabjahan, Azizah Ariffin, Nor Azzura Azizul Azman, Hazrena Kassim, Teh Syuhaida Sarip, Irin Putri Azmi dan Nabihah Rosdi, WHI terus menjadi pilihan dan rujukan utama golongan wanita di negara ini selepas 13 tahun program ini disiarkan.

Sejak bulan Oktober 2013, WHI telah bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk segmen ‘Mesej Dari Penjara’ dengan membawa banduan wanita ke studio dan berkongsi kisah mereka secara langsung dengan penonton bagaimana mereka terbabit dengan jenayah dan luahan kekesalan atas perbuatan mereka. Bersiaran sekali dalam sebulan pada peringkat permulaan, segmen ‘Mesej Dari Penjara ini’ telah menerima sambutan yang positif dalam kalangan penonton WHI.

Hari ini, pihak TV3 dan produksi WHI amat berbesar hati untuk menerima kunjungan Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri untuk melancarkan segmen ‘Mesej Dari Penjara’ selain hadir sebagai tetamu studio dalam membicarakan topik ini. Oleh itu, secara rasmi segmen tersebut akan bersiaran sebanyak 2 kali dalam sebulan bermula bulan April ini.

Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Alwi Haji Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, YBhg. KJP Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Media Prima Berhad, Dato’ Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Penjara Malaysia dan juga pihak pengurusan kanan Media Prima Berhad.

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, “Program Wanita Hari Ini ialah program pertama yang memecahkan tradisi untuk menemuramah banduan menerusi siaran langsung dalam sejarah penyiaran Malaysia kerana selama ini ia dilakukan secara rakaman atau lakonan semula. Selain itu, kerjasama ini juga melakar sejarah lebih 100 tahun usia dalam penubuhan Jabatan Penjara Malaysia membawa seorang banduan untuk bercakap secara siaran langsung dengan penonton TV. Oleh itu, kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri atas kesudian beliau untuk merasmikan kerjasama pihak WHI dengan Jabatan Penjara Malaysia pada hari ini. Kami berharap agar kerjasama baik yang terjalin dengan Jabatan Penjara Malaysia dapat diteruskan pada masa hadapan. ”

“Segmen ‘Mesej Dari Penjara’ yang bertujuan memberi kesedaran untuk individu dan keluarga ini telah mendapat respon yang positif dari penonton dengan peningkatan kadar tontonan (rating) mencecah 1.3 juta penonton. Episod khas hari ini juga menzahirkan kasih sayang seorang ibu yang sedia menerima anaknya pulang ke pangkuan keluarga selepas habis tempoh hukuman yang dikenakan. Linda (bukan nama sebenar) telah dihukum 8 tahun penjara atas kesalahan membunuh tanpa niat. Harus ingat, dorongan dan kasih sayang daripada keluarga akan memberikan semangat kepada bekas banduan untuk memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan nanti.” Jelas Cik Sherina lagi.

Sidang produksi yang bertanggungjawab mengendalikan penerbitan WHI dibarisi oleh Puan Siti Hatija Yusof (Pengurus Program Wanita & Projek Khas, Primeworks Studio), Puan Kalijahwati Kassim sebagai Penerbit Eksekutif dan Hasfizza Sabjahan selaku penerbit dan pengacara siaran serta Hazrena Mohamed Kassim sebagai Penolong Penerbit dan juga pengacara siaran pada hari ini.

Untuk rujukan terbaik bagi kaum wanita, ibu, suri rumah dan perancang keluarga, jangan lupa saksikan Wanita Hari Ini (WHI) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang di TV3!

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *